Pra Hari Pertama (1)

19 Jun 2011

"Naik bas ekspress je lah," nasihat mak aku sebagai usaha terakhir memujuk aku demi meminimumkan kerisauannya sebagai seorang ibu. Tapi bagi seorang punk-rock kental yang memegang konsep 'agi dilarang agi ngelaban', aku hanya meneruskan kerja-kerja mempacking barang.

"Ma, ini adalah satu cara untuk saya mengenali diri dan mencari erti kehidupan Ma. Saya sudah dewasa, hari ini genap umur saya 27 tahun. Dah meningkat tua dah, umur ngam untuk kahwin pulak tu. Mama jangan risau, pandailah saya menjaga diri di perantauan," aku memandang tepat ke mata mak aku sambil menyambung. "Ma, pinjam RM50. Buat simpanan, mana tahu lari pulak budget nanti kan. Mana lah tahuu,"

"Ptui! Mencari erti hidup, dah dewasa konon. Belum melangkah keluar udah pinta pertolongan," tengking mak aku persis pelakon Indonesia, penangan banyak sangat tengok sinetron sambil-sambil melipat kain.

--------------------

(bunyi latar suasana di dalam LRT)

Di dalam LRT, aku menyisipkan duit pemberian emakku itu ke dalam dompet lusuh sambil tersenyum. Sampai sahaja di stesen Masjid Jamek, aku pun melangkah ke Pasar Seni di mana Yoe dan Dihar(maskot pengembaraan kami, walaupun dia tak ikut) berada. Bukan tak boleh turun di stesen Pasar Seni, tapi aku ingin memanaskan badan sebagai persiapan pengembaraan yang bakal mencabar ini (padahal, kes berangan sangat sampai silap turun stesen). Aku memandang sayu LRT yang aku naiki sebentar tadi sambil berbisik sendirian,

"Selepas ini, tiada lagi pengangkutan lain, selain bas tambang."

Sampai sahaja di Pasar Seni, kelihatan Yoe dan Dihar menunggu di dalam kereta. Kelihatan muka masing-masing persis tak cukup tidur.

"Jom masuk. Kita pergi Dataran Merdeka naik kereta. Penat la jalan kaki," kata Dihar.

Aku hanya mampu mengikut. Aku memandang kereta Dihar sambil berkata sekali lagi "Selepas ini, tiada lagi pengangkutan lain, selain bas tambang."

-------------------

Setelah kereta diletakkan di pinggir Sungai Kelang, kami berjalan kaki ke arah Dataran Merdeka, tempat perlepasan pertama dan bakal menjadi yang terakhir iaitu 7 hari selepas hari ini, tempat terletaknya Menara jam Bangunan Sultan Abdul Samad. Tepat jam 9.00 pagi, setelah mengambil gambar barang sekeping dua berlatarbelakangkan menara jam, bermulalah pengembaraan mencabar ini dengan jayanya.


"Kita breakfast dululah kat mamak tu, kita berlepas dari sana," kata Yoe.

Aku hanya mampu mengikut. Jadi, permulaan pengembaraan ini ditangguhkan dahulu dan akan bermula selepas sahaja sarapan pagi.

------------------

Selepas sahaja sarapan pagi dan juga kedai mamak terakhir kami sebelum memulakan cabaran pengembaraan, kami menuju ke belakang Pasar Seni di mana banyak bas berhenti mengambil penumpang. Upacara salam menyalam bersama maskot berlaku lebih kurang 10 minit kerana maskot kelihatan seperti mahu mengikut. Oh rasanya perlu juga menceritakan lebih teliti tentang maskot ini. Beliau yang lebih dikenali sebagai Dihar, adalah satu-satunya manusia yang sangat tidak yakin tentang keupayaan kami untuk mengengelilingi semenanjung Malaysia dalam masa seminggu dengan menggunakan bas tambang. Sehinggakan apabila aku menyatakan untuk berjumpa dengan beliau apabila kami berada di Kota Bharu nanti (Dihar akan berangkat pulang ke Kota Bharu esok harinya), beliau dengan sarkastiknya menjawab:

"Ye, kalau korang sempat sampai,"

WTF?

Jadi atas inisiatif itu, aku dan Yoe sebulat suara menamakan beliau sebagai maskot pengembaraan. Kerana jika kami berputus asa dalam meneruskan pengembaraan, kami akan ingat kepada maskot kami yang akan tertawa sinis atas kegagalan kami, lantas menaikkan semangat untuk teruskan pengembaraan ini. Haha. Tetapi se-skeptikal dia pun, dia masih sanggup bangun pagi dan menghantar Yoe ke sini. Itu sudah menunjukkan yang sebenarnya dia adalah maskot yang berguna. Syabas!

Kelihatan encik Maskot sedang menahan nafas dalam usaha untuk mengempiskan perut agar tidak terlalu menonjol

Selepas berlalunya Dihar pergi, menandakan secara rasminya, tiada uuuk tiada eekk lagi, pengembaraan mengelilingi Malaysia dengan bas tambang ini telah bermula. Segala persediaan mental dan fizikal bakal diuji ke tahap maksima. Segala karenah menunggu bas yang selalunya tidak menepati jadual, ketidakselesaan berada di dalam bas cabuk, keupayaan tubuh yang memikul beban 7-8kg di bahu ke sana sini, sudah diserap dalam minda agar lebih bersedia. Mungkin juga di petak permulaan ini lagi sudah mampu membuatkan kami berputus asa, mungkin perlu berjam-jam untuk mendapatkan bas ke destinasi pertama. Pedulikan apa pandangan orang, kesusahan ini memang kami cari, sudah lama lemak-lemak dalam tubuh ini terkumpul dek kerana modenisasi dan dasar pengangkutan negara. Jadi, pengembaraan yang mencabar ini bermula, seka...

"Eh, tu pun bas ke Rawang. Senangnya." kata Yoe.

..rang?! (sungguh kurang mencabar permulaan kembara ini)

No comments:

Post a Comment