Showing posts with label Hari ke-4. Show all posts
Showing posts with label Hari ke-4. Show all posts

Hari ke-4 (Part 1) - Dari utara ke pantai timur

22 Jun 2011

Hari ke-empat ni panjang ceritanya.

Pekan Baling waktu subuh

Seperti biasa (feewit dah jadi biasa dah) kami bangun seawal 6.30 pagi dan terus bersiap untuk memulakan pengembaraan. Periksa keluar jam 7 pagi, kami berjalan kaki menuju ke stesen bas untuk menaiki bas awal ke Gerik, Perak. Hari ini, kami akan melintasi Gerik untuk ke Kelantan dan mungkin bermalam di Kota Bharu. Dari Utara kami berpindah iklim ke Pantai Timur pula. Dijangka perjalanan kali ini mungkin agak memenatkan.

Bas sudah menunggu dan kami tidak membuang masa terus sahaja naik bas tersebut. Kira-kira sejam lebih perjalanan, kami pun tiba di Gerik, Perak. Ketika itu, banyak kaunter bas tidak dibuka lagi untuk kami bertanya. Lalu kami bertanya kepada seorang pemandu bas dan beliau memberitahu, ada bas ke Pasir Mas yang hanya muncul pada jam 12 tengah hari. Itu sahaja yang paling awal. Bas seterusnya pula pukul 2 petang. That's it. Dua bas sahaja ke Kelantan untuk satu hari.

Pekan Gerik & stesen bas Gerik

Jam menunjukkan pukul 8.35 pagi, lagi 3 jam lebih sebelum bas sampai. Jangkaan awal untuk hanya menjadikan Pekan Gerik sebagai tempat persinggahan untuk sebentar sahaja nampaknya tersasar. Beginilah nasib menaiki bas berhenti-henti macam ni. Tak dapat nak merancang masa secara tepat. Kalau awal-awal tahu bas hanya ada pada pukul 12 tengah hari, mungkin kami boleh tidur lama sikit di hotel tadi. Kalau tahulah kan. Masalahnya tak tahu.

Tapi perasaan kesal kami buang jauh-jauh dan mengambil peluang ini untuk berjalan-jalan sekitar pekan kecil Gerik. Tempat pertama sudah semestinya ke kedai makan untuk bersarapan. Agak jauh juga kami berjalan kerana kedai yang ada hanyalah kedai mamak di mana ianya adalah kawasan larangan untuk kami. Lalu terjumpa sebuah kedai yang sederhana sahaja bentuknya dan kami pun makan di situ. Aku dapat dengar percakapan gadis yang ambil order kami itu berloghat campuran. Kadang-kadang kedengaran seperti cakap Kelantan Siam. Dengar lama sikit, macam cakap utara. Dengar lagi sekali macam loghat Perak pulak. Mungkin pertembungan tiga negeri berhampiran Gerik, iaitu Kedah-Perak-Kelantan menjadikan percampuran loghat dalam perbualan mereka. Apa pun dengan harga RM2.30 sudah cukup mengenyangkan aku dengan hidangan Roti Telur dan Kopi O.

Selesai makan, kami berjalan-jalan lagi sehinggalah terjumpa Pasar Borong Gerik. Tanpa melengahkan masa lagi kami ke pasar tersebut melihat-lihat kegiatan jual beli di sana. Lepas itu kami berjalan lagi melihat kedai-kedai yang baru nak buka.


Kemudian kami pulang semula ke stesen bas untuk menyambung pengangguran kami di pekan Gerik.

Bosan kan cerita? Ye, itulah yang terjadi sebenarnya. Memang teramat bosan menunggu kehadiran bas ke Kelantan. Jadi aku ringkaskan cerita terus lah ye.

Sesampai sahaja bas yang dinanti, Yoe terus pergi ke arah pemandu bas tersebut. Menurut penjaga kaunter, kami perlu meminta belas ihsan pemandu bas untuk menumpang basnya ke Kelantan. Harga juga ditetapkan oleh pemandu. Jadi selepas perbincangan dua hala antara Yoe dan pemandu bas, kami pun dapat menumpang bas itu hingga ke Pasir Mas dengan bayaran RM 20. Menurut Yoe, dia sehingga perlu kecek Kelate dengan pemandu bas tersebut yang berasal dari Kelantan, barulah dapat tumpang dan juga mengurangkan harga tambang. Itu yang dipanggil semangat 'Sek sek kito deh'!

Baru sahaja 5 minit bas berjalan, tiba-tiba bas berhenti di sebuah gerai tepi jalan. Rupa-rupanya berhenti untuk makan tengah hari pulak. Potong stim betul.

Tasik Banding

Cis bosan sial cerita aku. Aku terus cerita sampai Rantau Panjang la boleh tak? Tak ada yang menarik pun sepanjang perjalanan. Kecuali dalam bas, drebar pergi pasang lagu Hindustan yang sama berulang-ulang. Satu lagu, ulang-ulang, sepanjang perjalanan. Seksa! Juga kami tersekat di stesen bas Pasir Mas dalam hujan yang sangat lebat. Dari Pasir Mas kami ambil bas ke Rantau Panjang dalam perjalanan yang mengambil masa satu setengah jam.


Sesampai sahaja di Rantau Panjang pada pukul 6 petang, suasana kelihatan agak lengang. Meleset dari gambaran aku sebelum ini. Baru diketahui bahawa Rantau Panjang hanya sibuk dan meriah pada dari pagi hingga selewat 4 petang sahaja. Mungkin kerana aspek keselamatan, Rantau Panjang tidak dibuka pada waktu malam.


Kami agak kecewa apabila mendapati, bas terakhir yang ada adalah ke Pasir Mas semula iaitu pada pukul 6.15 petang, bas yang sama membawa kami ke Rantau Panjang. Adalah satu kerja sia-sia jika kami hanya menjejak kaki dan berjalan beberapa langkah sebelum berpatah balik ke Pasir Mas. What's the point? Tetapi kami juga sebolehnya tidak mahu bermalam di Rantau Panjang kerana menurut Yoe, Rantau Panjang tidak hidup di waktu malam.

Kami sudah tersepit.
Lalu hanya ada satu pilihan terakhir. Telefon dikeluarkan, nombor didail.

"Hello, Dihar...?"

Hari ke-4 (Part 2) - Kekecohan di luar negara

Ye, maskot kami yang skeptikal itu dihubungi. Beliau sudah pun berada di Kota Bharu dan kami memintanya untuk menjemput kami di Rantau Panjang.

Setelah Dihar bersetuju untuk menjemput kami pada pukul 8 malam, kami pun dengan senang hati pergi ke arah Sungai Golok, sungai yang menjadi sempadan pemisah antara Rantau Panjang dan Golok. Sungai yang memisahkan negara Malaysia dan Thailand. Dan sungai itu hanya mempunyai kelebaran kira-kira 10-15 meter sahaja!

Sungai Golok yang menjadi sempadan antara
Rantau Panjang dan Pekan Golok

Tujuan kami hanyalah untuk memerhati Sungai Golok dari jeti bot yang ada di situ. Terdapat beberapa kumpulan manusia yang kelihatan menaiki bot menyeberangi sungai itu ke Golok. Mungkin rakyat warga Thai yang bekerja di sini. Kelihatan juga kelibat tentera Malaysia di belah sini, manakala tentera Thailand di seberang, kedua-duanya lengkap dengan uniform dan senjata.

Askar Thai penjaga sempadan

"Ah demo alang-alang dah sampai Rantau Panje, gi ah Golok," tiba-tiba kedengaran seorang penduduk yang sedang menaiki bot berkata kepada kami yang hanya berdiri melihat dari jauh. Setelah berfikir 5 saat (macam tak fikir je) kami pun berjalan dengan keadaan was-was menuju ke bot untuk ke Golok.

Bot tersebut tidak memerlukan penumpangnya untuk duduk, iaitu kami perlu berdiri sepanjang perjalanan. Tak pasti perkataan 'perjalanan' sesuai digunakan atau tidak kerana kami hanya berada di bot kira-kira 1 minit sahaja terus tiba di jeti Golok. RM1 dibayar kepada pemandu bot. RM1 untuk 1 minit, macam mahal je. Haha.

Masuk sahaja di kawasan Golok, terdapat sebuah khemah yang menempatkan meja seperti dijadikan kaunter dan dijaga oleh tentera Thai. Tiba-tiba suatu benda yang menakutkan berlaku antara kami dan tentera..

Menakutkan sehingga lutut aku goyang dan telur sebelah termasuk dalam...

Kami ditahan oleh tentera Thailand ketika sedang berjalan melintasi khemah tersebut. Aku sudah hilang punca tidak faham mengenai situasi ini. Takkan nak periksa passport kot, aku memang tak bawak passport dan setahu aku tidak perlu pun jika sekadar mahu ke Golok. Tentera Thailand itu pula berkomunikasi dalam bahasa English yang berbunyi Siam dan tidak sepatah pun kami faham.

Tiba-tiba terasa beg aku bergoyang-goyang. Apabila ditoleh, seorang tentera sudah pun memegang-megang beg aku untuk diperiksa. Aku yang yakin beg aku tidak membawa sebarang haiwan eksotik atau dadah (dan dengan harapan, Lan, pemilik beg yang aku pinjam, tidak meninggalkan benda-benda pelik di dalam beg), memberi kerjasama cuba menurunkan beg aku untuk diperiksa, tetapi dihalang oleh tentera tersebut dan memberi isyarat tidak perlu menurunkan beg. Sementara itu, Yoe bertungkus lumus berkomunikasi dengan tentera-tentera Thailand itu. Agak tegang sebentar keadaan tersebut.

Mujurlah terdapat seorang lelaki tua datang menghampiri kaunter tersebut dan menjadi jurubahasa kami. Beliau nampaknya seperti menguasai bahasa Melayu dan Thailand, memberitahu kami yang tentera Thailand itu mahu tahu kami hendak ke mana dan untuk apa. Kami pun memberitahu beliau kami tidak ke mana-mana pun hanya berjalan sekitar sini sahaja untuk mengambil gambar. Tentera itu pun faham dan nampaknya bibit-bibit kemesraan rakyat Thai sudah terasa. Kami diberi penerangan oleh tentera tersebut (melalui lelaki tua itu) yang kami perlu mengisi borang dan mendapatkan pas sebelum boleh masuk ke Pekan Golok. Oleh kerana kami tidak ke Pekan Golok lalu kami dilepaskan untuk berjalan-jalan tanpa perlu mengisi borang.

Lega. Aku risau juga, mana tahu kami perlu 'bayar' untuk dilepaskan. Oh ye, untuk pengetahuan semua, kami ketika itu hanya mempunyai wang sebanyak RM8 itupun sesudah dicampur wang milik kami berdua. Kalau perlu 'bayar' memang kena terajang masuk sungai Golok lah kami selepas ditunjukkan RM8 itu.

Kami pun meneruskan berjalan sekitar kawasan itu, ambil-ambil gambar. Penduduk-penduduk di situ kelihatan ramah dan kami sempat berbual-bual dengan penduduk wanita di situ:- seorang wanita tua dan seorang kanak-kanak perempuan. Kami juga sempat mengambil gambar dengan tentera-tentera yang menahan kami tadi sebagai tanda persahabatan antara dua negara. Perghh..diplomatik abis lah pengembaraan kami!

Setelah bersiar-siar kawasan itu selama 15 minit, kami kembali menaiki bot untuk ke Rantau Panjang semula. Aku sangkakan seperti menaiki feri ke Pulau Pinang, hanya perlu bayar untuk masuk Penang, untuk keluar tak perlu bayar tambang. Rupanya tak. RM1 perlu dibayar lagi. Naik feri penang yang 15 minit + 15 minit pun pergi-balik baru RM1.20, ini dua minit dah RM2. Ceh apsal aku komplen-komplen pulak ni.

Di pekan rantau panjang, kami mengeluarkan duit di bank dan berjalan-jalan sehingga terjumpa satu kedai jersi yang masih dibuka. Seperti yang diketahui, jersi-jersi tiruan di Rantau Panjang memang sangat murah. Silap aku tak bawak banyak duit je. Setelah memilih jersi Argentina yang tak power tu, Yoe cuba menawar harga, walaupun harga yang diberi sudah sedia murah. Mungkin untuk mendapat orgasm menawar harga barangkali.

"Kalau nak murah, adik datang esok," kata wanita penjual jersi.

"Oh, esok akak jual murah ke?" tanya Yoe.

"Tak, esok adik datang balik, pergi kedai lain," jawab wanita itu bersahaja tanpa mengetahui adakah niatnya untuk memerli atau memang itu jawapan jujur dari beliau. Kah kah kah.

Deretan jersi di sebuah kedai di Rantau Panjang

Yoe terus bayar dan kami teruskan berjalan-jalan. Kami singgah minum di sebuah kedai yang sangat minimalis. Aku memesan roti telur dan nescafe tarik. Uhh..karinya sangat manis! Aku yang sedang lapar tak peduli pun manis ke, masam ke, aku mentekedarah je sampai habis.

Tepat pukul 8.15malam, Dihar the maskot datang dengan kereta Kelisa. Ayat pertama yang aku cakap kepadanya ialah "Thanks Dihar," berterima kasih la dulu ye tak. "Eh hari ni baru hari ke-4, kami sempat sampai Kelantan!".

Jika anda sangkakan, cabaran sudah berkurangan dan sudah tiada cerita lagi untuk diberitahu, memandangkan kami ditemani dengan seorang tour guide iaitu Dihar, anda salah. Teruskan membaca.

Selamat berkenalan dengan Dihar.

Hari ke-4 (Part 3) - Maskot (terlalu) melayan kami dengan baik

Dihar bertanya ke mana mahu dituju, samada hotel atau makan dahulu? Oleh kerana kami tidak tahu malu, kami berkata kepada dia yang kami mahu bermalam di rumah beliau supaya wang kami dapat dijimatkan. Dia bersetuju. Jadi aku pun meminta dibawa makan nasi kerabu yang sedap di Kota Bharu. Katanya, nasi kerabu dimakan di waktu pagi di sini, tetapi aku berkeras mahu ke nasi kerabu juga. Nak jugak! Nak jugak! Jadi kami dibawa makan di sebuah restoran yang bernama Nasi Kerabu Golok. Sedap sangat. Bertambah sedap apabila nasi kami dibayar oleh Dihar selepas kami memuji kesegakannya memakai baju Liverpool.

Restoran Nasi Kerabu Golok

Kemudian kami dibawa bersiar-siar mengelilingi Kota Bharu. Tempat pertama ialah rumah kediaman Nik Aziz. Yoe nampak sudah bersedia dengan kamera dan sedang setting kamera untuk situasi kurang cahaya, semuanya dilakukan untuk mengambil gambar rumah tersebut. Sampai sahaja di sebuah kawasan, Dihar pun berkata,

"Ha, area sini la. Ni madrasah kepunyaan dia. Ni masjid tempat dia selalu sembahyang."

"Erm, mana rumah dia?" tanya Yoe, apabila tidak kelihatan pun rumah yang dimaksudkan.

"Aku tak pasti la. Tapi area-area ni la rumah dia. Aku tak sure sangat. Tapi ni la madrasah kepunyaan dia. Ni masjid tempat dia selalu sembahyang." jawab Dihar.

Aku yang duduk di tempat duduk hadapan sebelah pemandu dapat mendengar bunyi-bunyi kecewa oleh Yoe di belakang.

Kami pun teruskan berjalan sehingga ternampak gerai menjual buah-buahan. Kami berhenti sebentar untuk makan durian. Tak sedap sangat. Kemudian Dihar membawa kami sekeliling Kota Bharu dan menunjukkan tempat-tempat menarik dan bersejarah seperti:-

1) Sekolah rendah Dihar
2) Sekolah menengah Dihar
3) MRSM Dihar - di sekolah ini, dia dipulau rakan-rakan kerana report kat cikgu ada budak isap rokok
4) Landasan kapal terbang

Eh? Landasan kapal terbang pun nak tunjuk? Oh, buat pengetahuan anda semua, di Kota Bharu ini ada satu port melepak yang kelihatan happening sekali, iaitu lepak ramai-ramai tepi jalan betul-betul di luar airport berhampiran landasan kapal terbang. Sangat 'unik' sekali kerana kami tidak faham apa orgasmnya lepak di situ. Punya la ramai lepak, siap ada peniaga berniaga jual air dan makanan di situ. Apa pun kami tidak lepak sekali dengan mereka.

5) Istana-istana
6) Cyber cafe milik member dia
7) Stadium Kota Bharu

Ketika di dalam kereta juga aku berpeluang mendengar radio negeri Kelantan di mana ketika itu terdapat slot belajar bahasa Inggeris. No offense, aku dapati rancangan radio tersebut sangat kelakar. Cikgu Inggeris tersebut mengajar dengan loghat Kelantan dan sebutan Inggerisnya juga berbunyi Kelantan!

"Kalu dok wak gapo mu kecek 'aim duing nat'hing," salah satu ajaran dalam slot tersebut.

Kemudian kami dibawa ke Wakaf Che Yeh atas permintaan Yoe. Wakaf Che Yeh ini bukannya apa pun, macam uptown kat KL la. Tapi yang pasti, harga barangan sangat murah terutamanya baju dan jersi. Aku ketika itu terasa kepala berpusing-pusing mungkin kesan daripada keletihan ditambah pula lepas makan durian, hanya berjalan-jalan tanpa melihat barangan.

Setelah meluangkan masa selama 20 minit di situ, kami berlalu meniggalkan Wakaf Che Yeh tanpa membeli apa-apa menuju ke kawasan tepi sungai Kelantan yang menempatkan kedai-kedai makan untuk kami melepak seketika. Kemudian meneruskan jalan-jalan keliling KB ke destinasi utama iaitu Menara Jam Kota Bharu.

Menara Jam Kota Bharu terletak di bulatan di tengah-tengah bandar Kota Bharu yang juga menempatkan replika Al-Quran yang besar. Menurut Dihar, bulatan in dahulu menempatkan replika kijang yang juga maskot kepada negeri Kelantan tetapi sudah ditiadakan selepas bertukar pemerintahan di bawah Pas dan diganti dengan replika al-Quran. Mungkin kami juga patut menggantikan maskot kami iaitu Dihar kepada benda lain, selipar jamban mungkin.


Setelah melawat menara jam itu kami beredar menuju ke rumah Dihar. Jam menunjukkan pukul 2 pagi dan aku sudah terasa mengantuk dan letih. Otak hanya mampu berfikir tentang mandi dan tidur sahaja. Dalam perjalanan pulang, Dihar kelihatan masih lagi mahu membawa kami berjalan-jalan.

"Ha kat area sini rumah Khairul Fahmi Che Mat. Penjaga gol Kelantan dan Malaysia," kata Dihar.

"Mana rumah dia?" tanya aku.

"Tak sure lak aku. Tapi area-area ni la," jawapan standard Dihar.

Kami juga ditunjukkan tempat dia selalu beli komik, tempat tuisyen dia dulu blablabla aku dah tak ingat sebab dah mengantuk sangat. Akhirnya aku bertanya Dihar,

"Erm, apa kata ko tunjuk kat kitorang rumah ko pulak?"


-----------------------

Akhirnya kami tiba juga di rumah Dihar. Aku terus mengambil beg dengan rasa letih. Dihar boleh lagi berkata "Lek lu baru 2.30 pagi, takkan nak tidur dah,"

Masuk sahaja rumah, keluarga Dihar sudah pun tidur. Aku ingatkan tour Kota Bharu kami dah habis, rupanya ada lagi. Tiba-tiba Dihar berkata,

"Alamak, tidur la pulak," kata Dihar kepada sekumpulan ikan peliharaannya di dalam akuarium kecil. "Ni la ikan-ikan aku, Deep. Ko nak tengok ikan aku tak? Kalau nak, aku boleh kejutkan diorang,"

Aku menolak sopan.

Kami ditunjukkan bilik tidur kami iaitu bilik kepunyaan adiknya. Apabila ditanya di mana terletaknya bilik tidurnya, dia menjawab terletak di belakang.

"Hari tu aku tengah tidur kat bilik aku, tiba-tiba rasa badan aku macam kena cakar, " dia mula bercerita. Apabila ditanya apa yang mencakar badannya, dia menjawab, "Biawak yang cakar. Aku dah terkejut dah time tu. Biawak tu pun terkejut bila tengok aku,"

Untuk pengetahuan semua, biawak suka makan bangkai.

Masuk sahaja bilik adiknya, aku dapat lihat terdapat sebuah almari penuh dengan komik-komik milik Dihar dan adiknya.

"Kalau korang nak baca komik, ambik la sini. Ko nak baca komik apa Deep?" pelawa Dihar.

Aku menolak sopan. Ketika itu Yoe sudah pun terlantar atas katil. Tidak cukup dengan itu, Dihar kelihatan berusaha mengeluarkan sebuah buku yang terletak di celah-celah komik yang ada. Setelah berjaya mengeluarkan buku tersebut, dia memberikannya kepada aku.

Buku Cara Mempelajari Taekwondo.

"Nah, nak belajar taekwondo kena baca buku ni."

APA KEJADAHNYA NAK BELAJAR TAEKWONDO PAGI-PAGI BUTA NI, DIHAR?!

Aku menolak dengan sopan. Lantas menuju ke bilik air untuk membersihkan diri, dengan perasaan risau bertembung dengan biawak. Teringat juga cerita Dihar ketika di dalam kereta dalam perjalanan balik rumah tadi, "Hari tu, ada orang jumpa ular sawa dekat belukar berhampiran rumah aku. Ular sawa tu! Jenis telan orang punya ular."

Aku hanya mampu berdoa.

Dihar pula membuka TV di ruang tamu. Ketika dalam perjalanan ke bilik air, masih lagi terdengar suara Dihar dari jauh,

"Yoe, ni ha jom tengok cerita Pi Mai Tang tu!"

Aku tidak mendengar sebarang jawapan dari Yoe.

Selepas mandi, aku buat apa-apa yang patut semua, update status FB dan terus tidur cepat-cepat. Nanti buku apa pula yang disuruh aku baca. Buku cara-cara masuk UMNO? Zzz...

(Kepada Dihar, kau kesunyian ni. Duduk la balik kat KL. Nanti aku bawak ko lepak tepi landasan kapal terbang KLIA.)

Oh ya. Dengan itu, berakhirlah tugas aku untuk mencatatkan perjalanan kami sepanjang pengembaraan sehingga hari ke-4. Catatan seterusnya akan ditulis dari tulisan jejari runcing seorang lelaki bernama Yoe.

Semoga terhibur!