Showing posts with label Hari Ke-5. Show all posts
Showing posts with label Hari Ke-5. Show all posts

Hari Ke-5 (Part 1): Sarapan di Wakaf Siku

23 Jun 2011

Pagi-pagi buta Dihar dah buat bising. Aku buka kelopak mata, beliau sudah siap mandi apa semua. Nak kata masuk pejabat, kerja sendiri. Ada mesyuarat UMNO cawangan katanya. Tapi sempatlah nak bawa kami pusing Kota Bharu sekali lagi. Ada tempat yang tak sempat nak khatam semalam gamaknya.

Aku bangun dari katil, capai tuala, melangkah malas ke bilik air. Melalui dapur, mata aku liar memerhati sekitar. Bimbang kalau-kalau biawak yang di ceritakan Dihar semalam masih lepak di situ. Kalau cicak tokek, boleh juga jual. Ni kalau biawak komodo? Cari nahas jawabnya.


Sepagi di Kota Bharu

Kami keluar pagi itu menuju ke Pasar Siti Khadijah. Macam biasalah, kami akan ke pasar pada waktu pagi untuk melihat kegiatan ekonomi sesuatu kawasan itu. Sampai di sana, seperti yang diceritakan, urusan jual beli didominasi golongan hawa. Aku tak pasti pula kenapa keadaan begini berlaku di sini. Tapi memang agak unik. Sayur, ikan, ayam, pendek kata dari barang basah membawalah kepada barang kering seperti budu, serunding dan sebagainya banyak dijual di sini. Dah namanya pun pasar.


Warna-warni di Pasar Siti Khadijah

Selepas ambil gambar tiga empat 'round' lagak ala-ala 'journalist' kami bergerak ke Wakaf Siku untuk sarapan. Dihar bawa kami ke sebuah warung kecil di situ. Makanan pagi terdiri dari nasi lemak dan nasi berlauk gulai daging atau ikan yang telah siap di bungkus. Mejanya terhad. Kebanyakkan hanya makan di atas meja keliling gerai tersebut, gaya meja bar zaman koboi dulu. Memang klasik.

Sini la kawe tigo ore minum pagi

Macam biasa, apa guna jadi tuan rumah kalau tak belanja kawan-kawan makan, ye tak? Tambahan pula kawan-kawan tengah bermusafir. Terima kasih daun keladi Dihar. Kalau ikutkan, dia nak kami lepak di Kota Bharu sampai tengahari. Lepas tu baru sambung perjalanan ke Terengganu. Tapi kalau layan dia ni, memang tak pusing semenanjung la kami. Banyak mengarut dia ni.

Kami di hantar ke stesen bas Kota Bharu. Bas City Liner ke Jertih bergerak jam 10:45 pagi. Dengan tambang RM6.00, dalam sejam setengah juga nak sampai di Jertih, melalui Pasir Putih.

Hari Ke-5 (Part 2): Pakcik Konduktor Bas Belanja Pisang Goreng

Bandar Jertih letaknya dalam daerah Besut. Sebuah bandar kecil di utara negeri Terengganu. Tidak jauh dari sini ada sebuah lagi pekan yang agak terkenal, Kuala Besut. Dari Kuala Besut, boleh menaiki bot ke Pulau Perhentian. Bandar Jertih tidaklah sesibuk mana. Sebuah bandar yang ekonominya bergantung kepada aktiviti perniagaan pertanian dan barangan tempatan. Betul-betul di sempadan antara Kelantan-Terengganu. Dua musuh tradisi dalam arena bola sepak tempatan. Dari dulu lagi. 'East Coast derby' ni pantang bertembung. 'Gocoh sokmo'. Tapi tu atas padang bola. Luar padang biasanya masyarakat dua negeri ni memang ngam.

Biasalah. Carik-carik bulu ayam. Kalau dalam loghat Besut, "pull-pull chicken feather". Sambung sendirilah.

Bandar Jertih

Tengah-tengah lepak layan angin tengahari sambil menunggu bas, tangki dalam pundi kencing ni tiba-tiba penuh. Memang nak kena membuanglah jawabnya. Tak ada masalah. Belakang stesen bas ni ada tandas awam. Dengan muka girang aku ke belakang. Sambil Adib menjaga barangan. Sesampai di depan pintu tandas, tertera kertas pengumuman yang sedikit menghapuskan rasa gembira aku sebentar tadi.

'Jamban tutup. Takdok air!'

Yang ni baru masalah. Kalau empangan sudah mahu pecah, mana bisa ku dapat menahan airnya? Dialog dari filem Merong Mahawangsa ini terngiang-ngiang di benak ku.

Melilau aku pergi mencari tandas. Tanya orang, di pasar Jertih ada tandas 30 sen. Kena menapak dalam 300 meter. Boleh je nak cari 'port' celah-celah semak. Tapi bimbang kalau-kalau silap sembur, bengkak pula anggota badan aku yang satu ni. Krisis air ni memang tak boleh buat main-main. Ingatkan di Lembah Klang je ada krisis air. Rupa-nya sampai ke sini. Ini lah jadinya kalau sumber air tak di proses dengan betul. Siapa yang huru-hara? Orang-orang yang tengah darurat macam aku ni juga yang tak tentu arah.

Setiap langkah menuju destinasi harapan itu sangat jauh aku rasakan. Di bawah terik mentari garang, sedikit membakar dan menggelapkan kulit aku yang putih dan mulus ini. Ini baru rasa panas matahari yang berjuta-juta kilometer jauhnya dari bumi. Bagaimana rasa panasnya matahari hanya sejengkal dari kepala kita kelak? Hah? Renung-renungkan lah dan selamat beramal!

Di belakang pasar Jertih inilah tersembunyinya tandas awas tersebut

Selesai urusan kecemasan tu, baru lega sedikit aku rasakan. Senyuman kembali terukir di bibir. Sampai di bangku stesen bas, giliran Adib pula mahu melangsaikan hajat. Sedang aku leka menjaga barang sambil menanti kepulangan Adib, sebuah bas City Liner ke Kuala Terengganu memasuki perkarangan stesen bas. Dengan muka cemas campur kelam-kabut minta penumpang ke KT agar segera naik. Apahal dia ni? Nak ke tandas juga ke?

Rupanya itu bas yang sepatutnya bertolak pukul 12 tadi. Tapi sudah satu jam terlewat. Aku minta beliau tunggu sebentar untuk Adib sambil tangan aku terus mendail nombor telefon bimbitnya. Kedengaran di hujung talian suara Adib yang agak kecewa terpaksa berpatah balik. Selesai sahaja menelefon Adib, aku berpaling dan melihat bas tadi sudah bergerak, meninggalkan asap-asap hitam ke muka aku. Memang bagi aku makan asap. Tak ada toleransi langsung pemandu ni. Tunggu lima minit pun nak berkira.

Di hujung sana ada sebuah lagi bas ke Kuala Terengganu. Bas syarikat SP Bumi. Konduktornya sedang lepak minum di sebuah warung berhampiran. Kami melangkah ke sana. Duduk berhampiran konduktor itu. Senang nak 'mark' kalau bas sudah mahu bertolak. Sudah satu jam lebih kami di sini. Tak rela lagi dah nak makan asap bas. Tak kenyang pun makan asap.

Duduk semeja dengan pakcik konduktor bas membuatkan tekak kami haus. (Macam tiada kaitan je?) Maksud aku, beliau seorang yang sangat peramah. Berbual dengan beliau membuatkan kami haus. Sambil mengunyah pisang goreng, pelbagai perkara kami bualkan. Dia sedikit kagum apabila mendengar cerita permusafiran kami ini. Perbualan kami sekali-sekala di celah dengan pertanyaan tauke warung yang begitu leka membelek kamera DSLR yang aku bawa. Aku menjawab dengan gaya seorang jurukamera professional. Yang seolahnya sudah bertahun-tahun dalam arena perkameraan ini. Padahal kamera pinjam je pun. Baru dua-tiga hari ni sibuk menggodek belajar cara nak guna.


Pukul 1:30 petang waktu untuk bas bergerak. Sedang kami mahu membayar air dan pisang goreng, pakcik konduktor itu terlebih dahulu membayarkannya bersama nasi tengaharinya. Tahu dia nak belanja tadi aku tapau siap-siap nugget, fishball dan sosej buat makan dalam bas. Dengan teh ais bungkus. Dua.

"Berapa tambang, pakcik?" tanya aku sewaktu beliau mahu memberikan tiket.

"Sepuluh ringgit seorang. Tiket boleh claim tak nih?" jawab beliau.

"Mana claim, pakcik. Ni semua duit sendiri. Belanja sendiri,"

"Kalau macam tu, pakcik bagi harga lima ringgit je lah seorang,"

Peh! Sempoi betol pakcik ni. Dah la belanja kami pisang goreng. Ni siap bagi diskaun tiket. Aku syak pakcik ni sebenarnya tuan empunya syarikat bas SP Bumi ni. Lepas tu jenis yang 'rebel'. Tak suka duduk kat pejabat berhawa dingin. Suka turun bawah jumpa golongan marhaen. Ala-ala zuhud lah lebih kurang. Apa-apa hal pun, itu sudah cukup bagus bagi kami. Terima kasih pakcik konduktor bas yang baik hati.

Suspek yang disyaki sebagai CEO syarikat bas SP Bumi tapi menyamar jadi konduktor bas (Halusinasi penulis. Jangan percaya sangat)

Hari Ke-5 (Part 3) : Blues Terengganu Kita

(Mode lagu blues sepanjang hari ini. Nak tahu kenapa blues? Cubalah naik bas tambang tidak bertingkap dari Kuala Terengganu ke Kemaman. Nikmatilah angin pantainya. Memang blues habis)

Perjalanan dari Jertih ke Kuala Terengganu menaiki bas tambang mengambil masa hampir 3 jam juga untuk tiba. Perjalanan melalui bandar Permaisuri, Kampung Chalok, Sungai Tong dalam daerah Setiu hinggalah Manir menyeberangi Sungai Terengganu, Chabang Tiga terus ke Hentian Bas MBKT.

Kuala Terengganu yang terletak di muara sungai Terengganu merupakan satu pelabuhan yang sibuk satu ketika dahulu. Para pedagang dari China kebanyakkan-nya datang berlabuh dan berniaga di sini sebelum meneruskan perjalanan menyelusuri sungai Terengganu hinggalah ke Kuala Berang. Waktu itu Kuala Berang merupakan bandar terpenting di Terengganu. Ibu negeri dan bandar perdagangan. Meriah ala-ala New York waktu itu. Waktu itu lah. Jadi tidak hairan batu bersurat di temui di Kuala Berang dan masih ada perkampungan Cina lama wujud berhampiran sungai Terengganu hingga kini.

Kami tiba dalam jam 4:30 petang. Bas terakhir ke Dungun jam 6:00 petang. Kami ada masa lebih kurang sejam lebih sahaja untuk ke menara jam dan ronda sekitar Kuala Terengganu. Memang betul 'rush hour' nih. Mujur ada Ahmad Najmuddin a.k.a ustad datang memberikan talian hayat. Aku sendiri pun tak faham kenapa beliau di panggil ustad. Aku tengok tak ada lah warak mana pun. Janggut aku lagi panjang.

Apa-apa hal, perut kena isi dulu. Bukan setakat irama keroncong, blues apa semua, malah rembesan asid-asid sudah mulai menggaru dan mengkakis dinding perut minta di isi. 'Lunch' di Jertih tadi pun sekadar pisang goreng. Pekena nasi minyak di petang hari memang blues habis. Jangan terkejut. Di sebelah pantai timur, nasi minyak adalah makanan harian. Biasanya juadah untuk sarapan dan minum petang. Tak perlu nak tunggu majlis kahwin baru nak boleh jumpa nasi minyak.

Jika di Kota Bharu, Dihar sang Ketua Pemuda Umno Cawangan membelanja kami makan, di sini Ustad selaku Ketua Pemuda Pas cawangan pula mengambil giliran. Macam ni baru bagus. Politik, politik jugak. Tanggungjawab belanja musafir seperti kami ni jangan di lupa. Keh keh keh.

Nasik minyok, boh!


Selesai melantak, kami memulakan explorasi Kuala Terengganu dengan pantas dan ekspress. Kami ke 'check-point' seterusnya iaitu menara jam Kuala Terengganu di 'water front' sungai Terengganu. Seterusnya pusing ala-kadar. Melalui jalan sekitar Dataran Syahbandar, Kampung Cina, belakang Pasar Payang dan sekitar. Gambar pun kebanyakkan di ambil dari dalam kereta.

Pasar Payang dari arah belakang

Patah balik ke hentian bas. Bas syarikat SP Bumi dah sedia untuk bergerak. Dulu ada syarikat bas Himda ke Dungun. Sekarang dah tiada. SP Bumi dah monopoli semua. Memang unsur-unsur kapitalis sudah menyelinap masuk ke sini. Tepat pukul 6:00 bas jalan. Tambang Kuala Terengganu ke Dungun dalam RM6.00. Makan masa dalam sejam setengah.Bas yang tidak berhawa dingin dimana tingkapnya terbuka luas, membolehkan angin pantai di sepanjang perjalanan menerobos masuk, menyapa mesra muka kami. Badan yang agak kepenatan dan perut yg sudah diisi menambahkan lagi selera kami untuk melelapkan mata.

Perjalanan melalui jalan pantai membolehkan kami menikmati panorama pantai, laut, pulau dan kampung-kampung nelayan. Dari Kuala Ibai ke Marang, hinggalah Rantau Abang terus sampai Kuala Dungun. Memang mata jadi layu. Rambut terbang di tiup angin. Blues habis.

Pulau Kapas nun di seberang sana

Bot-bot nelayan di Sungai Marang

Rantau Abang

Tidur kami terganggu apabila rintik-rintik hujan membasahi muka kami. Adib yang sedang lena, bermimpi konduktor bas sedang bertungkus-lumus menutup tingkap-tingkap bas. Mimpi beliau menjadi kenyataan apabila beliau membuka mata. Memang konduktor tengah tutup tingkap. Aku tidak pasti adakah konduktor bas tersebut masuk ke dalam mimpi Adib seperti filem 'Inception'? Hanya Adib dan konduktor bas itu sahaja yang tahu.

Senja sudah berlabuh tatkala kami tiba di stesen bas Kuala Dungun. Sebuah bandar nelayan kecil di muara sungai Dungun. Dulu di sini 'port' penyu bertelur. Di Rantau Abang sana. Kawasan mereka lah tu. Tapi kini tidak lagi. Yelah, asal bertelur je, kena curi. 'Fed-up' la mereka nak datang lagi. Baik cari 'port' lain. Sampai sekarang aku tidak tahu ke mana penyu banyak-banyak tu menghilang. Dengar cerita merajuk sampai ke Pulau Penyu, Sabah.

Lima belas minit berselang, ayah aku datang menjemput kami. Bermalam di rumah aku kerana bas ke Kemaman memang dah tak ada waktu-waktu begini. Memang 'timing' yang cantik.

'Home sweet home'.

Stesen bas Kuala Dungun

-----------------------------------------------------------


"Goool!!"

Teriakan gembira menyambut ketibaan kami di kedai makan belakang bangunan bank CIMB bandar Dungun. Dekat dengan pasar buah. Majoriti pelanggan kedai tengah semangat tengok bola kelayakan Olimpik 2012 antara Malaysia dengan Lubnan. Malaysia baru lepas sumbat sebijik masa kami tiba. Aku, Adib, mak ayah dan dua orang adik aku keluar makan malam di sini sambil nonton bola. Dah lama 'team' bola Malaysia tak dapat 'support' macam ni. Lama sangat dah. Asyik kena kutuk je. Harap-harap sokongan macam ni akan berterusanlah. Dan harap-harapnya Malaysia tak main serupa langau lagi lepas ni.

Sempat pula tu ayah aku beli durian di pasar buah depan tu. Aku tak pasti durian negeri mana. Tapi bukan sini punya. Sini bukan musim durian lagi. Patut la harga mahal gila. Dekat RM20 sekilo. Orang Terengganu kata, 'mahal macam bedil!'. Bedil ni peluru untuk meriam zaman dulu. Memang harga dia mahal. Tak caya, cubalah pergi kedai runcit. Cakap nak beli bedil. Tengok berapa harga. Isi dia pun tak 'kaw' sangat. Kurang lebih rasa macam durian kat Kota Bharu semalam.

Jam sebelas malam. Kami pun beransur pulang. Malaysia pun dah menang 2-1. Boleh pergi '3rd round'. Syabas bette! Nak bawak Adib pergi ronda-ronda pasar minggu pun, pasar minggu dah tutup time-time macam ni. Setiap petang khamis, ada pasar minggu di tengah-tengah bandar Sura Gate. Kira aktiviti malam minggu lah disini. Masa ni lah nak cuci mata usha-usha awek Uitm. Sambil-sambil tu kepada yang nak mencuba nasib, boleh lah hulurkan salam perkenalan. Mana tahu jodoh kat sini. Pasar minggu Dungun satu masa dulu adalah yang terbesar di Terengganu. Ini fakta, bukan auta. Tapi semenjak tapaknya diambil dan dibina perpustakaan dan deretan kedai, peniaga hanya berniaga di sepanjang jalan dari pejabat pos hinggalah kawasan perumahan murah Alor Tembesu.

Badan dah penat. Nak roger member-member ajak lepak pun, tapi mata dah berat sangat dah.

Balik tidor adalah tindakan yang sangat bernas. Zzzzz...