Showing posts with label Hari ke-8. Show all posts
Showing posts with label Hari ke-8. Show all posts

Hari Ke-8 (Part 1): Penantian Memang Menyeksakan!

Kedai di mana pemuda berasal dari Kg. Titi Serong membeli gitar

Jam sepuluh pagi. Ruang legar menunggu bas di Terminal One, Seremban mulai dpenuhi orang. Masing-masing dengan hala tuju tersendiri. Ada nak balik kampung, ada nak ketemu pacar, ada nak pergi hospital. Macam-macam. Dua bungkus nasi lemak dan secawan kopi o telah selamat berada dalam perut aku atas nama sarapan. Dari kejauhan aku memerhati setiap bas yang keluar masuk terminal ini. Mencari-cari bas yang bisa membawa kami ke Nilai.

Hari ini merupakan hari terakhir permusafiran kami. Jika boleh sampai ke Kuala Lumpur petang inilah. Secara logiknya, tiada masalah. Seremban-Nilai-KL. Tak jauh mana pun. Lainlah jika ada aral yang melintang patah membujur lalu di hadapan kami kelak. Bas rosak, banjir kilat, jalan runtuh atau diculik makhluk asing antara faktor-faktor yang boleh menggendalakan perjalanan kami hari ini.

Bas CityLiner ke Nilai tiba. Kami bergegas ke sana. Pemandu bas membuka pintu dan turun dari kerusi. Sedikit melompat. Menutup pintu dan menggosok-gosok perut. Lapar barangkali. Dua minit kemudian beliau hilang entah ke mana. Pedulikan beliau. Kami naik ke dalam bas, mencari tempat duduk. Bas berhawa dingin.

Pukul sebelas bas perlahan-lahan bergerak keluar dari terminal. Perjalanan ke Nilai tidak memakan masa yang lama fikir aku. Jika dilihat pada peta, memang dekat sangat. Mungkin dalam sejam je kot. Harapnya boleh lah aku menikmati pemandangan di luar tingkap. Kopi O yang aku teguk tadi cukup untuk menyegarkan mata aku sepanjang hari ini.

Zzzzz.

Sedar-sedar bas telah tiba di stesen bas Nilai. Tertidur juga aku. Damn sungguh. Tak boleh pakai punya kopi. Dari stesen bas Nilai, kami perlu menunggu bas mini nombor 20 untuk ke dataran Nilai. Di situ letaknya menara jam terakhir yang kami akan lawati untuk kembara kali ini.

Lama juga kami menunggu bas mini. Tak muncul-muncul. Dalam sejam kemudian baru nampak batang hidung. Bukan batang hidung bas. Batang hidung pemandu bas mini itu maksud aku. Tunggu bas mini sejam. Perjalanan dari stesen bas ke dataran dalam sepuluh minit je. Ceh, tahu tadi kami menapak je. Silap-silap dah boleh sampai KL.Ciri-ciri tradisional minangkabau jelas kelihatan pada menara jam ini, terutamanya tang atap.

Kami mengambil masa dalam setengah jam juga melepak di sini sambil kunyah cekedis Meow perasa ayam dan air oren botol Pulpy.


Sekali lagi kesabaran kami di uji tatkala menunggu bas mini pulang ke stesen bas Nilai. Lepas bosan duduk, kami berdiri. Letih berdiri, kami duduk semula di bawah pokok tepi jalan. Sambil menghabiskan sisa-sisa kad memori kamera mengambil gambar yang entah hapa-hapa. Oh, ada juga gambar biawak melintas jalan. Aku tak pasti adakah ini biawak yang masuk ke dalam rumah Dihar tempoh hari. Kalau betul, jauh benar beliau berjalan dari Kota Bharu sana. Aku pasti biawak tersebut tak ada duit buat tambang bas.

Dalam bulatan merah itu adalah seekor biawak yang dipercayai
telah lari dari rumah Dihar di Kota Bharu

--------------------------------------

Hari ini memang banyak dihabiskan masa dengan menunggu bas. Operasi bas di Nilai tidaklah serancak bandar-bandar lain. Hentian basnya sedikit sunyi. Cuma kadang-kadang bas yang membawa penumpang ke Lcct atau KLIA silih berganti datang. Kelihatan pemandu-pemandu teksi mengisi masa senggang bermain dam sambil menunggu penumpang.

Kami masih sabar menunggu bas ke KL. Dah nak dekat sejam menunggu. Mungkin benar teori Adib. Syarikat bas tidak banyak beroperasi di sini kerana adanya perkhidmatan komuter ke Seremban atau KL.

Tahap kesabaran memang dah sampai ke penghujung. Motivasi kembara untuk hari terakhir ini juga sangat rendah. Lantas aku berjalan ke arah stesen komuter untuk melihat tren berikutnya ke KL. Adib juga bersetuju untuk menggunakan komuter pulang ke KL.

Lagi tiga empat langkah nak sampai ke stesen komuter, telefon aku berdering. Suara Adib di hujung talian.

"Bas dah sampai. Cepat sikit!"

Berlari-lari anak aku patah balik ke stesen bas. Mujur tak jauh. Mujur juga kami dah biasa terkejar-kejar sepanjang seminggu ini. Bas CityLiner terus ke Pasar Seni dengan tambang RM4.00. Sedikit bosan catatan untuk hari ini. Kerana tidak banyak perkara berlaku. Kami juga bosan kerana banyak masa dihabiskan dengan menunggu bas sahaja hari ini.

Hari Ke-8 (Part 2) : Garisan Penamat

Awan mendung menyelubungi Kuala Lumpur menyambut ketibaan kami. Hutan batu yang menjadi tempat segala jenis manusia tumpang teduh mencari rezeki demi 'survival' kehidupan masing-masing. Halal dan haram bercampur-baur dalam arus nadi kota ini.Peh, berpuitis pula aku petang-petang hari ni!

Sedar tak sedar lengkap juga perjalanan kami selama seminggu ini menjelajah setiap negeri di semenanjung. Aku dan Adib hanya diam sepanjang perjalanan menuju destinasi terakhir, Pasar Seni. Entah apa yang Adib fikirkan, aku tidak tahu. Kami sekadar memerhati bangunan pencakar dan penggaru langit yang bertaburan sekitar kota ini.

Sejujurnya, pada hari pertama permusafiran aku agak sangsi kami dapat menamatkan perjalanan seperti yang dirancang dalam masa seminggu. Aku fikir mungkin paling jauh kami akan sampai ke Kuantan pada hari Sabtu(semalam), lepas tu ambil bas ekspress pulang ke KL. Tapi Alhamdulilah berjaya juga kami tamatkan kembara pada hari ini. Walaupun terlewat sehari.

Memang aku akui, kami tidak jelajah semenanjung sepenuhnya. Tapi sekurang-kurangnya kami sempat singgah dikesemua negeri di semenanjung ni. Kami potong dari Pekan terus ke Segamat, Muar naik balik ke Melaka dan seterusnya balik ke Kuala Lumpur. Pada awalnya, mengikut perancangan kami akan meneruskan perjalanan dari Pekan turun ke Rompin, Kota Tinggi dan ke Johor Bharu. Lepas tu naik ke Kulai, Batu Pahat, Muar dan terus ke atas. Tapi dengan masa yang terhad, kami memutuskan untuk melalui bahagian utara Johor sahaja. Kami perlukan tambahan masa barangkali dalam dua tiga hari lagi jika ingin turun sampai ke Johor Bharu.

Senang ceritalah, seminggu tak cukup nak pusing Malaya ni dengan bas tambang. Ni pun ada beberapa kali kami mengelat. Nak betul-betul sedap mungkin kena ambil masa dua minggu. Baru tak 'rush' sangat, boleh jelajah satu-satu tempat tu dengan lebih lama. Kalau naik kereta, mungkin cukup seminggu. Yelah, naik kereta sendiri boleh gerak ikut suka hati. Guna bas ni, kena tunggu bas, ada orang naik turun, kena tukar jalan. Tu belum kira bas yang rosak. Macam-macam hal.

Dalam pukul empat petang kami tiba di Pasar Seni. Dalam bahasa inggeris namanya Central Market. Kenapa tak dinamakan Art Market? Dari situ kami menapak ke Dataran Merdeka, berhadapan dengan Bangunan Sultan Abdul Samad. Tempat kami memulakan kembara kira-kira lapan hari yang lalu.

---------------------------------------

26 Jun 2011

Kami berdiri puas di hadapan menara jam Bangunan Sultan Abdul Samad. Terdapat khemah-khemah di Dataran Merdeka seperti ada acara pada sebelah pagi tadi. Dengar cerita ada marathon anjuran Standard Chartered. Lepas ni aku nak cadangkan anjurkan marathon keliling Malaya pula.

Sedikit waktu dulu, cerita ini hanya menjadi bualan kosong kami di kedai mamak. Menjadi bahan jenaka dan angan-angan kabur. Barangkali jika kami tidak mulakan langkah, ia terus menjadi lawak jenaka seterusnya hangat-hangat tahi ayam dan senyap begitu sahaja. Tapi kami 'gamble' melakukannya. Dengan perancangan minit-minit terakhir, peta pun malam nak gerak tu baru aku kelam kabut beli, belajar guna kamera pun masa dalam bas je, kompas tak bawa, huru-hara bersepah sini sana, tapi kami mampu juga melakukannya.

Untuk permulaan, aku sangat berpuas hati. Ya, puas hati. Tahniah untuk diri aku sendiri. (Tumbuk dada sambil berkata "You're the man!" di dalam hati)

Rintik-rintik hujan mulai turun membasahi bumi Kuala Lumpur. Kami berlari-lari anak kembali ke Pasar Seni. Lari lagi! Ingat dah sampai KL tak payah nak lari-lari dah. Mujur kami dah biasa berlari-larian seminggu ni. Apadahal?

Keesokkan harinya aku mendapat berita Adib demam dan hanya terbaring seharian di atas katil. Aku pula MC. Lenguh-lenguh badan.