Hari ke-4 (Part 2) - Kekecohan di luar negara

Ye, maskot kami yang skeptikal itu dihubungi. Beliau sudah pun berada di Kota Bharu dan kami memintanya untuk menjemput kami di Rantau Panjang.

Setelah Dihar bersetuju untuk menjemput kami pada pukul 8 malam, kami pun dengan senang hati pergi ke arah Sungai Golok, sungai yang menjadi sempadan pemisah antara Rantau Panjang dan Golok. Sungai yang memisahkan negara Malaysia dan Thailand. Dan sungai itu hanya mempunyai kelebaran kira-kira 10-15 meter sahaja!

Sungai Golok yang menjadi sempadan antara
Rantau Panjang dan Pekan Golok

Tujuan kami hanyalah untuk memerhati Sungai Golok dari jeti bot yang ada di situ. Terdapat beberapa kumpulan manusia yang kelihatan menaiki bot menyeberangi sungai itu ke Golok. Mungkin rakyat warga Thai yang bekerja di sini. Kelihatan juga kelibat tentera Malaysia di belah sini, manakala tentera Thailand di seberang, kedua-duanya lengkap dengan uniform dan senjata.

Askar Thai penjaga sempadan

"Ah demo alang-alang dah sampai Rantau Panje, gi ah Golok," tiba-tiba kedengaran seorang penduduk yang sedang menaiki bot berkata kepada kami yang hanya berdiri melihat dari jauh. Setelah berfikir 5 saat (macam tak fikir je) kami pun berjalan dengan keadaan was-was menuju ke bot untuk ke Golok.

Bot tersebut tidak memerlukan penumpangnya untuk duduk, iaitu kami perlu berdiri sepanjang perjalanan. Tak pasti perkataan 'perjalanan' sesuai digunakan atau tidak kerana kami hanya berada di bot kira-kira 1 minit sahaja terus tiba di jeti Golok. RM1 dibayar kepada pemandu bot. RM1 untuk 1 minit, macam mahal je. Haha.

Masuk sahaja di kawasan Golok, terdapat sebuah khemah yang menempatkan meja seperti dijadikan kaunter dan dijaga oleh tentera Thai. Tiba-tiba suatu benda yang menakutkan berlaku antara kami dan tentera..

Menakutkan sehingga lutut aku goyang dan telur sebelah termasuk dalam...

Kami ditahan oleh tentera Thailand ketika sedang berjalan melintasi khemah tersebut. Aku sudah hilang punca tidak faham mengenai situasi ini. Takkan nak periksa passport kot, aku memang tak bawak passport dan setahu aku tidak perlu pun jika sekadar mahu ke Golok. Tentera Thailand itu pula berkomunikasi dalam bahasa English yang berbunyi Siam dan tidak sepatah pun kami faham.

Tiba-tiba terasa beg aku bergoyang-goyang. Apabila ditoleh, seorang tentera sudah pun memegang-megang beg aku untuk diperiksa. Aku yang yakin beg aku tidak membawa sebarang haiwan eksotik atau dadah (dan dengan harapan, Lan, pemilik beg yang aku pinjam, tidak meninggalkan benda-benda pelik di dalam beg), memberi kerjasama cuba menurunkan beg aku untuk diperiksa, tetapi dihalang oleh tentera tersebut dan memberi isyarat tidak perlu menurunkan beg. Sementara itu, Yoe bertungkus lumus berkomunikasi dengan tentera-tentera Thailand itu. Agak tegang sebentar keadaan tersebut.

Mujurlah terdapat seorang lelaki tua datang menghampiri kaunter tersebut dan menjadi jurubahasa kami. Beliau nampaknya seperti menguasai bahasa Melayu dan Thailand, memberitahu kami yang tentera Thailand itu mahu tahu kami hendak ke mana dan untuk apa. Kami pun memberitahu beliau kami tidak ke mana-mana pun hanya berjalan sekitar sini sahaja untuk mengambil gambar. Tentera itu pun faham dan nampaknya bibit-bibit kemesraan rakyat Thai sudah terasa. Kami diberi penerangan oleh tentera tersebut (melalui lelaki tua itu) yang kami perlu mengisi borang dan mendapatkan pas sebelum boleh masuk ke Pekan Golok. Oleh kerana kami tidak ke Pekan Golok lalu kami dilepaskan untuk berjalan-jalan tanpa perlu mengisi borang.

Lega. Aku risau juga, mana tahu kami perlu 'bayar' untuk dilepaskan. Oh ye, untuk pengetahuan semua, kami ketika itu hanya mempunyai wang sebanyak RM8 itupun sesudah dicampur wang milik kami berdua. Kalau perlu 'bayar' memang kena terajang masuk sungai Golok lah kami selepas ditunjukkan RM8 itu.

Kami pun meneruskan berjalan sekitar kawasan itu, ambil-ambil gambar. Penduduk-penduduk di situ kelihatan ramah dan kami sempat berbual-bual dengan penduduk wanita di situ:- seorang wanita tua dan seorang kanak-kanak perempuan. Kami juga sempat mengambil gambar dengan tentera-tentera yang menahan kami tadi sebagai tanda persahabatan antara dua negara. Perghh..diplomatik abis lah pengembaraan kami!

Setelah bersiar-siar kawasan itu selama 15 minit, kami kembali menaiki bot untuk ke Rantau Panjang semula. Aku sangkakan seperti menaiki feri ke Pulau Pinang, hanya perlu bayar untuk masuk Penang, untuk keluar tak perlu bayar tambang. Rupanya tak. RM1 perlu dibayar lagi. Naik feri penang yang 15 minit + 15 minit pun pergi-balik baru RM1.20, ini dua minit dah RM2. Ceh apsal aku komplen-komplen pulak ni.

Di pekan rantau panjang, kami mengeluarkan duit di bank dan berjalan-jalan sehingga terjumpa satu kedai jersi yang masih dibuka. Seperti yang diketahui, jersi-jersi tiruan di Rantau Panjang memang sangat murah. Silap aku tak bawak banyak duit je. Setelah memilih jersi Argentina yang tak power tu, Yoe cuba menawar harga, walaupun harga yang diberi sudah sedia murah. Mungkin untuk mendapat orgasm menawar harga barangkali.

"Kalau nak murah, adik datang esok," kata wanita penjual jersi.

"Oh, esok akak jual murah ke?" tanya Yoe.

"Tak, esok adik datang balik, pergi kedai lain," jawab wanita itu bersahaja tanpa mengetahui adakah niatnya untuk memerli atau memang itu jawapan jujur dari beliau. Kah kah kah.

Deretan jersi di sebuah kedai di Rantau Panjang

Yoe terus bayar dan kami teruskan berjalan-jalan. Kami singgah minum di sebuah kedai yang sangat minimalis. Aku memesan roti telur dan nescafe tarik. Uhh..karinya sangat manis! Aku yang sedang lapar tak peduli pun manis ke, masam ke, aku mentekedarah je sampai habis.

Tepat pukul 8.15malam, Dihar the maskot datang dengan kereta Kelisa. Ayat pertama yang aku cakap kepadanya ialah "Thanks Dihar," berterima kasih la dulu ye tak. "Eh hari ni baru hari ke-4, kami sempat sampai Kelantan!".

Jika anda sangkakan, cabaran sudah berkurangan dan sudah tiada cerita lagi untuk diberitahu, memandangkan kami ditemani dengan seorang tour guide iaitu Dihar, anda salah. Teruskan membaca.

Selamat berkenalan dengan Dihar.

6 comments:

  1. mahal kot singgit, aku sebrang sungai santubong nak ke kampung boyan kat kuching nun 50sen je sehala.

    ReplyDelete
  2. Tu la.. mungkin kadar inflasi kat situ tinggi sket kot.. heh

    ReplyDelete
  3. diaorg cr mkan tuh..tuh yg tambang mahal..seminit? singgit? xberbaloi!

    ReplyDelete
  4. mahal sebab merentas negara tuh... international tuh!!

    ReplyDelete
  5. kalau bg singgit urk 2 org pun dorang tak komplen :D

    ReplyDelete
  6. ni rate masuk oversea beb,kadar international memang la mahal skit...siot,pegi golok x ajak

    ReplyDelete