Hari Ke-7 (Part 1) : Menikmati Mee Bandung Muar di kala Hujan Renyai

25 Jun 2011

Awal-awal permusafiran, jam 6:30 pagi kami dah ‘check-out’ hotel. Jam 7:00 pagi kami dah terpacak di stesen bas, macam di Baling hari tu. Tapi pagi ni, pukul 8:00 kami masih di bilik hotel. Aku keluar dari bilik air, baru lepas mandi. Tengok Adib tengah santai atas katil baca suratkhabar ‘Berita Harian’.

Bila masa kau turun beli paper?” soalan yang terpancul dari mulut aku. Aku tak ‘plan’ nak tanya pun.

Manada aku turun. Hotel bagi,”

Waiseh! Bukan main eksyen lagi. Macam duduk hotel lima bintang wa cakap lu. Siap ada orang hantar surat khabar. Lepas siap ala-kadar, gaya musafir di pagi Syawal, kami turun bawah nak ‘check-out’. Sambil-sambil tu mata aku melilau juga tengok kalau-kalau ada disediakan sarapan pagi. Untung-untung boleh makan roti bakar sama sosej dengan baked beans campur jus mempelam. Tapi tak ada. Harapan je semua tu. Nak semua tu pergi duduk hotel mahal lah.

Kami menapak ke stesen bas Segamat. Dalam satu kilometer. Melalui jalan utama dan jambatan merentangi sungai Segamat. Bas ke Muar bertolak pukul 10:00 pagi. Jam baru pukul 9 lebih-lebih sikit. Kami naik tingkat dua stesen bas di mana ada deretan kedai makan di situ. Dah sampai Johor ni, kena lah merasa makanan tempatan sini pulak kan. Jadi, pilihan yang ada pagi itu adalah lontong.

Semangkuk lontong dan teh ais untuk alas perut kami pagi itu

Jam sepuluh, kami dah selamat berada dalam perut bas syarikat SKA menuju ke Muar. Memang bas tambang yang tipikal. Tak ada penghawa dingin, tingkap boleh buka, lantai papan, kerusi buruk, ada loceng kat atas, asap hitam. Memang cukup lengkap ciri-ciri bas tambang. Ada pula seorang dua penumpang yang terdiri dari amoi cantik menambahkan lagi seri bas ini.


Jujurnya, aku tidak pernah sampai ke Muar. Tak tahu apa yang aku boleh ‘expect’ di sana. Tapi aku selalu dengar mee bandung di sana memang terbaik. Orang kat sana pagi-pagi sarapan satay. Betul ke tidak kena tunggu sampai sana dulu.

Antara tempat yang dilalui sepanjang jalan ni adalah Tangkak, Sagil dan Rawang. Rawang? Selama ni aku ingat Rawang hanya ada dekat Tanjung Malim sana tu. Rupanya di sini pun ada.

Tangkak, Johor

Pemandangan biasa-biasa. Kampung-kampung, pekan kecil, kelapa sawit, Gunung Ledang dan deretan kedai kain di Tangkak. Syurga kain, orang kata. Tapi tu dululah. Sejak-sejak Nilai 3 dah 'up' sekarang, tak tahulah macam mana 'bisnes' kain di Tangkak.Dalam dua jam juga nak sampai ke Muar. Pemandu bas banyak berhenti di pekan-pekan kecil, hantar barang. Buat 'part time' courier gamaknya. Barang apa yang dihantar, aku tak pasti. Jangan hantar dadah cukup. Tak pasal-pasal satu bas tidur lokap malam ni.

Jam 12:00 tengahari lebih-lebih sikit kami dah terpacak depan menara jam Muar. Tak susah sangat cari. Masa atas jambatan dari Tanjung Agas tu dah boleh nampak menara jam ni. Jalan kaki dari hentian bas Bentayan tu adalah dalam lima minit. Menara jam ni baru lagi bina. Dalam tahun 2007.

Cuaca masa tu agak mendung. Dah boleh hidu bau hujan nak turun. Agak tergesa-gesa jugalah kami bergambaran depan menara tu. Titik-titik hujan dah mulai terasa.Lepas tangkap gambar dan video lebih kurang, kami bergerak mencari mee bandung yang di war-warkan tu.

Aiseh, hujan dah turun!

Bertanya kepada seorang penunggang motor yang kami jumpa depan kedai emas, mana kedai mee bandung paling sedap."Hah, yang pakcik tau ada satu kedai ni je lah. Adik ikut straight je jalan ni. Nanti belah kiri, seberang jalan tu ada kedai mee bandung sedap,"

Kami menyelusuri Jalan Abdullah seperti yang dikhabarkan oleh brader motor tadi. Sambil hujan renyai-renyai mulai turun membasahi bandar Muar. Dalam dua ratus meter, kami nampak di seberang jalan tertera signboard 'Mee Bandung Abu Bakar Hanipah'. Baru kami mahu melintas jalan, tak semena-mena brader motor tadi lalu di depan kami.

"Haa, ni lah kedainya," kata beliau tanpa memberhentikan motor dan terus memecut laju.

Kami hanya memerhatikan beliau pergi.

Kedainya kecil sahaja. Saiz kedai kopi kebanyakkan. Kalau ada rombongan mak cik Kiah satu bas datang nak makan, huru-hara jugalah tauke kedai nak cekau meja kerusi nak sumbat orang.


Diusahakan oleh tiga orang yang berlainan. Mee bandung orang lain, satay orang lain, air orang lain. Depan kedai tu terpampang gambar-gambar tokoh yang pernah singgah makan disini. Antaranya Pak Lah, Muhyiddin Yasin, Ghani Othman, Fahrin Ahmad, Farouk Hussein, Chef Wan dan ramai lagi. Lepas ni adalah gambar kami pula.

Taknak panjang cerita, kami terus memesan mee bandung dan satay. Apa yang boleh aku cakap, mee bandung dia memang sedap. Tak boleh nak di gambarkan dengan kata-kata. Berbaloilah kami sampai sini. Dalam hujan-hujan macam ni. Satay dia pun boleh tahan. Isi dia pejal. Tak ada lemak-lemak yang menggelebeh macam lemak pada badan maskot pengembaraan kami. Kuah kacangnya secukup rasa.

Ah, cerita banyak tak guna. Tengok je lah gambar yang kami ambil. Tak reti nak terangkan macam mana rasanya. Orang putih cakap 'picture can speak thousand words'. Tak tahulah betul ke tidak. Aku tenung gambar ni banyak-banyak kali tak ada pula gambar ni cakap apa-apa. Tapi kalau dibuatnya gambar ni tiba-tiba bercakap, satu hal pulak lah kan. Tu dah masuk kategori misteri nusantara.


-------------------------------------------------------

"Mana bas ke Melaka ni?" Adib sudah mulai bosan menunggu.

Benar kata beliau. Tak kelihatan langsung bas tambang ke Melaka di hentian bas Bentayan. Semuanya bas ekspress. Kami dah mula rasa curiga. Riki dengan akak jaga kaunter, rupanya ini hentian bas ekspress. Stesen bas tambang di arah satu lagi bandar Muar. Belah kami makan mee bandung tadi. Dekat-dekat satu kilometer jugalah kami kena menapak ke sana. Binawe betul.

Mujur kami dah biasa menapak ni. Tak ada hal.


4 comments:

  1. huhu.. tq.. biasa aku makan mi bandung kat kg aku je.. kena try la yg kat muar nih

    ReplyDelete
  2. Korang nak tau?
    ''Courier Service'' menggunakan BAS (Tak kira le Bas Henti-henti atau Ekspres [satu S je tau...] hihihi ) adalah yang paling CEPAT & EFFISIEN, sebab barang yang dihantar akan tiba pada hari yang sama, dengan kos yang sangat minima...
    Abg dulu dreba bas jugak... itu duit tepi yg tak dikira sebagai penyalahgunaan kemudahan syarikat sebab kebanyakan pemilik syarikat bas tahu dan tak kisah.
    Tapi sekarang dah ada syarikat bas ekspres yg memonopoli perkhidmatan Courier pulak dah... Isk!

    ReplyDelete