Showing posts with label Hari ke-3. Show all posts
Showing posts with label Hari ke-3. Show all posts

Hari ke-3 (Part 1) - Tak tentu arah di Sungai Petani

21 Jun 2011

Kokk..kokk.kokk..kooookk...

Kedengaran bunyi ayam jantan di Kampung Kayu Ara, Kuala Pilah tepat jam 6 pagi.

Manakala di sebuah bilik usang Hotel Merlin, Pulau Pinang, aku bangun dengan menyeret kaki yang seperti dibelenggu bola besi, menuju ke bilik air setelah dikejutkan oleh penggera telefon. Disiplin masih dapat dikekalkan nampaknya untuk hari ketiga ini. Mengagumkan.

Kami periksa-keluar (check out) dari hotel itu jam 7.00 pagi. Berjalan di tengah bandar George Town, suasana pagi dengan pencahayaan dari matahari yang masih malu-malu membuatkan pemandangan bangunan menjadi lebih indah. Cuaca pula begitu ceria memudahkan perjalan kami ke Weld Quay. Aku bernyanyi riang lagu Asyik nyanyian Amelina sambil berjalan. Serius, aku pun tak tau kenapa lagu-lagu pelik selalu berlegar dalam minda sepanjang pengembaraan ini.


Pelan kami pada hari itu ialah pergi sejauh yang mungkin. Hari ketiga dan baru berada di Pulau Pinang, suatu situasi yang agak membimbangkan kerana masih ada banyak lagi tempat perlu dijelajahi. Jadi pagi-pagi lagi jam 7.30 pagi kami sudah menaiki feri ke Butterworth, setelah melawan arus orang bersesak-sesak menuju ke Pulau Pinang untuk bekerja. Melawan arus kadang-kadang memang menyeronokkan.


Selepas 15 minit, kami tiba di Butterworth dan mencari bas. Seperti perancangan semalam, kami mencari bas Kuala Muda, Kedah. Jadi dari sana mungkin boleh ke Alor Setar atau bandar berdekatan tetapi masih menuju ke Alor Setar. Bas untuk Kuala Muda masih tidak kelihatan, namun kami sudah tahu di mana hendak menunggunya, iaitu terletak di platform yang meletakkan bas-bas dari syarikat RapidPenang. Tetapi dalam pada itu, kami juga mencari-cari bas lain yang ada dengan merujuk peta, mana tahu boleh juga naik dan sekurang-kurangnya kami bergerak. Tak adalah perlu membuang masa menunggu. Aku pun pergi bertanya kepada abang yang memakai baju Transnasional mengenai bas-bas lain dan destinasi bas yang ada di Kuala Muda.

Tetapi satu soalan yang agak mengejutkan ditanya oleh abang Transnasional tersebut.

"Ni hang tanya Kuala Muda yang mana satu?"

Aku pun kehairanan. Kuala Muda ada banyak ke?

"Kuala Muda ada dua la. Satu hat Penang punya, satu lagi Kedah. Yang bas dari sini pi Kuala Muda yang hat Penang punya la," jawab abang itu.

Ah sudah. Maknanya tak ada la bas ke Kuala Muda, Kedah dari sini. Camana aku boleh tak tau ada dua ni. Aku pun terus berbincang dengan Yoe tentang perubahan pelan yang terpaksa dilakukan. Kami terus ke bas yang ke Sungai Petani, ada dua iaitu kepunyaan Cityliner dan Transnasional. Transnasional seperti yang anda ketahui, adalah sebuah syarikat bas ekspress manakala Cityliner pula, memiliki bas-bas yang moden. Untuk kepastian, kami terus bertanya kepada pemandu kedua-dua bas tersebut, adakah ini bas ekspress.

Untuk pengetahuan anda, kalau soalan itu ditanyakan kepada mana-mana syarikat bas pun, jawapan yang diterima sudah semestinya mereka claim bas mereka ialah bas ekspress. Lalu kami tanya soalan seterusnya, iaitu adakah bas ini melalui lebuhraya, bas ini boleh berhenti tak kalau kami nak turun mana-mana, dan lain-lain. Sesudah puas hati dengan jawapan, iaitu secara teknikalnya bas Cityliner ialah 98% bas tambang, kami pun menaiki bas tersebut dan terus ke Sungai Petani. Hihi.


Sesampainya di Sungai Petani, kami terus tercari-cari bas bagai anak-anak ayam kehilangan ibunya yang dikejar musang. Kelihatan bas ke Alor Setar adalah bas Transnasional. Hmm..tidak puas hati dengan penemuan itu, kami ke kaunter bas mara dan macam biasa menanyakan soalan-soalan lazim. Bertanya orang sudah menjadi pekerjaan utama kami sepanjang pengembaraan ini. Jawapan yang diterima tetap menghampakan apabila beliau berkata hanya bas Transnasional yang menuju ke Alor Setar. Ada satu bas ke Pendang, juga perlu menunggu lama juga.

Stesen bas Sungai Petani

(Keadaan kami pada masa itu agak kucar kacir tak ada hala tuju. Jadi penceritaan aku pun jadi tak tentu hala. Harap maaf.)

Memikirkan yang kami belum makan, jadi kami pun berjalan ke arah kedai-kedai makan cadangnya untuk makan. Dalam pada itu, Yoe masih dengan lagak jurugambar suratkhabar, mengambil-ambil gambar sekeliling.

Tanpa disedari, kelakuan itu sebenarnya menimbulkan suatu situasi kurang senang beberapa pihak di situ..jeng jeng jeng.

"Assalamualaikum," kedengaran seseorang memberi salam, "Ni ambik gambar untuk apa ni?" tanya orang tersebut dengan kasar. Nampak seperti pemandu teksi.

"Lu apahal sibuk-sibuk der?" aku jawab. Yoe ketika itu sudah berundur dan berdiri di belakang aku.

"Kurang hajar betul orang luar datang sini buat kacau plak!" kata orang tersebut sambil menghayunkan penumbuk ke muka aku. Aku yang dilatih untuk tenang dalam sebarang situasi sempat mengelak sedikit, anginnya terasa di pipi.

Melihatkan keadaan orang itu yang tidak seimbang setelah tumbukannya tidak mengenai sasaran, aku mengambil kesempatan menumbuk perutnya dan mentaji kakinya di lutut sehingga dia tertiarap di atas jalan. Kedengaran orang itu mengerang kesakitan. Orang ramai sudah berkerumun melihat pergaduhan itu. Kelihatan seseorang menghulurkan microphone kepada aku lalu aku pun menyambutnya lantas menjerit, "Do you smelllalala..what Adib is cookin,"


***********

"Waalaikumsalam," suara Yoe menjawab salam mengejutkan aku daripada fantasi. Kelihatan seorang pakcik yang sedang duduk di bawah sebuah pondok teksi tidak jauh dari tempat Yoe mengambil gambar.

Pakcik tersebut bertanyakan kami dari mana dan dijawab oleh Yoe yang kami dari KL dan sedang mengembara. Apabila ditanya ambil gambar untuk apa, Yoe menjawab untuk kenang-kenangan.

"Ingatkan wartawan tadi. Sebab dulu ada orang ambil gambar, keluar suratkhabar pasal teksi haram," jawab pakcik itu. Fahamlah kami kenapa apabila Yoe ambil gambar, ramai yang memerhati. Aku pun perasaan keadaan di sini seolah-olah kami diperhatikan. Setelah memberi penjelasan kepada pakcik tersebut, kami pun beredar nak membeli makanan.

Setelah dilihat tiada makanan menarik dijual, kami pun tak jadi beli makanan.(Kan dah kata tadi, tak tentu arah). Perbincangan dua hala dilakukan antara aku dan Yoe, mengenai destinasi dan bas mana yang patut dinaiki. Kelihatan bas Alor Setar sedang menunggu. Setelah berbincang akhirnya kami setuju untuk ke Alor Setar dengan bas tersebut.

Lantas kami bertanyakan kepada pemandu bas, pukul berapa akan bertolak. Beliau menjawab, setengah jam lagi iaitu pukul 10.00 pagi. Wah, ada masa untuk ke menara jam Sungai Petani. Kami cadangnya hendak skip juga menara jam Sungai Petani demi mengejar masa dan mencapai matlamat pergi sejauh yang boleh. Tetapi alang-alang ada masa ni boleh la jenguk kejap. Jadi kami pun berlari-lari bak ibu ayam yang sedang dikejar musang menuju ke menara jam tersebut yang terletak kira-kira 400 meter dari stesen bas. Pagi-pagi memang sesuai buat exercise sikit, kan?. Sesampainya di menara jam kami terus mengambil gambar stail tak ada seni punya kerana perlu cepat dan secara termengah-mengah keletihan.


Sedikit info mengenai menara jam tersebut, ianya dibina sebagai penghormatan kepada zaman pemerintahan King George V oleh Lim Lean Teng, jutawan dari negara China yang berhijrah ke Pulau Pinang. Kalau anda jutawan, apa kata bina menara jam jugak. Boleh la jugak masuk blog ni nanti. Kuikui..

Eh, masa dah suntuk. Perlu bergegas ke stesen bas semula untuk menaiki bas ke Alor Setar. Kami pun berlari-lari sekali lagi bagaikan musang yang dikejar penduduk kampung kerana makan ayam ternakan. Letih berlari tadi masih tak hilang, tambah letih tengah berlari ni lagi, memang mencabar ketahanan fizikal kami. Tinggal 5 minit lagi sebelum 10.00 pagi dan kami sudah tiba di stesen bas.

Tetapi fizikal yang diuji tadi nampaknya sia-sia sahaja apabila bas yang kami kejar rupanya sudah berlepas. Drebar bas penipu. Kata10.00 pagi. Kami hanya mampu menyumpah-nyumpah dalam hati kerana risau kehilangan RM1 pula kalau diikutkan sangat emosi. Sangat mencabar!

Apa boleh buat, menunggulah kami lagi di situ lagi sejam untuk bas seterusnya. Rugi je masa. Aku menghilangkan letih dengan duduk mencangkung di hadapan kedai yang belum dibuka. Manakala Yoe, masih dengan gaya jurugambar, mengambil gambar sekeliling, ke sana ke mari. Mentang-mentang dah tau sikit setting kamera.

Setelah 15 minit, Yoe kembali dan mengajak aku minum pagi di sebuah kedai berhampiran tidak jauh dari tempat bas. Aku pun bersetuju. Masuk sahaja kedai tersebut, kami disapa oleh dua orang pakcik yang sedang menikmati sarapan. Sekali lagi kami ditanya dari mana dan kenapa mengambil gambar sekeliling. Penjelasan sebaiknya diberi dan syukur tiada apa yang terjadi. Ini dijadikan pengajaran kepada kami, TERUTAMANYA YOE supaya tidak sesuka hati main langgar je kalau nak ambil gambar.

Mengikut cerita Yoe, semasa beliau ke sana ke mari ambil gambar tadi, beliau cuba nak mengambil gambar yang ala-ala artistik mengenai kegiatan pagi orang-orang di Sungai Petani dan beliau ternampak seorang pakcik sedang makan mi kari. Apabila nak snap je gambar, pakcik tu toleh ke arah Yoe, dan Yoe buat-buat ambil gambar tempat lain. Kemudian Yoe naik ke tempat tinggi sedikit iaitu di tingkat dua bangunan, masih dengan tujuan untuk mengambil gambar pakcik itu. Sekali lagi berlaku, pakcik itu masih lagi mendapat aura yang gambarnya sedang cuba diambil, lalu dia pun menoleh ke arah Yoe. Sekali lagi, Yoe mengalih kamera dan buat-buat ambil gambar tempat lain. Mungkin itu menimbulkan ketidakselesaan kepada pakcik tersebut.


"Yoe, orang yang hasilkan gambar artistik macam tu, semuanya ada lens panjang-panjang. Ambil gambar dari jauh je. Yang ko ni lens standard memang la kantoi ambik gambar dekat-dekat. Memang patutlah orang marah. Hahaha!" reaksi aku kepada cerita Yoe.

Dipendekkan cerita, bas sampai. Kami habiskan minuman dan terus menaiki bas ke Alor Setar.

Haiihh...kacau bilau jadinya.


Hari ke-3 (Part 2) - Mencari ganja di Alor Setar


Buat pengetahuan tambahan kepada gadis-gadis yang berpotensi, aku dibesarkan di Alor Setar dan pernah tinggal di sana selama lebih kurang 15 tahun dari umur 3-4 tahun sehingga ke tingkatan tiga. Jadi Alor Setar merupakan kotak besar simpanan kenangan kanak-kanak dan kenangan gila-gila remaja aku. Di sinilah aku mengenal cinta, muzik, seks(terhad kepada teori sahaja ok), loghat Kedah dan lain-lain. Jikalau diterbitkan buku biografi tentang aku, kemungkinan suku daripada buku tersebut adalah berkisar tentang kehidupan di Alor Setar.

Setibanya di Alor Setar kira-kira jam 1.30 petang, kami turun di tengah-tengah bandar Alor Setar iaitu berhadapan Pekan Rabu kerana ianya berhampiran dengan Menara Jam Besar Alor Setar dan bas tersebut meneruskan perjalanan ke Shahab Perdana yang terletak di pinggir bandar Alor Setar. Hujan renyai turun ketika kaki aku menjejak kaki ke bumi Alor Setar seolah-olah meraikan kedatangan semula aku ke sini. Ini juga kali pertama kami menghadapi hujan setelah 3 hari pengembaraan. Kinda cooling us down a little bit.

Menara tempat menyimpan perkakas musik nobat


Berjalan kira-kira 200 meter dari Pekan Rabu, tibalah kami ke sebuah dataran di tengah bandar Alor Setar yang dikelilingi bangunan-bangunan seperti Balai Seni Alor Setar, Masjid Zahir, Menara Nobat, Muzium Di-raja, dan juga target kami, Menara Jam Alor Setar. Menara Alor Setar juga terletak berhampiran kawasan tersebut. Di dataran ini seingat aku, aku pernah beberapa kali datang ketika di zaman sekolah untuk melambai-lambaikan bendera sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah, selain datang untuk bersembahyang Jumaat di Masjid Zahir.


Yoe menggantikan jam di menara dengan
jam tangannya yang tidak berfungsi

Gambar-gambar dan video telah diambil jadi kami pun meneruskan perjalanan ke Pekan Rabu semula untuk menaiki bas ke Shahab Perdana. Ketika ini, hujan sudah berhenti turun dan cuaca menjadi panas semula. Di tengah perjalanan, Yoe memberitahu mengenai sebuah restoran bernama Nasi Ganja yang amat popular, melalui aplikasi di telefonnya, Foursquare.

Inilah yang aku beritahu awal-awal pada intro aku di mana peraturan larangan menggunakan internet nampaknya semakin dilanggar. Haha. Lantak lah.

Aku tidak pernah dengar mengenai kewujudan nasi ganja di Alor Setar sepanjang aku duduk sini. Tetapi tidak salah untuk mencuba. Jadi kami pun patah balik dan mencari restoran tersebut merujuk kepada panduan yang diberikan. Mungkin daulat atau balasan kerana melanggar perlembagaan pengembaraan, sesudah berjalan jauh dan mengambil masa hampir satu jam, masih tidak kelihatan langsung bayang restoran tersebut walaupun sudah berada betul-betul di lokasi seperti yang diarahkan. Lalu kami pun bertanya kepada brader jaga parking di sebuah pusat membeli belah berhampiran, mengenai di mana terletaknya Nasi Ganja tersebut.

"Nasi ganja? Tak pernah dengar pun. Amoi, you pernah dengar?" tanya brader tersebut kepada amoi yang baru sahaja meletakkan kereta.
"Nasi Kandar?" amoi itu bertanya dan kami memberitahunya semula bukan Nasi Kandar tetapi Nasi Ganja. "Nasi ganja? Mana ada. Hahaha!" mereka menggelakkan kami.

"Nasi ganja mana pulak ni? Hahaha..pelik sungguh. Ganja orang pi hisap, ni hampa nak tauk dalam nasik pulak. Ah Chai, you pernah dengar Nasi Ganja?" tanya brader tersebut kepada seorang lelaki cina pula, yang juga baru meletakkan kereta di kawasan tersebut. Sekali lagi mereka bergelak tawa dengan pertanyaan kami. Woi, gelak sorang-sorang cukuplah. Ini ajak member gelak sekali pulak. Bengang betul.

Kami pun meninggalkan brader tersebut, yang sempat memberitahu ada terdapat gerai jual nasi campur di mana pengunjungnya kebanyakannya orang muda. Telahan kami, mungkin itulah nasi ganja. Tetapi bila dicari masih tidak berjumpa, dan kami rasa ditipu, lalu kami putus asa.

Kami isytiharkan nasi ganja di Alor Setar ialah tidak lebih dari sebuah urban legend semata-mata. Mungkin nasi ganja hanya gelaran oleh orang-orang tertentu, bukan nama kedai sebenar. Sebab itu tidak berjumpa. Sesiapa ada maklumat sila beritahu.

Lalu dengan perasaan yang bercampur-campur:- marah, bengang, lapar, kami pun hanya mampu berjalan, dan menahan bas kalau-kalau ada yang ke Shahab Perdana. Tiba-tiba kami ternampak sebuah restoran yang beratapkan atap rumbia terletak berhampiran Menara Alor Setar. Jadi kami pun ambil keputusan untuk makan sahaja di situ.

Rupa-rupanya itulah restoran atap rumbia yang aku pernah dengar kewujudannya sebelum ini. Hidangan yang ada disediakan di situ kebanyakannya ikan bakar dan berpuluh-puluh lagi lauk hidangan tengah hari. Masakannya agak sedap, faktor kelaparan juga membantu, dan harganya juga berpatutan meredakan sedikit kebengangan kami. Tak dapat nasi ganja, ikan ganja bakar pun jadilah!


Lepas makan dan cuci mata dengan hot mama dan awek-awek Alor Setar yang juga makan di situ, kami pun berjalan sedikit ke sebuah perhentian bas yang terletak tidak jauh dari situ. Menunggu kira-kira 3 minit, bas datang dan kami pun ke Shahab Perdana.

Tiba di Shahab Perdana, kami macam biasa melakukan survey bas untuk ke Kangar, Perlis. Didapati kami perlu menunggu setengah jam lagi untuk bas tersebut. Lantas, atas cadangan Yoe untuk meminum air kelapa, kami pun ke sebuah gerai air kelapa yang aku nampak ketika di dalam bas sebentar tadi terletak di tepi jalan berhampiran Shahab Perdana. Air kelapa sesungguhnya melegakan tekak kami yang kekeringan di bawah terik cahaya matahari.

Ayaq nyoq memang terbukti dapat menghilangkan dahaga

Selesai minum, kami dengan pengalaman ditinggalkan bas dan tidak mahu pisang berbuah dua kali, terus berlari-lari anak menuju ke Shahab Perdana semula. Syukur, bas ke Kangar belum bertolak, dan kami pun naik bas tersebut ke destinasi seterusnya, Kangar, Perlis.

Hari ke-3 (Part 3) - Sebentar di Kangar dan hapacrita Baling?



Bas ke Kangar menyelusuri lantai hitam tar yang dihiasi hamparan menghijau sawah padi yang bagai tak berpenghujung dan berbumbungkan langit cerah berawan nano meneduhi kami tika panas mencuba menggores pipi (Awan Nano nyanyian Hafiz, bukan Jozan). Mungkin aku sudah biasa dengan pemandangan sawah padi sebegini jadi aku tak teruja sangat. Aku lebih suka pemandangan ladang tebu di Perlis, tapi mungkin kami tidak akan sampai di situ kerana perjalanan kami hanya setakat Kangar sahaja. Namun, masih lagi nampak indah dan mendamaikan.

Stesen bas kangar

Pukul 4.25 petang, kami tiba di stesen bas yang terletak di bandar kecil Kangar. Keadaan sekitar kelihatan santai tidak sesibuk bandar-bandar lain yang kami kunjungi sebelum ini. Yang tidak santai di Kangar ketika itu mungkin kami berdua yang ke hulu hilir melihat-lihat bas sebelum meneroka Kangar, agar mudah untuk merancang perjalanan selepas ini. Destinasi yang dicari ialah Baling atau sekitar Kedah berhampiran sempadan Gerik.

Tetapi tiada langsung bas tambang ketika itu.

Kami agak kehairanan, takkan tak ada langsung. Setelah 10 minit tunggu dan tiada bas lain, hanya kelihatan kaunter bas ekspress sahaja, lalu kami pun bertanya semula bas dari Alor Setar yang kami naiki tadi pukul berapa akan bertolak semula ke Alor Setar.

"5.00 petang,"

Jawapan dari pemandu bas tersebut bagaikan letusan pistol di garisan permulaan marathon menandakan bermulanya perlumbaan kami melawan masa untuk ke menara jam Kangar. Kami mempunyai kurang dari setengah jam untuk pergi ke menara jam tersebut dan balik semula ke stesen bas. Masa untuk berlari-lari!

Setelah 5 minit berjalan, keadaan agak genting kerana masih tidak menemui menara jam yang dicari. Lantas ditanyakan kepada dua orang polis trafik yang sedang bersantai di tepi jalan di atas motor. Setelah memberitahu arah jalan, polis tersebut bertanya apa tujuan kami mencari menara jam tersebut.

"Nak buat research assignment," jawab Yoe, menipu seperti biasa. Mungkin polis tersebut hairan untuk apa mencari menara jam sedangkan masing-masing memakai jam.

Kami tiba di menara jam perlis 10 minit kemudian. Menara jam ini adalah sebahagian dari bangunan milik Jabatan Kerja Raya Perlis dan terletak lebih kurang 500 meter dari stesen bas Kangar. Kami mengambil gambar dari taman mini yang terletak di luar kawasan bangunan dan berhadapan dengan menara jam. Kelihatan sepasang kekasih sedang bermadu kasih, bagi mengelakkan mereka membuat maksiat, kami menyuruh si lelaki mengambil gambar kami berlatarbelakangkan menara jam itu. Terima kasih kepadanya, teruskanlah apa yang tertangguh tadi. Kami tak peduli. Haha.


Tanpa menoleh ke belakang, kami berlari-lari lagi menuju ke stesen bas dengan harapan bas ke Alor Setar masih menunggu. 10 minit kemudian kami tiba dan lega apabila bas itu masih ada. Lalu dengan kehairanan muka pemandu bas mungkin kerana tak faham dengan karenah kami yang menaiki bas itu semula, kami pun bertolak ke Alor Setar.

Hanya setengah jam sahaja berada di negeri Perlis. (Geleng kepala)

Sampai di Shahab Perdana semula. Keletihan jelas terasa dengan pengembaraan kami hari ini yang merentasi tiga negeri. Itupun kerana tertinggal bas, nasi ganja, dan lain-lain halangan, kalau tidak mungkin 4 negeri dapat kami rentasi.

Pendekkan cerita, kami mengambil keputusan untuk menjadikan Baling, Kedah sebagai destinasi terakhir kami hari ini seterusnya bermalam di sana. Bas pukul 7.45 petang bertolak dengan berpenumpangkan kami berdua sahaja. Yoe siap letak beg, beg kamera, dompet, air botol, di setiap tempat duduk yang berlainan. Punya la tak ada orang. Sekali lagi, kalau kapel budak budak dah lama jadi kerja dalam bas ni. Nasib baik kami bukan...zzzzz.(Tertidur. Letih sangat tak sempat nak habiskan ayat.)

Baling, Kedah. Mengikut sejarah/mitos, tempat ini mendapat nama sempena peristiwa raja bersiong yang mem'BALING' gigi siong pemakan darahnya di sebuah tempat di sini. Tak tahulah aku kesahihan cerita yang aku dengar ini. Mungkin aku boleh cuba order nasi goreng ayam darah lebih, di mana-mana restoran kat Baling ni. Huahua.

Pukul 9.45 malam, kami tiba di stesen bas Baling. Turun sahaja bas, baru sahaja aku ingin bertanya sesuatu kepada Yoe, tiba-tiba Yoe meraba-raba punggung dan berkata "Alamak". Aku yang mamai menyangkakan seluarnya koyak dan beliau lupa pakai seluar dalam. Rupa-rupanya dompetnya tertinggal di dalam bas, di tempat duduk yang lain. Beliau terus bergegas ke bas tersebut yang masih berada di situ manakala aku yang yakin dompetnya masih ada di situ, hanya menunggu.

Setelah 5 minit dan Yoe masih dalam bas, aku dah mula risau. Kalau dompetnya hilang, kad ATMnya juga hilang. Kad ATMnya hilang, duit aku juga tak dapat dikeluarkan kerana duit aku berada di dalam akaun dia. Jadi aku pun bergegas ke bas tersebut untuk membantu Yoe mencari dompetnya.

Sesampainya di dalam bas aku melihat Yoe siap meniarap mencari di bawah kerusi. Juga kelihatan seorang lelaki yang bertugas membersihkan bas sedang menyapu sampah. Aku bertanya sama ada sudah bertanya kepada lelaki tersebut. Yoe berkata sudah bertanya, tapi dia mati-mati kata tak jumpa. Aku dan Yoe lagi sekali mempunyai mutual understanding, mengesyaki dompet Yoe berada pada lelaki tersebut dan lelaki itu menipu apabila mengatakan beliau tidak nampak apa-apa dompet pun. Ini kerana selepas keluar sahaja kami dari bas, lelaki tersebut adalah orang pertama yang naik bas itu untuk melakukan kerja pembersihan.

Nasib baik pintu bas ada satu sahaja dan kami menutup laluan keluar. Yoe menuju ke arahnya dan bertanyakan lagi sekali mengenai dompetnya.

"Ha ada ada. Ni ha, nasib baik saya nampak," kata lelaki tersebut sambil menyerahkan dompet yang dikeluarkan dari poket seluarnya. WTF. Nak mencuri tak ada seni lakon langsung. Skrip kabur dan menimbulkan persoalan pada penonton. Mungkin beliau sudah gementar melihatkan aksi aku menggerakkan dada ala-ala ahli gusti lalu memulangkan terus dompet yang ingin diambilnya.

Setelah semuanya selesai, kami turun dari bas dan mencari hotel. Pekan Baling adalah sebuah pekan yang kecil dan damai serta agak tersusun. Terdapat beberapa hotel murah di situ dan kami ke sebuah hotel yang bernama Hotel Mawar (kot). Kelihatan seorang pakcik bermuka bengis yang menjaga kaunter. Apabila ditanya, bilik yang ada ialah berharga RM40. Yoe seperti mempunyai keyakinan tinggi selepas berjaya menawar harga di Georgetown tempoh hari, melakukannya sekali lagi. Akan tetapi, tidak semua hotel boleh tawar menawar. Pakcik itu berkata kalau tak nak harga ni boleh pergi tempat lain. Hahaha..(gelak takut)

(Nota daripada Yoe: Oit, Adib! Nama tempat kita tidur tu Rumah Tumpangan Melur. Kau main petik je, kan? Asal ada nama bunga-bunga. Hingusan betul perangai)

(Nota Adib: Lupa la. Nama-nama bunga ni aku fail sket)


Bilik di hotel tersebut agak besar. Mempunyai dua katil bersaiz king, TV dan ruang agak luas. Tetapi bilik mandi dan tandas terletak di luar bilik. Ini kali pertama sepanjang pengembaraan, kami menginap di hotel yang mempunyai bilik air di luar bilik.Tak kisah la, lagipun tidak ramai menginap di situ jadi boleh kata sepanjang masa bilik air kosong.


Kami keluar semula untuk makan malam di kedai makan berhampiran hotel. Yoe memesan Char Koey Teow manakala aku yang sedang lapar nasik, pergi ke gerai seberang jalan yang nampaknya seperti menjual nasi bungkus. Tetapi apabila sampai sahaja di sana, apa yang aku nampak adalah lauk-lauk yang sedikit seperti kaki ayam masak kicap, telur rebus masak berlada, sayur sikit pastu kuah. Tu je. Alamak, aku pun untuk tidak menghampakan diri yang susah-susah melintas jalan untuk ke gerai ini, mengambil lauk kaki ayam, telur dan kuah campur. Hmm..makan je la. Kembali semula ke kedai, aku pun mula makan makanan ala kadar aku. Apa yang mengejutkan, nasi bungkus itu SEDAP YANG AMAT SANGAT. Kaki ayamnya, nasi yang dibanjiri kuah, uhh..mengejutkan aku. Sedap macam apa lagi ntah. Ini yang dinamakan simple is incredible(aku reka sendiri). Yoe pun memuji kesedapan char koey teow yang dimakannya. Wah, boleh tahan juga Baling ni.

Layan movie secara berjemaah di kedai makan

Oh ya, Yoe ada termencarut lagi. Sekali lagi Dihar menjadi punca. Dengan itu, air minuman aku pada malam itu dibayar oleh Yoe. Hehaa..

Lepas makan kami balik hotel dan tidur awal kerana esok perjalanan mungkin lebih mencabar, target sampai Kelantan.

Oi Dihar, kau tunggu!