Hari pertama Part 3 - Ipoh mali dan apek the Angel

Jam sudah menunjukkan pukul 8. Sudah gelap dan badan kami pun sudah letih. Jadi Ipoh akhirnya menjadi destinasi pertama untuk kami bermalam. Apabila timbul sahaja pertanyaan hotel mana yang patut dituju, aku laju sahaja menjawab, "Majestic Hotel". Kerana ianya dekat dengan stesen bas Medan Kidd, bukan sebab apa pun. Tapi sayangnya Majestic Hotel ketika itu ditutup tidak pasti adakah tutup terus atau untuk renovasi. Jadi kami kembali ke kawasan Medan Kidd untuk mencari hotel.

Medan kidd di mana dahulunya adalah tempat beratus-ratus bas ekspress berkumpul sebelum dipindahkan ke Medan Gopeng sudah berubah. Suasana Medan Kidd sekarang seperti sudah tiada seri, terpinggir. Kami dapati kedai-kedai banyak yang telah ditutup dan suram. Sekeliling Medan Kidd sudah kami teroka namun tidak berjumpa bayang hotel pun. Sedih.

Jadi kami pun berjalan ke arah bandar lama Ipoh, menempuh little India, menempuh bangunan-bangunan lama, namun masih tidak berjumpa. Sudah hampir dua kilometer kami berjalan masih tidak ketemu sign board 'hotel'. Apa sudah jadi? Ketika sedang menyeberangi jambatan yang menyeberangi sebatang sungai, seorang lelaki tua berbangsa tionghua memberi jawapan tanpa ditanya.

"This is old town. There is new town of Ipoh." dan pelbagai lagi info yang diberi aku pun dah lupa. Adakah dia angel yang diturunkan untuk membantu kami yang kesesatan? Lalu Yoe pun bertanya, di mana boleh dapat hotel yang murah.

"How cheap u want?" tanya beliau.

"RM50?" jawab Yoe.

"There got Tokyo Hotel. Go straight then turn left. You can see the hotel after that." jawab beliau.Dengan ucapan terima kasih dalam bahasa Inggeris, kami pun meneruskan perjalan yang masih panjang untuk ke hotel yang diberitahu apek itu tadi. Terima kasih apek!


Tetapi setelah lama berjalan masih tidak ketemu hotel itu. Jadi kami pun berhenti makan di sebuah medan selera. Layanan yang diterima di medan selera tersebut agak memarahkan kami, jadi kami pun sambung perjalanan mencari hotel yang ketika itu sudah ada nampak batang hidungnya(hotel ada batang hidung?). Hotel pertama yang kami jengah, agak melebihi bajet kami yang hanya bernilai RM50. Kami pun bertanya kepada receptionist hotel tersebut kalau ada hotel semurah RM50 untuk kami bermalam. Lalu dia pun menjawab,"Jalan depan sikit ada Tokyo Hotel,"

Wah, Tokyo hotel lagi. Apek tadi memang angel la aku rasa. Dia boleh tahu mana kami akan bermalam hari itu. Jadi setelah berjalan depan sikit seperti yang diarahkan oleh receptionist tadi, kami pun tiba di Tokyo Hotel. Sebuah hotel bajet yang kalau pasangan muda bercinta nampak, akan menjadikan port untuk bermadu kasih. Setelah mengisi maklumat peribadi, amoi tua yang menjaga reception dengan garang sekali memberitahu di mana bilik kami berada. Bilik yang diberi aku rasa memang berpatutan dengan harga RM50. Bilik airnya siap ada bath tab, tuala, selipar dan sabun semua disediakan. Aku agak puas hati. Silalah bermalam di sana kalau berkunjung ke Ipoh. (Tak pernah-pernah orang promote hotel bajet)




Kami memeriksa Facebook kami untuk mengemaskini status sambil melihat jawapan peserta peraduan 'Di mana kami bermalam malam ini' dan tiba-tiba Yoe berkata,

"Siot Dihar, dia jawab kat dua tempat. Mana boleh!"Aku hanya diam apabila dia berkata perkataan 'siot' kerana perkataan itu termaktub sebagai perkataan larangan. Aku simpan sebagai bayaran jika aku ada tersalah sebut perkataan larangan kelak.Hihi.

Selepas membersihkan diri serba sedikit, kami keluar semula untuk ke menara jam seterusnya yang mengikut pengetahuan aku, terletak di padang/dataran majlis bandaraya ipoh. Perjalanan mengambil masa 10 minit dari hotel kami menginap ke tempat tersebut. Sesampainya di sana,
macam biasa sesi gambar-bergambar bermula. Menara jam di Ipoh ini mungkin tidak diservis seperti jam Yoe kerana tidak hidup. Jam Yoe sekurang-kurangnya masih hidup walaupun agak lembap dan sering ketinggalan.


Selesai sesi beramah mesra dengan menara jam ipoh, kami ke gerai-gerai makan yang berada berhampiran untuk makan malam. Eh, aku rasa aku tak makan kot. Lupa la. Sedang enak menjamu selera, kami seperti biasa berborak kosong. Inilah masalahnya bila berborak kosong apabila aku tersebut perkataan 'babi' yang juga perkataan larangan. Padahal aku memang sedang bercerita tentang babi, bukan hendak mencarut pun. Tapi oleh kerana aku ada 'senjata' yang aku simpan tadi, lalu Yoe pun akur dan duit aku terselamat.

Lalu sesi borak kosong pun bersambung (dengan lebih berhati-hati), tiba-tiba terdengar dentuman kuat dari arah jalan. Satu kemalangan berlaku tapi tidak berapa nampak dari meja makan kami. Yoe dengan lagak jurugambar memegang kamera bergegas ke tempat kejadian manakala aku hanya mahu duduk kerana malas nak menyibuk. Dalam masa seminit, suasana gerai-gerai makan itu bertukar sunyi kerana hampir kesemua pelanggan termasuklah pelayan kedai pergi ke tempat kejadian. Tinggal aku dan beberapa orang pelanggan sahaja masih duduk di situ. Dalam 5 minit, Yoe kembali dengan gaya wartawan pula apabila beliau melaporkan sebuah kereta terlanggar kereta lain yang sedang parking di tepi jalan. Apabila aku bertanya samada keretanya rosak teruk atau tidak Yoe menjawab, "Entah, aku tak nampak sangat,"

Aku terus habiskan minuman.

Medan selera Dataran Bandaraya Ipoh

Selepas perut kenyang, dahaga hilang, kami berjalan semula ke hotel dan tidur untuk mengecas tenaga untuk perjalanan kembara kami keesokan harinya.


No comments:

Post a Comment