Hari Ke-5 (Part 2): Pakcik Konduktor Bas Belanja Pisang Goreng

Bandar Jertih letaknya dalam daerah Besut. Sebuah bandar kecil di utara negeri Terengganu. Tidak jauh dari sini ada sebuah lagi pekan yang agak terkenal, Kuala Besut. Dari Kuala Besut, boleh menaiki bot ke Pulau Perhentian. Bandar Jertih tidaklah sesibuk mana. Sebuah bandar yang ekonominya bergantung kepada aktiviti perniagaan pertanian dan barangan tempatan. Betul-betul di sempadan antara Kelantan-Terengganu. Dua musuh tradisi dalam arena bola sepak tempatan. Dari dulu lagi. 'East Coast derby' ni pantang bertembung. 'Gocoh sokmo'. Tapi tu atas padang bola. Luar padang biasanya masyarakat dua negeri ni memang ngam.

Biasalah. Carik-carik bulu ayam. Kalau dalam loghat Besut, "pull-pull chicken feather". Sambung sendirilah.

Bandar Jertih

Tengah-tengah lepak layan angin tengahari sambil menunggu bas, tangki dalam pundi kencing ni tiba-tiba penuh. Memang nak kena membuanglah jawabnya. Tak ada masalah. Belakang stesen bas ni ada tandas awam. Dengan muka girang aku ke belakang. Sambil Adib menjaga barangan. Sesampai di depan pintu tandas, tertera kertas pengumuman yang sedikit menghapuskan rasa gembira aku sebentar tadi.

'Jamban tutup. Takdok air!'

Yang ni baru masalah. Kalau empangan sudah mahu pecah, mana bisa ku dapat menahan airnya? Dialog dari filem Merong Mahawangsa ini terngiang-ngiang di benak ku.

Melilau aku pergi mencari tandas. Tanya orang, di pasar Jertih ada tandas 30 sen. Kena menapak dalam 300 meter. Boleh je nak cari 'port' celah-celah semak. Tapi bimbang kalau-kalau silap sembur, bengkak pula anggota badan aku yang satu ni. Krisis air ni memang tak boleh buat main-main. Ingatkan di Lembah Klang je ada krisis air. Rupa-nya sampai ke sini. Ini lah jadinya kalau sumber air tak di proses dengan betul. Siapa yang huru-hara? Orang-orang yang tengah darurat macam aku ni juga yang tak tentu arah.

Setiap langkah menuju destinasi harapan itu sangat jauh aku rasakan. Di bawah terik mentari garang, sedikit membakar dan menggelapkan kulit aku yang putih dan mulus ini. Ini baru rasa panas matahari yang berjuta-juta kilometer jauhnya dari bumi. Bagaimana rasa panasnya matahari hanya sejengkal dari kepala kita kelak? Hah? Renung-renungkan lah dan selamat beramal!

Di belakang pasar Jertih inilah tersembunyinya tandas awas tersebut

Selesai urusan kecemasan tu, baru lega sedikit aku rasakan. Senyuman kembali terukir di bibir. Sampai di bangku stesen bas, giliran Adib pula mahu melangsaikan hajat. Sedang aku leka menjaga barang sambil menanti kepulangan Adib, sebuah bas City Liner ke Kuala Terengganu memasuki perkarangan stesen bas. Dengan muka cemas campur kelam-kabut minta penumpang ke KT agar segera naik. Apahal dia ni? Nak ke tandas juga ke?

Rupanya itu bas yang sepatutnya bertolak pukul 12 tadi. Tapi sudah satu jam terlewat. Aku minta beliau tunggu sebentar untuk Adib sambil tangan aku terus mendail nombor telefon bimbitnya. Kedengaran di hujung talian suara Adib yang agak kecewa terpaksa berpatah balik. Selesai sahaja menelefon Adib, aku berpaling dan melihat bas tadi sudah bergerak, meninggalkan asap-asap hitam ke muka aku. Memang bagi aku makan asap. Tak ada toleransi langsung pemandu ni. Tunggu lima minit pun nak berkira.

Di hujung sana ada sebuah lagi bas ke Kuala Terengganu. Bas syarikat SP Bumi. Konduktornya sedang lepak minum di sebuah warung berhampiran. Kami melangkah ke sana. Duduk berhampiran konduktor itu. Senang nak 'mark' kalau bas sudah mahu bertolak. Sudah satu jam lebih kami di sini. Tak rela lagi dah nak makan asap bas. Tak kenyang pun makan asap.

Duduk semeja dengan pakcik konduktor bas membuatkan tekak kami haus. (Macam tiada kaitan je?) Maksud aku, beliau seorang yang sangat peramah. Berbual dengan beliau membuatkan kami haus. Sambil mengunyah pisang goreng, pelbagai perkara kami bualkan. Dia sedikit kagum apabila mendengar cerita permusafiran kami ini. Perbualan kami sekali-sekala di celah dengan pertanyaan tauke warung yang begitu leka membelek kamera DSLR yang aku bawa. Aku menjawab dengan gaya seorang jurukamera professional. Yang seolahnya sudah bertahun-tahun dalam arena perkameraan ini. Padahal kamera pinjam je pun. Baru dua-tiga hari ni sibuk menggodek belajar cara nak guna.


Pukul 1:30 petang waktu untuk bas bergerak. Sedang kami mahu membayar air dan pisang goreng, pakcik konduktor itu terlebih dahulu membayarkannya bersama nasi tengaharinya. Tahu dia nak belanja tadi aku tapau siap-siap nugget, fishball dan sosej buat makan dalam bas. Dengan teh ais bungkus. Dua.

"Berapa tambang, pakcik?" tanya aku sewaktu beliau mahu memberikan tiket.

"Sepuluh ringgit seorang. Tiket boleh claim tak nih?" jawab beliau.

"Mana claim, pakcik. Ni semua duit sendiri. Belanja sendiri,"

"Kalau macam tu, pakcik bagi harga lima ringgit je lah seorang,"

Peh! Sempoi betol pakcik ni. Dah la belanja kami pisang goreng. Ni siap bagi diskaun tiket. Aku syak pakcik ni sebenarnya tuan empunya syarikat bas SP Bumi ni. Lepas tu jenis yang 'rebel'. Tak suka duduk kat pejabat berhawa dingin. Suka turun bawah jumpa golongan marhaen. Ala-ala zuhud lah lebih kurang. Apa-apa hal pun, itu sudah cukup bagus bagi kami. Terima kasih pakcik konduktor bas yang baik hati.

Suspek yang disyaki sebagai CEO syarikat bas SP Bumi tapi menyamar jadi konduktor bas (Halusinasi penulis. Jangan percaya sangat)

3 comments:

  1. ketawa sampai guling2..CEO syarikat bas? pergh..hebat pakcik tuh!

    ReplyDelete
  2. pakcik tu memang cool!!!

    ReplyDelete
  3. Pakcik ni bknlah ceo atau ape2 jwtn besar lam sykt tu. Pakcik ni seorg yg baik hati dan peramah. Sy sgt2 ngenali pakcik krn beliau kwn rapat arwah abah sy. Arwah abah sy pula merupakan mekanik sykt sp bumi. Pakcik ni mmg ske tlg xkre tua ataupun muda. Dlm rmai2 konduktor pakcik ni plg peramah

    ReplyDelete