Showing posts with label Hari pertama. Show all posts
Showing posts with label Hari pertama. Show all posts

Hari pertama Part 1 - Carutan pertama dan kedua

Naik sahaja di dalam bas pertama itu, bas dari syarikat SJ Bus, pemikiran masih lagi tenang. Terasa seolah-olah berada di hari yang normal menaiki bas ke destinasi yang dekat-dekat sahaja. Mengambil tempat di tengah-tengah perut bas, aku menghenjut-henjut tempat duduk konon untuk mengambil feel agar tidak pening kepala di tengah perjalanan kelak. Sebaik sahaja pemandu bas menekan pedal accelerator dan memulakan perjalanan, ngauman bas menambah kebisingan pagi kota Kuala Lumpur, dada aku berdegup kencang, cemas sedikit. Ya, ini yang kau pinta Adib, kata aku kepada diri aku sendiri.

Kelihatan konduktor bas berbaju biru, jalan terhuyung hayang menahan inersia dan graviti di dalam bas yang bergerak demi menjalankan tugasnya sebagai pengutip duit tiket bas. Tiba sahaja di tempat aku duduk, konduktor bas itu pun mengangkat kening, bahasa isyarat untuk soalan "Pergi mana?". Mungkin tidak adil untuk mengatakan beliau tidak sopan kerana hanya mengangkat kening untuk bertanya kepada penumpang. Tetapi keadaan bas yang bising tidak mewajibkan beliau untuk bersopan santun, juga agak melecehkan bertanya soalan yang sama 200++ kali sehari. Aku pun menjawab dengan nada berbisik, "Destinasi pertama," disusuli dengan ayat seterusnya dengan nada separuh menjerit, "Rawang, dua !".

Tiket bas disimpan di dalam beg, duit pertama yang dikeluarkan bernilai RM1.50 x 2. Pemandangan di luar bas masih lagi pemandangan yang sama aku hadap setiap hari. Menyelusuri jalan Ipoh dan beberapa kawasan Kuala Lumpur, aku cuba lelapkan mata kerana keletihan semalam masih belum hilang, tetapi gagal. Mungkin tidak biasa lagi dengan dodoian bas tambang yang agak ekstrim ini..

(Gelap)

Ciss..tertidur juga aku, walhal perjalanan tidaklah begitu lama. Terjaga tepat-tepat ketika bas berada di depan stesen bas Rawang. Turun sahaja dari bas, aku dan Yoe menuju ke arah sebuah pasaraya besar untuk membeli buku catatan dan air mineral. Jadi cabaran seterusnya adalah untuk mencari dan menanti bas ke Tanjung Malim pula. Setelah dirisik kepada brader penjual bahulu. kami pun ke tepi jalan di mana terletaknya sebuah bus-stop. Memang setakat ini nasib kami sangat baik. Bas Metrobus ke Tanjung Malim tiba-tiba sahaja menjengah ketika aku baru sahaja menyalakan rokok. Nak tak nak, rokok di buang setelah baru dua-tiga kali sedut, dan kaki mendaki tangga bas tersebut. Sementara menunggu bas tersebut memulakan perjalanan, kami pun berborak kosong, antaranya, aku menceritakan betapa sibuknya aku di hari terakhir bekerja sebelum bercuti.

Stesen bas Rawang

"Hari Jumaat tu, aku ingat boleh la balik awal sikit. Paling lambat pun pukul 6 la. Tengok-tengok, memang paling lambat, pukul 10 baru keluar pejabat. Cilakak betul,"

"Haaaa..!!" Yoe tiba-tiba mencelah dengan teruja, "Bak seringgit. Ko dah mencarut!"

"??!!" aku hanya mampu menyumpah dan mencarut dalam hati. Perkataan 'Cilaka' memang ada dalam senarai. Dengan berat hati aku menghulurkan seringgit kepada Yoe. Aku pun terus kurangkan bercakap. Mahu muflis aku kalau termencarut lagi. Ni baru dua jam, ada seminggu lagi bang oi!

Yoe tiba-tiba mengeluarkan bukunya yang terdapat senarai perkataan yang tidak boleh disebut, yakni mencarut. Tiba-tiba dia tersenyum, lalu menyebut, "Sengal la ko ni. Haha..'sengal' boleh sebut. Tak ada dalam senarai.Yehaa!"

Aku pun mengerut dahi sambil mata mengintai senarai tersebut dari jauh. Dari jatuhan pandangan mata aku yang pertama lagi terus dapat nampak perkataan 'sengal' termasuk dalam senarai perkataan tidak boleh disebut. Lantas aku letakkan jari telunjuk di atas perkataan tersebut sambil berkata, "Ni apa?"

"Eh, aku tak nampaak!!" ketika itu hanya Tuhan dan penumpang-penumpang di dalam bas sahaja yang tahu betapa kuatnya aku gelak dek kerana kelucahan yang ditampilkan oleh Yoe sebentar tadi. Lalu seringgit bertukar tangan kembali, dan kami masih tidak rugi apa-apa. Haha.

Bas mula bergerak. Perjalanan yang bernilai RM4.50x2 pun bermula menuju ke Tanjung Malim. Ada seminggu lagi bang oi!

Hari pertama Part 2 - Menara condong dan kenangan asmara Ipoh

(Mulai sekarang, aku akan tulis seringkas yang mungkin dan straight forward. Yoe dah bising la. Haha!)

Sesampainya di Tanjung Malim, kami masih tidak tahu destinasi mana yang perlu dituju. Merujuk kepada peta (tengok peta beb!) kami perlu ke Teluk Intan agar dapat ke menara jam condong di sana. Masalahnya tiada bas terus ke Teluk Intan. Jadi kami pun merisik-risik kepada pemandu bas dan orang jaga tiket di sana. Menurut akak jaga kaunter tiket, kami perlu ke Bidor terlebih dahulu dan mengambil bas dari sana ke Teluk Intan. Kami bersetuju, lalu dengan senang hati membeli tiket di kaunter tersebut. Eh? Membeli tiket di kaunter? Bukankah ini bas eksp....duit telah diberi dan tiket sudah dicetak. Tiada apa yang mampu dilakukan walaupun ketika itu aku terasa seperti seorang aktivis pejuang Palestin tegar yang sedang menunggu hidangan McDonalds disediakan. Kami hanya mampu memandang sesama sendiri dan mengambil tiket terus menuju ke bas.

"Takpe kot. Bas ni tak lalu highway. Lagipun tiada pilihan," kata Yoe menenangkan aku. Mungkin menenangkan diri sendiri juga.

Jadi pengajaran pertama yang kami dapat, tengok dahulu pilihan yang ada, tengok peta, dan buat keputusan mengikut pilihan yang ada.

Fuck our mascott! Always make us to think of speeding up the journey.

---------------------------------------------------

Tiba di Bidor, pekan yang asing bagi aku, kami terus mencari bas menuju ke Teluk Intan. Aku agak gembira kerana, bas-bas di sana agak tua dan old school rocks bebeh! Besi karat, tingkap tolak, enjin gegar, loceng bulat, no fucking air-cond, PURE AWESOME! Bas Teluk Intan pun sudah kelihatan, aku melangkah ke dalam bas dengan perasaan teruja, sudah lama tak naik bas semacam ini. Perjalanan ke Teluk Intan sangat ber'angin' sekali.

Stesen bas Bidor, Perak

Jurukamera ingin mengambil gambar deretan 'bas tambang' yang sedang parking. Namun tiba-tiba deretan 'amoi seksi' melintas. Bukan salah jurukamera.



Adib sedang berpura-pura melihat peta perjalanan.
Padahal Geografi dulu 'fail'

Tuan-tuan dan puan-puan, kalau anda sangka bas tak ada air-cond macam ini tak selesa dan panas, anda mungkin betul dan mungkin juga silap. Kalau menaiki bas ini di tengah bandar dan tersekat di kesesakan jalan raya mungkin ini bukan pilihan terbaik. Tapi kalau untuk half long distance seperti yang aku naiki ini, sangat mendamaikan dan tiupan anginnya menggigit-gigit telinga kecil kita mendendangkan lagu alam. Peh.

(Sedikit spoiler, aku lagi mudah tertidur di dalam bas tak ada air cond sepanjang pengembaraan ini. Malah tidurnya lebih layan.)

Jadi dengan tidur yang enak, bas ini pun bergerak ke Teluk Intan di mana terletaknya Menara Condong Teluk Intan.

---------------------------------------------------

Buka sahaja mata, sudah nampak kelibat menara condong tersebut di celah-celah bangunan rumah kedai. Aku teruja seolah mengintai janda sebalik tirai kamar. Tetapi kami berjalan mencari makan dahulu kerana perut sudah lapar. Tiada pilihan selain makan di food court berdekatan, nasib kami tidak begitu baik apabila terpilih kedai makan yang salah. Tidak mahu komen lebih tentang ketidaksedapan makanan yang kami makan, selesai sahaja makan kami terus bergegas ke menara condong tersebut. Dan inilah hasilnya:-



Ruang dalam menara condong Teluk Intan


Brader ni tidur di celah tiang menara untuk
memastikan menara tidak tumbang

Dahulunya tangki simpanan air. Mungkin korang boleh tengok-tengok kat rumah, mana tahu ada tangki simpanan air yang lebih, boleh buat menara jam.

Atas kesedaran diri yang kami ini sedang mengembara, kami pun kembali ke stesen bas Teluk Intan dengan tiada perancangan yang jelas ke mana patut kami tuju. Cadangnya nak menuju ke arah Ipoh. Macam biasa, sesi tanya bertanya kepada orang sekitar stesen bas cara untuk ke Ipoh. Mula-mula kami dapat info yang kami perlu ke Bidor semula di mana terdapat bas ke Ipoh di situ. Jadi kami pun naik terus bas ke Bidor yang sudah sedia menanti. Tetapi apabila naik sahaja bas, aku bertanya kepada pemandu bas tersebut, dia pula mencadangkan supaya kami menunggu bas ke Kampar, dan naik bas ke Ipoh di sana. Oleh kerana kerja patah balik ni kerja yang leceh, kami pun bersetuju untuk menaiki bas ke Kampar walaupun terpaksa menunggu satu jam lagi. Sempatlah kami ke masjid menunaikan kewajipan sebelum menaiki bas ke Kampar.

Stesen bas Teluk Intan


Zzz..

Bangun sahaja dari tidur, kelibat stesen bas Kampar sudah kelihatan. Memang timing tidur aku agak baik hari ini ditambah dengan angin negeri Perak sepoi-sepoi bahasa memang sedaplah tidur. Nasib kami juga masih lagi baik apabila turun sahaja bas dari Teluk Intan itu, bas ke Ipoh sudah mali. Ipoh mali..Ipoh mali! Tapi sayang, bas tersebut agak moden dan ber air cond. Kami pun terus naik dan bas itu terus bergerak. Di dalam bas hanya terdapat kami dua orang sahaja. Kalau pasangan bercinta ni dah lama jadi kerja. Nasib baik pasangan kembara. Huahua. Walaupun hanya ada dua orang, bas itu masih lagi berhenti di tempat yang dia sepatutnya berhenti dan membuat pengumuman. Contoh:- Kalau sampai di stesen bas Medan Gopeng, bas akan berhenti dan driver akan menjerit, "Gopeng!Gopeng!" padahal dia sendiri tahu kami hanya berdua dan turun di Medan Kidd, Ipoh. Cukup syarat, dalam sepuluh saat bas pun jalan balik. Bagus betul. Dedikasi.

Akhirnya dalam sejam lebih, kami pun sampai di Ipoh.

Ahh, Ipoh. Udara yang dihirup masih sama seperti 5-6 tahun lepas.


"Kenangaann yang lama..menjelmaa.."- Tinggal Sayang Tinggal Pujaan nyanyian Sweet Child.


Hari pertama Part 3 - Ipoh mali dan apek the Angel

Jam sudah menunjukkan pukul 8. Sudah gelap dan badan kami pun sudah letih. Jadi Ipoh akhirnya menjadi destinasi pertama untuk kami bermalam. Apabila timbul sahaja pertanyaan hotel mana yang patut dituju, aku laju sahaja menjawab, "Majestic Hotel". Kerana ianya dekat dengan stesen bas Medan Kidd, bukan sebab apa pun. Tapi sayangnya Majestic Hotel ketika itu ditutup tidak pasti adakah tutup terus atau untuk renovasi. Jadi kami kembali ke kawasan Medan Kidd untuk mencari hotel.

Medan kidd di mana dahulunya adalah tempat beratus-ratus bas ekspress berkumpul sebelum dipindahkan ke Medan Gopeng sudah berubah. Suasana Medan Kidd sekarang seperti sudah tiada seri, terpinggir. Kami dapati kedai-kedai banyak yang telah ditutup dan suram. Sekeliling Medan Kidd sudah kami teroka namun tidak berjumpa bayang hotel pun. Sedih.

Jadi kami pun berjalan ke arah bandar lama Ipoh, menempuh little India, menempuh bangunan-bangunan lama, namun masih tidak berjumpa. Sudah hampir dua kilometer kami berjalan masih tidak ketemu sign board 'hotel'. Apa sudah jadi? Ketika sedang menyeberangi jambatan yang menyeberangi sebatang sungai, seorang lelaki tua berbangsa tionghua memberi jawapan tanpa ditanya.

"This is old town. There is new town of Ipoh." dan pelbagai lagi info yang diberi aku pun dah lupa. Adakah dia angel yang diturunkan untuk membantu kami yang kesesatan? Lalu Yoe pun bertanya, di mana boleh dapat hotel yang murah.

"How cheap u want?" tanya beliau.

"RM50?" jawab Yoe.

"There got Tokyo Hotel. Go straight then turn left. You can see the hotel after that." jawab beliau.Dengan ucapan terima kasih dalam bahasa Inggeris, kami pun meneruskan perjalan yang masih panjang untuk ke hotel yang diberitahu apek itu tadi. Terima kasih apek!


Tetapi setelah lama berjalan masih tidak ketemu hotel itu. Jadi kami pun berhenti makan di sebuah medan selera. Layanan yang diterima di medan selera tersebut agak memarahkan kami, jadi kami pun sambung perjalanan mencari hotel yang ketika itu sudah ada nampak batang hidungnya(hotel ada batang hidung?). Hotel pertama yang kami jengah, agak melebihi bajet kami yang hanya bernilai RM50. Kami pun bertanya kepada receptionist hotel tersebut kalau ada hotel semurah RM50 untuk kami bermalam. Lalu dia pun menjawab,"Jalan depan sikit ada Tokyo Hotel,"

Wah, Tokyo hotel lagi. Apek tadi memang angel la aku rasa. Dia boleh tahu mana kami akan bermalam hari itu. Jadi setelah berjalan depan sikit seperti yang diarahkan oleh receptionist tadi, kami pun tiba di Tokyo Hotel. Sebuah hotel bajet yang kalau pasangan muda bercinta nampak, akan menjadikan port untuk bermadu kasih. Setelah mengisi maklumat peribadi, amoi tua yang menjaga reception dengan garang sekali memberitahu di mana bilik kami berada. Bilik yang diberi aku rasa memang berpatutan dengan harga RM50. Bilik airnya siap ada bath tab, tuala, selipar dan sabun semua disediakan. Aku agak puas hati. Silalah bermalam di sana kalau berkunjung ke Ipoh. (Tak pernah-pernah orang promote hotel bajet)




Kami memeriksa Facebook kami untuk mengemaskini status sambil melihat jawapan peserta peraduan 'Di mana kami bermalam malam ini' dan tiba-tiba Yoe berkata,

"Siot Dihar, dia jawab kat dua tempat. Mana boleh!"Aku hanya diam apabila dia berkata perkataan 'siot' kerana perkataan itu termaktub sebagai perkataan larangan. Aku simpan sebagai bayaran jika aku ada tersalah sebut perkataan larangan kelak.Hihi.

Selepas membersihkan diri serba sedikit, kami keluar semula untuk ke menara jam seterusnya yang mengikut pengetahuan aku, terletak di padang/dataran majlis bandaraya ipoh. Perjalanan mengambil masa 10 minit dari hotel kami menginap ke tempat tersebut. Sesampainya di sana,
macam biasa sesi gambar-bergambar bermula. Menara jam di Ipoh ini mungkin tidak diservis seperti jam Yoe kerana tidak hidup. Jam Yoe sekurang-kurangnya masih hidup walaupun agak lembap dan sering ketinggalan.


Selesai sesi beramah mesra dengan menara jam ipoh, kami ke gerai-gerai makan yang berada berhampiran untuk makan malam. Eh, aku rasa aku tak makan kot. Lupa la. Sedang enak menjamu selera, kami seperti biasa berborak kosong. Inilah masalahnya bila berborak kosong apabila aku tersebut perkataan 'babi' yang juga perkataan larangan. Padahal aku memang sedang bercerita tentang babi, bukan hendak mencarut pun. Tapi oleh kerana aku ada 'senjata' yang aku simpan tadi, lalu Yoe pun akur dan duit aku terselamat.

Lalu sesi borak kosong pun bersambung (dengan lebih berhati-hati), tiba-tiba terdengar dentuman kuat dari arah jalan. Satu kemalangan berlaku tapi tidak berapa nampak dari meja makan kami. Yoe dengan lagak jurugambar memegang kamera bergegas ke tempat kejadian manakala aku hanya mahu duduk kerana malas nak menyibuk. Dalam masa seminit, suasana gerai-gerai makan itu bertukar sunyi kerana hampir kesemua pelanggan termasuklah pelayan kedai pergi ke tempat kejadian. Tinggal aku dan beberapa orang pelanggan sahaja masih duduk di situ. Dalam 5 minit, Yoe kembali dengan gaya wartawan pula apabila beliau melaporkan sebuah kereta terlanggar kereta lain yang sedang parking di tepi jalan. Apabila aku bertanya samada keretanya rosak teruk atau tidak Yoe menjawab, "Entah, aku tak nampak sangat,"

Aku terus habiskan minuman.

Medan selera Dataran Bandaraya Ipoh

Selepas perut kenyang, dahaga hilang, kami berjalan semula ke hotel dan tidur untuk mengecas tenaga untuk perjalanan kembara kami keesokan harinya.