Showing posts with label Hari ke-7. Show all posts
Showing posts with label Hari ke-7. Show all posts

Hari Ke-7 (Part 1) : Menikmati Mee Bandung Muar di kala Hujan Renyai

25 Jun 2011

Awal-awal permusafiran, jam 6:30 pagi kami dah ‘check-out’ hotel. Jam 7:00 pagi kami dah terpacak di stesen bas, macam di Baling hari tu. Tapi pagi ni, pukul 8:00 kami masih di bilik hotel. Aku keluar dari bilik air, baru lepas mandi. Tengok Adib tengah santai atas katil baca suratkhabar ‘Berita Harian’.

“Bila masa kau turun beli paper?” soalan yang terpancul dari mulut aku. Aku tak ‘plan’ nak tanya pun.

“Manada aku turun. Hotel bagi,”

Waiseh! Bukan main eksyen lagi. Macam duduk hotel lima bintang wa cakap lu. Siap ada orang hantar surat khabar. Lepas siap ala-kadar, gaya musafir di pagi Syawal, kami turun bawah nak ‘check-out’. Sambil-sambil tu mata aku melilau juga tengok kalau-kalau ada disediakan sarapan pagi. Untung-untung boleh makan roti bakar sama sosej dengan baked beans campur jus mempelam. Tapi tak ada. Harapan je semua tu. Nak semua tu pergi duduk hotel mahal lah.

Kami menapak ke stesen bas Segamat. Dalam satu kilometer. Melalui jalan utama dan jambatan merentangi sungai Segamat. Bas ke Muar bertolak pukul 10:00 pagi. Jam baru pukul 9 lebih-lebih sikit. Kami naik tingkat dua stesen bas di mana ada deretan kedai makan di situ. Dah sampai Johor ni, kena lah merasa makanan tempatan sini pulak kan. Jadi, pilihan yang ada pagi itu adalah lontong.

Semangkuk lontong dan teh ais untuk alas perut kami pagi itu

Jam sepuluh, kami dah selamat berada dalam perut bas syarikat SKA menuju ke Muar. Memang bas tambang yang tipikal. Tak ada penghawa dingin, tingkap boleh buka, lantai papan, kerusi buruk, ada loceng kat atas, asap hitam. Memang cukup lengkap ciri-ciri bas tambang. Ada pula seorang dua penumpang yang terdiri dari amoi cantik menambahkan lagi seri bas ini.


Jujurnya, aku tidak pernah sampai ke Muar. Tak tahu apa yang aku boleh ‘expect’ di sana. Tapi aku selalu dengar mee bandung di sana memang terbaik. Orang kat sana pagi-pagi sarapan satay. Betul ke tidak kena tunggu sampai sana dulu.

Antara tempat yang dilalui sepanjang jalan ni adalah Tangkak, Sagil dan Rawang. Rawang? Selama ni aku ingat Rawang hanya ada dekat Tanjung Malim sana tu. Rupanya di sini pun ada.

Tangkak, Johor

Pemandangan biasa-biasa. Kampung-kampung, pekan kecil, kelapa sawit, Gunung Ledang dan deretan kedai kain di Tangkak. Syurga kain, orang kata. Tapi tu dululah. Sejak-sejak Nilai 3 dah 'up' sekarang, tak tahulah macam mana 'bisnes' kain di Tangkak.Dalam dua jam juga nak sampai ke Muar. Pemandu bas banyak berhenti di pekan-pekan kecil, hantar barang. Buat 'part time' courier gamaknya. Barang apa yang dihantar, aku tak pasti. Jangan hantar dadah cukup. Tak pasal-pasal satu bas tidur lokap malam ni.

Jam 12:00 tengahari lebih-lebih sikit kami dah terpacak depan menara jam Muar. Tak susah sangat cari. Masa atas jambatan dari Tanjung Agas tu dah boleh nampak menara jam ni. Jalan kaki dari hentian bas Bentayan tu adalah dalam lima minit. Menara jam ni baru lagi bina. Dalam tahun 2007.

Cuaca masa tu agak mendung. Dah boleh hidu bau hujan nak turun. Agak tergesa-gesa jugalah kami bergambaran depan menara tu. Titik-titik hujan dah mulai terasa.Lepas tangkap gambar dan video lebih kurang, kami bergerak mencari mee bandung yang di war-warkan tu.

Aiseh, hujan dah turun!

Bertanya kepada seorang penunggang motor yang kami jumpa depan kedai emas, mana kedai mee bandung paling sedap."Hah, yang pakcik tau ada satu kedai ni je lah. Adik ikut straight je jalan ni. Nanti belah kiri, seberang jalan tu ada kedai mee bandung sedap,"

Kami menyelusuri Jalan Abdullah seperti yang dikhabarkan oleh brader motor tadi. Sambil hujan renyai-renyai mulai turun membasahi bandar Muar. Dalam dua ratus meter, kami nampak di seberang jalan tertera signboard 'Mee Bandung Abu Bakar Hanipah'. Baru kami mahu melintas jalan, tak semena-mena brader motor tadi lalu di depan kami.

"Haa, ni lah kedainya," kata beliau tanpa memberhentikan motor dan terus memecut laju.

Kami hanya memerhatikan beliau pergi.

Kedainya kecil sahaja. Saiz kedai kopi kebanyakkan. Kalau ada rombongan mak cik Kiah satu bas datang nak makan, huru-hara jugalah tauke kedai nak cekau meja kerusi nak sumbat orang.


Diusahakan oleh tiga orang yang berlainan. Mee bandung orang lain, satay orang lain, air orang lain. Depan kedai tu terpampang gambar-gambar tokoh yang pernah singgah makan disini. Antaranya Pak Lah, Muhyiddin Yasin, Ghani Othman, Fahrin Ahmad, Farouk Hussein, Chef Wan dan ramai lagi. Lepas ni adalah gambar kami pula.

Taknak panjang cerita, kami terus memesan mee bandung dan satay. Apa yang boleh aku cakap, mee bandung dia memang sedap. Tak boleh nak di gambarkan dengan kata-kata. Berbaloilah kami sampai sini. Dalam hujan-hujan macam ni. Satay dia pun boleh tahan. Isi dia pejal. Tak ada lemak-lemak yang menggelebeh macam lemak pada badan maskot pengembaraan kami. Kuah kacangnya secukup rasa.

Ah, cerita banyak tak guna. Tengok je lah gambar yang kami ambil. Tak reti nak terangkan macam mana rasanya. Orang putih cakap 'picture can speak thousand words'. Tak tahulah betul ke tidak. Aku tenung gambar ni banyak-banyak kali tak ada pula gambar ni cakap apa-apa. Tapi kalau dibuatnya gambar ni tiba-tiba bercakap, satu hal pulak lah kan. Tu dah masuk kategori misteri nusantara.


-------------------------------------------------------

"Mana bas ke Melaka ni?" Adib sudah mulai bosan menunggu.

Benar kata beliau. Tak kelihatan langsung bas tambang ke Melaka di hentian bas Bentayan. Semuanya bas ekspress. Kami dah mula rasa curiga. Riki dengan akak jaga kaunter, rupanya ini hentian bas ekspress. Stesen bas tambang di arah satu lagi bandar Muar. Belah kami makan mee bandung tadi. Dekat-dekat satu kilometer jugalah kami kena menapak ke sana. Binawe betul.

Mujur kami dah biasa menapak ni. Tak ada hal.


Hari Ke-7 (Part 2) : Berjalan Di Atas Robohan Kota Melaka


Kalau hidup ingin merdeka,
takkan tercapai hanya berkata,
tetapi cuba maju ke muka,
melempar jauh jiwa hamba,

Ingatan kembali sepatah kata,
dari ucapan seorang pemuka,
di atas robohan Kota Melaka,
kita dirikan jiwa merdeka,

~ Tongkat Warrant (Usman Awang)

Sekarang ni aku tengah berdiri di atas robohan Kota Melaka. Hari ini, di atas robohan Kota Melaka ini dah didirikan Mahkota Parade, Pahlawan Mall, Tesco, Carrefoure, Mcdonald, Gucci. Macam-macam lagi lah. Majoritinya adalah rangkaian perniagaan kapitalis Barat datang menghisap ekonomi rakyat disini.

Lantas, apa bendanya yang merdeka? Seperti lirik lagu 'Tentang-Tentang' daripada Butterfingers,

"Buka radio HITZfm, propaganda Amerika, apa benda yang merdeka, jilat bontot depa"

Kota Melaka seperti yang diketahui adalah simbol sejarah bahawa di sini dulu pernah tertegak kerajaan kesultanan Melayu Melaka yang hebat dan gah. Menguasai hampir keseluruhan nusantara. Perdagangan, ilmu laut, ketenteraan malah pusat ilmu jadi makanan je waktu tu. Pedagang dan orang asing datang ke sini kena belajar Bahasa Melayu dulu baru boleh berurusan. Bahasa Melayu waktu itu jadi 'lingua-franca'. Taraf-taraf Bahasa Inggeris la sekarang ni. Nak tak nak, suka tak suka, kena belajar juga. Sebab apa? Sebab ekonomi, teknologi apa bala semua mereka yang pegang sekarang. Macam tu la bangsa Melayu dulu. Selat Melaka ni laluan perdagangan yang penting. Dan laluan ini di kuasai oleh kerajaan Melayu Melaka. Nak tahu 'detail', pergi cari buku sejarah. Kalau malas sangat, tanya abe Google.

Tapi itu dulu. Enam ratus tahun yang lalu. Lebih kurang.

Memang kenalah Usman Awang tulis puisi tu. Sebagai ingatan, bangsa kita ni sebenarnya bangsa yang merdeka. Bangsa kita ni bukanlah lekeh sangat. Cakap boleh pergi jauh ni, aku harap pasukan bola sepak kita boleh pergi jauh dalam kelayakkan Olimpik 2012 ni. Tengah-tengah aku dok tulis nukilan ni, aku baru dapat berita Malaysia diundi satu kumpulan dengan Jepun, Syria dengan Bahrain.

Takkan takleh makan kot?

Ok. Sebelum aku melalut lebih jauh, sebelum blog ni bertukar jadi buku teks sejarah, baik aku kembali kepada cerita permusafiran kami. Perjalanan menaiki bas tambang SKA dari Muar ke Melaka tak ambil masa yang lama pun. Dalam sejam je. Tak sempat nak layan tidur pun dalam bas. Pemandangan pun lebih kurang sama je. Rumah orang-orang Muar dengan orang Melaka tak ketara sangat bedanya.


Perjalanan dari Melaka Sentral nak ke bandar Hilir sama lama dengan dari Muar nak ke Melaka. Kesesakkan lalu-lintas teruk sangat dah di Melaka sekarang. Kondisi dalam bas tambang pula memang jenis yang klasik. Bas 'old-skool' habis. Masa-masa macam ni lah rasa bertuahnya kalau dapat naik bas yang berhawa dingin.

Berdiri di tengah-tengah kerumunan manusia yang amat ramai memang boleh buat kepala pening. Memang silap 'timing' kami sampai Melaka hari-hari hujung minggu seperti hari ini. Sabtu dengan Ahad kalau boleh tak payah lah datang Melaka. Memang tensi. Bayangkan, hotel yang bersepah satu Melaka ni semuanya boleh penuh? Ramai tak ramai orang datang Melaka sekarang.

Kami masih lagi berlegar di kawasan bandar Hilir, secara lebih tepat di kawasan bangunan merah tu. Dulu pernah di panggil Dataran Belanda. Nama paling asal, tak silap aku Bangunan Stadthuys. Disinilah juga letaknya sebuah menara jam. Paling tua barangkali di semenanjung. Sebab kalau dilihat pada catatan, ianya dibina sekitar tahun 1886 oleh Tan Jiak Kim, memperingati wasiat bapanya Tan Beng Swee.


Kami masih lagi melepak di sini kerana belum dapat nak tangkap gambar depan menara jam tu. Biasa-biasa kami setting self-timer. Biar kamera tu 'snap' sendiri. Tapi memandangkan keadaan orang yang tersangatlah ramai, adalah tidak sesuai untuk menggunakan kaedah tersebut. Tak pasal-pasal tersepak dek orang yang lalu-lalang, naya je.

Lalu kami menggunakan modus operandi meminta bantuan orang yang tak dikenal tolong ambil gambar kami, seperti di Kangar hari itu. Ada seorang mamat yang dari tadi leka mengambil gambar menara jam dan sekitar. Gaya macam jurugambar profesional. Kamera yang dikendong pun boleh tahan canggih. Beliau lah mangsa kami. Dan inilah hasilnya :

Barangkali beliau pun pakai kemara pinjam macam aku juga kot? Gambar tak ada seni. Lebih kurang macam aku je yang ambil

Kami berjalan melalui sungai Melaka yang kini sudah indah dan tidak berbau hapak lagi. Lawa betul sungai Melaka sekarang. Siap ada bot bawa pelancong belayar atas sungai tu. Kami tak bercadang nak melawat a'famosa. Asal datang Melaka je, kena pergi situ. Tak bosan ke? Tapi kalau nak tengok juga kubu a'famosa tu, macam biasalah, cari dekat Google image. Jangan risau, kubu tu sama je rupanya. Macam tu juga. Bayangkan wajah kacak pan-asia kami di situ. Nanti kalau aku rajin, aku edit pakai 'photoshop'.


Sebenarnya, kami ada temujanji dengan seorang kenalan, Bell di sebuah kedai minum depan menara Taming Sari tu. Kami mendapat maklumat daripada aplikasi telefon bimbit aku bahawa beliau berada di Melaka hari ini atas urusan kerja. Perlu diingat, pada hari ini, segala pantang larang berkaitan telefon bimbit memang dah dilanggar sama sekali. Lunyai dah peraturan tu aku langgar. Peduli apa. Hahaha. (Gelak sambil mengangkat-angkat bahu tanda keangkuhan)


Hari Ke-7 (Part 3) : Pengelatan Bas Tambang Yang Terakhir

Kali ni aku nak tulis 'style' Mahathir.

1. Minum petang di sebuah restoran berhadapan Menara Taming Sari. Seluruh bandar Hilir sekarang sudah diwartakan sebagai kawasan 'Zon Larangan Merokok'. Kepada perokok-perokok tegar, hati-hatilah ketika merokok. Pegawai kesihatan ada di mana-mana. Saman tak banyak. Seratus hengget untuk sebatang rokok. Kalau masa tu tengah hisap lima batang sekaligus? Kiralah sendiri.

2. Tak semena-mena ketemu dengan sepupu Adib, Wan yang juga pemain dram kugiran Adib, iaitu 'Kazen'. Kugiran sepupu-sepupu. Main musik pun mahu berkroni ke? Wan yang baharu melangsungkan perkahwinan datang berbulan madu di Melaka dan dalam perjalanan pulang ke Kolumpo. Singgah di Seven Eleven beli air mineral. Seven Eleven tersebut letaknya di sebelah kedai kami minum di mana aku lupa nama kedainya dan lupa tulis dalam buku catatan pengembaraan. Kecil betul Melaka ni, ya?

3. Wan dan isteri sudah bergerak pulang ke Kolumpo. Kami berjaya menolak pelawaan beliau untuk tumpang kereta pulang ke Kolumpo. Semngat bas tambang kami masih membara. Kami akan bermalam di Melaka dan mengambil bas ke Alor Gajah pagi esok.

4. Kawan yang kami tunggu, Bell sudah sampai. Dengan rambut meniru Justin Bieber, tersengih-sengih, tarik kerusi dan duduk satu meja dengan kami. Ingat 'cute' la tu?

5. "Kau nak cari hotel celah mana malam ni? Hotel kat Melaka dah penuh la. Aku sampai semalam pun jenuh cari hotel. Last-last aku stay kat Hotel Kancil, area Bukit Baru sana tu. Ni korang nak cari hotel bawah lima puluh hingget. Memang tak dapat lah," ujar Bell cuba meracun kami untuk mengikutnya pulang ke Seremban.

6. Sedikit sebanyak umpan beliau sudah mula membuatkan kami berfikir. Kewangan yang semakin meruncing dan kesuntukan masa membuatkan kami termenung seketika menimbang tawaran Bell. Bell tersenyum sinis. Bedebah punya Bell. Ingat 'cute' la tu?

7. Satu undi menyokong tumpang kereta Bell ke Seremban. Tiada undi membantah dan satu undi rosak. Begitulah keputusan untuk undian 'Adakah-Kita-Patut-Tumpang-Kereta-Bell-Balik-Seremban?'. Maka sebagai menghormati demokrasi, kami pun menumpang kereta Bell balik Seremban.


8. Dalam perjalanan ke plaza tol Ayer Keroh, lalu pasar malam Bukit Baru, nampak penjual durian. Bell terus tekan brek kecemasan, buat drift dan mula cari 'parking'. Lima minit kemudian kami sedang asyik menikmati durian tembaga. Sampai tiga biji kami telan. Akhirnya aku ketemu durian yang enak sepanjang permusafiran ini.


9. Dalam pukul lapan lebih-lebih sikit kami tiba di Seremban. Pusing cari hotel. Aku nampak hotel Turtle dan beriya mahu menginap di situ. Tiba dikaunter, hotel itu tidak berhawa dingin. Lantas cadangan aku ditolak mentah-mentah oleh Adib dan Bell. Cis, Bell pun nak terlibat sama? Macamlah dia tidur sini malam ni.


10. Kami menyewa di Hotel Angsana Inn. Enam puluh ringgit satu malam. Paling mahal sepanjang permusafiran kami. Tapi sebab malam terakhirkan, jadi tak kesah lah. Apadahal? Turun bawah, berjalan di Uptwon Seremban. Pendek sahaja. Mengikut kata Bell, baru dibuka. Mencuba pasaran(test market) barangkali. Aku lupa bawa turun kamera. Tertinggal di bilik dan malas nak naik tingkat empat dan ambil balik. Hotel tak ada lif. Jadi tiada gambar untuk malam ini. Harap maaf.

11. Makan malam nasi beriani lauk burung puyuh masak merah di Jalan Dato' _____?. Bell sebagai warga Seremban pun tak tahu nama jalan. Apatah lagi aku? Selesai makan, naik ke bilik layan cerekarama. Tak ada astro rupanya disini. TV3 saluran paling jelas gambarnya.

12. Cerekarama cerita pasal mak lelaki ni tak suka kat menantu perempuannya. Dia bagi racun sampai menantunya jadi bisu dan lumpuh. Lepas tu fitnah besan dia yang racun anak sendiri sebab nak harta anak lelakinya. Oh, anak lelakinya seorang yang berharta. Ada ke orang jahat macam ni?

13. Mula-mula anak lelakinya percaya cakap mak dia. Tapi hujung-hujung baru dia sedar mak dia yang bersalah. Mak dan ayah perempuan tu datang nak bawa balik anak perempuan mereka. Lelaki tu insaf dan rasa bersalah. Keluar dari rumah dan berlari kejar kereta ayah mertuanya. (Mesti ending mamat ni kena langgar kereta). Getus hati aku. Bamm! Ada kereta melintas dan langgar mamat tu. Betul sangkaan aku.

14. Cari 'remote' televisyen. Tapi tak jumpa. Terpaksa bangun dari katil dan tutup televisyen secara manual.