Hari Ke-6 (Part 3) : Mencari durian Segamat

Bas ekspress Cepat singgah sebentar di Muadzam Shah. Mengambil penumpang. Tengok dari gaya, kesemuanya siswa-siswi universiti. Di sini ada kampus Universiti Tenaga Nasional. Tak silap aku untuk kursus-kursus 'management' dan 'business study'. Nak lebih kepastian, sila layari sendiri laman web Uniten.

Ada jugalah santapan mata untuk kami sepanjang perjalanan ke Segamat. Wajah-wajah manis adik-adik siswi sedikit menghiburkan hati kami yang hanya dari tadi hanya di hiasi pemandangan kelapa sawit di sepanjang perjalanan. Mata aku seorang sebenarnya. Adib awal-awal lagi dah out. Belum keluar Kuantan lagi dia dah selamat ke alam mimpi. Bandar Muadzam Shah masih seperti dahulu. Tiada apa perubahan yang ketara. Hanya beberapa deretan kedai, padang bola, rumah kuarters pegawai Felda dan sekolah. Tindakan kami untuk tidak bermalam di sini ada baiknya juga.

Dalam pukul lapan malam, bas mula memasuki Segamat. Masuk-masuk je kami di sambut oleh monumen raja segala buah - durian. Dengan slogan, "Nikmatilah Durian Segamat". Aku mulai tersenyum. Ada chance nak makan durian lagi malam nih. Durian Segamat memang agak terkenal dengan kelazatannya. Isinya yang kuning, tebal, empuk dan manis memang cukup menggiurkan sesiapa yang melihatnya.

---------------------------------------

Jam pukul lapan setengah. Kami berdiri memandang sesama sendiri. Tidak tahu kemana arah mahu dituju. Kelihatan sebatang tiang telefon beserta pondok telefon tersangkut cantik di bawahnya. Segera aku menyeluk kocek dan mengeluarkan beberapa keping syiling. Sekeping syiling dua puluh sen aku masukkan dan mendail nombor seorang kenalan yang tinggal di Segamat. Cikgu Hafizan namanya. Panggil saja Cen. Mamat ni lah yang pernah mengalami pengalaman buruk dengan bas ekspress Cepat. Yang kena tinggal bas kat Kuala Pilah tu. Inilah orangnya. Sekarang dah jadi cikgu di Segamat. Untung-untung boleh tumpang bermalam di rumah beliau.

We share the same blood, bro. Yeah!

Blood-blood jugak. Dua tiga kali aku telefon, tak terangkat. Aku dah malas nak call pakai telefon awam lagi, aku cuba call pakai telefon bimbit pula, walaupun melanggar peraturan yang di tetapkan. Adib hanya mampu memerhati. Dah malas nak tegur barangkali. Lagipun peraturan memang dicipta untuk dilanggar, bukan?

Sama juga hasilnya. Tiada jawapan. Tidur barangkali. Kami berjalan mengikut langkah kaki. Sambil mencari tempat untuk bermalam, atau tempat mengalas perut. Ataupun durian. Itu memang keutamaan. Ada dua rumah tumpangan yang kami temui. Salah satunya bernama 'Snow Angel Hotel'. Bunyinya agak aneh dan sedikit kuning. Atau fikiran kami yang kuning?

Walaubagaimanapun, kami membatalkan niat untuk bermalam di situ kerana tempatnya yang agak menyeramkan di tambah jalan yang gelap dan sunyi. Langkahan diteruskan dan akhirnya kami bertemu dengan menara jam Segamat di dataran Segamat. Di belakang dataran itu ada medan selera menjual pelbagai makanan. Antara menara jam dan makanan, kami pilih untuk makan dahulu.

Nasi goreng kampung dan mee rebus kami nikmati dalam keadaan gelap kerana meja makan medan selera itu tidak bertemankan lampu. Rasanya memang kami pesan nasi goreng dan mee rebus. Tak tahulah apa yang sampai. Sebab kami tak nampak apa. Belasah makan je. Selesai makan, apa lagi. Operasi bergambar di menara jam. Mengikut wikipedia, Dataran Segamat dibina dalam tahun 1996. Sebelum tu, tempat ini dikenali sebagai Padang Besar Segamat.

Dataran Segamat

Gaya pemuda yang telah kenyang

Habis bab gambar-gambaran, misi seterusnya mencari tempat bermalam. Ni yang masalah sikit. Dah puas kami menapak tapi tak kan ada dua hotel je kat sini? Tak semena-mena telefon bimbit ku berbunyi. Tertera nama 'Cen' di skrin.

"Hello, Yoe. Apa cerita?"

"Takde ape. Saja call. Kau ada kat mana nih?"

"Err...kat luar. Tengah minum air dengan member. Ada apa, Yoe?"

"Takde ape. Aku dengan Adib ada kat Segamat ni. Kitorang tidur sini malam ni,"

"Laa. Yeke? Alamak, sorry Yoe. Sebenarnya aku kat Putrajaya ni. Kat Alamanda. Baru sampai petang tadi. Jumpa awek aku. Ni aku tengah beratur nak beli tiket wayang cerita Green Lantern ni. Aku tak tau kau nak lepak Segamat malam ni. Kalau tak, boleh lepak kat rumah aku. Aku ingatkan kau miscall aku tiga-empat kali tadi sebab ternampak aku kat Alamanda," ujar Cen panjang lebar bersulamkan nada bersalah.

"Hahaha..takpe, takpe. No hal. Kitorang pun datang mengejut. Tapi nak tanya kat sini mana ada hotel murah-murah? Kami nak sewa,"

Cen memberi penjelasan panjang lebar. Rupanya kebanyakkan hotel letaknya di bandar baru. Kira-kira dua kilometer dari dataran. Diseberang Sungai Segamat. Kami menapak ke sana sambil dua tiga keping sms daripada Cen menerjah masuk ke dalam telefon aku, meminta maaf kerana tiada di Segamat. Risau betul dia ni.

Bangunan-bangunan lama zaman pra-merdeka masih banyak di Segamat. Terutama di belah bandar lama. Sayangnya, tidak terjaga dan ada yang terbiar usang. Bau hapak najis burung bercampur dengan warna bangunan yang telah luntur sedikit mencacatkan pemandangan.
Bangunan macam ni patut di pulih dan pelihara. Benda-benda 'rare' macam ni bukan senang nak jumpa. Tengok macam mana Pulau Pinang dengan Melaka handle benda-benda macam ni. Untung-untung dapat diwartakan bawah Unesco Heritage Zone apa-kenama tu. Adib tahu lah bab ni.

(Adib, kau 'explain' sikt nanti pasal heritage unesco semua ni nanti!)

Adib: Program Warisan Dunia Unesco atau dalam bahasa Inggerisnya UNESCO World Heritage kalau mengikut pengetahuan aku tanpa merujuk kepada Wikipedia ialah satu program pemeliharaan dan perlindungan anjuran UNESCO bertujuan memelihara tapak, bangunan, monumen atau hasil alam semulajadi yang mempunyai nilai sejarah danestetikanya sendiri. Pembiayaan penjagaan pada tapak tersebut sebahagian besarnya
disumbang oleh UNESCO sendiri demi kelangsungan sesebuah warisan itu untuk dinikmati bersama generasi akan datang. Ewahh. Nak lebih tepat dan detail rujuk sendiri website UNESCO.


Jejak je kaki di belah bandar baru Segamat, barulah kelihatan hotel-hotel. Baru nampak macam 'happening' sikit. Kami menginap di Pine Classic Hotel. Harga RM54.00 satu malam. Memang lebih empat hengget daripada limitasi bajet kami. Tapi memandangkan sudah dua malam kami dapat jimat tang duit hotel, tak salah rasanya. Lagipun kami dah malas nak cari tempat lain. Malam pun dah makin larut.

Not bad jugak lah bilik hotel ni, kalau nak dibandingkan dengan harganya.


Lepas mandi ala-kadar, bernyah-tinja barang seround dua, kami turun bawah. Saja nak ronda-ronda bandar Segamat. Tengok 'night life' di sini. Sambil-sambil tu boleh cari durian Segamat. Jalan punya jalan, jangan katakan durian, bau pun kami tak cium. Apatah lagi nak jumpa kulit durian. Mungkin kami tak jumpa 'port' jual durian kot. Sebab kami hanya menggunakan dua kaki ni je untuk ke sana ke sini.

Sepanjang pemerhatian dan penapakan kaki malam ni, hanya satu kedai mamak yang kami temui. Dekat-dekat dengan restoran Mcdonald. Aku tak pasti di mana warga Segamat lepak malam-malam selain kedai mamak ni dan medan selera belakang dataran tadi. Apa yang aku dapat perhatikan, bandar Segamat agak 'sunyi' dan lengang pada waktu malam. Tekak pun dah haus. Kami lepak situ. Ingat boleh layan final Maharaja Lawak, tapi mamak tu bukak channel HBO. Cerita apa, aku kurang pasti. Kami leka berbual. Dari topik permusafiran kami, rancangan hari esok, politik negara, sukan, Hishamuddin Rais, maskot kami yang tak tentu hala dan sebagainya. Sedar tak sedar sudah pukul satu lebih.

Malam itu aku tidur bermimpikan durian Segamat. Sigh~

1 comment:

  1. Bas ''ekspress'' Cepat (konon..hihihi)
    Pandai je komplen ''agen Dewan Bahasa Dan Pustaka'' tak mengeja dengan betul?

    # EKSPRES ::kalau dua huruf S kena eja dalam English, kot?

    ReplyDelete