Showing posts with label Hari Ke-6. Show all posts
Showing posts with label Hari Ke-6. Show all posts

Hari Ke-6 (Part 1) : Matahari Terbit di Pantai Teluk Lipat

24 Jun 2011

Pasir-pasir halus melekat di celah-celah jari kaki. Kulit-kulit kerang bersepah bertaburan di sepanjang pantai Teluk Lipat. Suasana pagi yang tenang. Ombak membadai lembut. Bunyi desiran dan aroma-nya sungguh menyegarkan. Anak-anak ketam mulai keluar dari lubang-lubang kediaman mereka, sambil di ajar oleh si ibu ketam cara berjalan yang betul.

Adib masih leka merakam video panorama pantai, sambil ayah duduk bersahaja di atas batang balak hanyut. Kami bertiga sedang menanti saat terbitnya mentari. Namun mungkin dek kerana hujan pada malam semalam membuatkan awan sedikit tebal di belah timur Laut China Selatan sana. Pulau Tenggol yang biasanya jelas kelihatan terlindung di balik awan pagi itu.

Pantai Teluk Lipat

Panorama macam ni memang 'rare' nak dapat tengok. Tambah-tambah pula untuk orang-orang yang jenis tak berapa nak 'morning person' macam aku ni. Jadi detik macam ni kena hayati sebaik mungkin.

Macam lukisan yang aku lukis dalam subjek Pendidikan Seni
waktu sekolah rendah dulu

Selesai sessi matahari terbit, singgah rumah makcik aku kejap. Kebetulan nenek aku ada di situ. Jumpa, salam mintak restu dulu. Adib macam biasalah. Control malu. Konon-konon lelaki Melayu terakhir la tu. Pagi itu kami bertolak menuju ke selatan tanah air. Lebih tepat ke Kuantan. Menaiki bas syarikat SP Bumi Proton Exora. Ya, kami menaiki kereta nasional Proton Exora untuk ke Kuantan.

Mengelat? Langgar 'rules'? Tidak adil??

Rileks, rileks. Jangan ribut-ribut, dong. Begini sih. Bapak gue mau ke Kuantan. Mau nolongnya adik gue mencari rumah sewa. Maka, tidak salah jika kami numpangnya, ngak gitu dong?

Rezeki kami di pantai timur sangat murah untuk dua tiga hari ini. Sudah dua malam kami menumpang tidur di rumah sahabat dan keluarga aku, sambil makan di payungi mereka. Terima kasih tidak terhingga. Kebetulan lagi hari ini keluarga aku mahu ke Kuantan untuk urusan rumah sewa adik perempuanku. Jadi, adalah tindakan yang kurang cerdik jika kami menolak pelawaan ayah aku itu.

Tapi bagi maklumat bas, dari Dungun boleh ambil bas SP Bumi ke Kemaman. Dan dari Kemaman, boleh ambik bas Sihat terus ke Kuantan. Bas Sihat ni syarikat bas yang agak lama juga lah beroperasi di Terengganu ni. Nama je bas Sihat. Tapi jika di lihat pada asap yang di keluarkan, memang tak bagus langsung untuk kesihatan. Boleh saman syarikat bas ni sebab mengelirukan pengguna. Patut tukar nama kepada syarikat bas Sakit. Baru kena.

Sihat-lah sangat

Dari Dungun ke Kuantan tu, kami singgah di dua 'pit stop'. Satu di Kemasik. Sarapan nasi dagang. Layan juga nasi dagang warung ni. Aku lupa la pulak nak 'snap' gambar kat sini. Lapar punya pasal. Tapi aku bagi 'hint', kalau dari Dungun menghala ke Kuantan, kedai ni di sebelah kiri jalan, depan Pasaraya Kemasik. Memang boleh nampak dari jalan tu. 'Pit stop' kedua kami di Chendor. Mesti ada yang tak pernah dengar nama tempat ni kan? Ni bukan makanan, ye. Yang tu cendol. Biar reti mengeja sikit. Kata belajar sampai sekolah menengah?

Kalau sebut pantai Cherating, mesti ramai yang tahu. Hah, dekat-dekat situ lah! Sebelum sampai Cherating tu akan lalu Chendor dulu. Nak lagi senang, lepas je pintu gerbang sempadan Terengganu-Pahang tu, kawasan tu namanya Chendor. Ada deretan gerai menjual keropok lekor dan keropok keping di tepi jalan. Keropok dia boleh tahan juga. Tapi tengok kedai lah. Ada kedai yang sedap, ada yang tak. Nak tahu, pergi tanya sendiri tauke kedai tu. Keropok yang dia jual tu sedap ke tidak.

Adib singgah di sini untuk membeli keropok keping sebagai hadiah untuk pemenang teka tempat kami bermalam sepanjang permusafiran kami ini. Tak tau lah keropok tu sempat sampai ke tangan pemenang atau tidak. Silap-silap Adib dah ratah dulu. Itu namanya ketirisan, atau penyelewangan. Sebab tu aku tak jadi nak bagi hadiah kepada pemenang di dinding Facebook aku. Tak nak jadi penyelewengan macam ni lah. Lagi pun, aku tak nak ajar kawan-kawan aku sifat mengharapkan balasan ni semua. Kalau nak buat kerja ke, nak teka ke, biar ikhlas. Bukan sebab nak ganjaran atau hadiah. Duniawi semua ni. Cukup aku hadiahkan kepada pemenang aku doa semoga murah rezeki, bahagia dunia akhirat. Amin.

Hari ke-6 (Part 2) : Bas Cepat yang lambat.


"Camana skang?" soal aku pada Adib.

Mata Adib terkebil-kebil. Seolah sedang memikirkan sesuatu. Walhal dalam otaknya kosong dan berasap.

"Kita makan dulu. Lepas tu baru kita pikir. Aku tengah lapar ni. Tak leh nak pikir apa," ujar beliau ringkas.

Tepat sangkaan aku. Dia bukan berfikir pun. Saja buat-buat macam tengah berfikir. Lalu kami mulai mencari meja kosong di medan selera belakang hentian bas tambang Kuantan, berhampiran pasar Kuantan. Dulu di sini letaknya pasaraya Ocean. Sekarang sudah di ambil alih oleh The Store. Mencari kedai makan di sini mengundang masalah juga buat kami. Lauk-pauk kebanyakkan sudah habis. Akhirnya kami singgah di sebuah kedai. Hanya berlauk-kan ikan keli. Ingat nak pekena ikan patin. Tapi dah 'sold-out'.

Serius ketika mengambil sambal belacan

Kami menghadapi dilema ketika ini. Dilema ini bersangkut paut dengan perjalanan kami ke destinasi berikutnya, Segamat. Untuk memahami kenapa kami boleh terjebak di persimpangan dilema ini, biar aku ‘flash-back’ sedikit tentang perjalanan kami untuk setakat tengahari ini.(Gambarkan seolah-olah ada awan berkepul-kepul di atas kepala kami. Tengah flash-back ni)

Jam pukul sebelas pagi. Dalam perut bas Bee Huat berwarna temakan hitam putih itu, dua orang musafir yang hina sedang duduk dengan penuh sopan menunggu detik bergerak bas ini ke destinasi mereka seterusnya yakni Pekan, Pahang. (Klasik betul guna perkataan yakni).

Pukul sebelas lebih-lebih sikit, bas mula bertolak. Meninggalkan kepul-kepul asap hitam aneka rasa yang bisa membuatkan paru-paru sesiapa yang menyedutnya menjadi berkarat dan berdaki. Perlahan-lahan bergerak meninggalkan bandar Kuantan. Sekali-sekala berhenti di tepi jalan mengikut bunyian loceng yang di tekan para penumpang yang ingin turun.

Pekan adalah bandar kecil berhampiran sungai Pahang. Tempat tinggal sultan Pahang a.k.a sultan Bola. Tiada apa yang boleh aku huraikan dengan panjang lebar tentang Pekan. Kecuali yang kami nampak tadi ada sebuah kilang pemasangan kereta mewah terkena dari German, Mercedes dan beberapa institut latihan kemahiran. Selainnya seperti bandar-bandar lain kenampakkan deretan kedai-kedai baru mulai naik. Nyata bandar di raja Pahang ini sedang perlahan-lahan membangun. Tak silap aku, kampus Universiti Malaysia Pahang pun sedang dibina disini. Dekat Kuala Pahang nun.

Stesen bas Pekan

Pekan, Pahang

Syarikat pengedar buku Dewan Bahasa dan Pustaka yang tak reti eja 'syarikat'

Dari stesen bas, kami menapak mencari menara jam. Di tengah-tengah terik mentari, sambil menahan lapar akhirnya kami ketemu jua dengan menara jam yang di cari. Letaknya dalam lima ratus meter dari stesen bas. Apa lagi, dah sampai ni aktiviti biasa kami adalah bergambar-gambaran, sebagai bukti yang kami telah menjejakkan kaki di sini. Sedang Adib sibuk mengambil video dan aku sedang terkial-kial mencari 'angle’ terbaik sambil 'menyetup self timer’ kamera ini, sekumpulan pelajar asrama melalui dataran Pekan sambil memandang serong kepada kami. Berdasarkan pemerhatian aku, mereka ni macam dalam perjalanan ke masjid. Di hitung, ditolak, difikir dan direnungi bersama, baru kami sedar rupa-rupanya hari ini jumaat.

Patut lah mereka ‘usha’ semacam je tadi.

Kami musafir, jadi ada kelonggaran untuk semayang jamak nanti. (Kata aku di dalam hati sambil mengurut-urut janggut).

Gaya pemuda yang sedang kelaparan

Kembali ke stesen bas, kalau ikutkan perancangan, kami sepatutnya mengambil bas ke Muadzam Shah, seterusnya ke Segamat. Riki punya riki, sekali tak ada bas dari Pekan ke Muadzam. Wadehel?

Dari Pekan hanya ada bas tambang ke Kuantan atau ke selatan seperti Rompin dan pekan Nenasi. Jadi, mahu tidak mahu kami terpaksa menaiki kembali bas Bee Huat balik ke Kuantan. Macam tadi juga, perjalanan ambik masa dalam sejam dengan tambang RM5.30 seorang.

“Runaway, aku menanti kamu everyday. Aku menunggu dari Monday, Tuesday, Wednesday, Thursday..tak ingin, tak perlu”

Lagu inilah yang aku paling kerap dengar sepanjang permusafiran minggu ini. Boleh dikatakan kalau menaiki bas yang memasang radio, pasti akan ada sekali lagu ini berkumandang. Mengikut kata Adib, penyanyinya adalah…aiseh, aku tak berapa ingat nama penuh. Tapi ada Raphael-Raphael la. Raphael yang aku kenal sorang je. Watak dalam ninja Turtle tu. Apa-apa pun layan jugak lagu mamat nih walaupun liriknya agak bersepah dan mengarut. Hari-hari dengar sampai dah melekat dalam serebelum otak aku nih.

Kalo aok nok tau, ni la Sungai Pahang, koi nok kabo!

Tiba di Kuantan, satu lagi masalah timbul. Bas berikutnya ke Muadazam Shah pukul lima petang. Aku congak-congak, kalau gerak pukul lima dalam pukul tujuh setengah atau lapan malam jugak lah nak boleh sampai Muadzam tu. Memang sah-sah dah tak ada bas ke Segamat. Dan memang ‘confirm-confirm’ kami kena bermalam di Muadzam. Tapi seingat aku, Muadzam tak ada hotel atau guest-house. Muadzam Shah adalah pekan kecil di kawasan felda, di tengah jalan antara Kuantan dan Segamat. Aku tidak pasti jika sekarang sudah ada. Boleh aje nak ‘gamble’ tidur di stesen bas atau surau. Tapi seboleh-boleh nya nak dielakkanlah.

Jadi, satu-satu nya pilihan yang ada adalah mengambil bas ekspress ke Segamat. Benar, itu melanggar prinsip kami. Jadi itu lah dilema yang kami hadapi sekarang.

(Tamatlah ‘flash-back’. Padam balik awan-awan kat atas kepala aku nih. Dah macam awan kumulonimbus dah gayanya)

Berbalik kepada medan selera. Kami sedang menikmati makan tengahari.

“Assalamualaikum,” sapa seorang gadis dari belakang kami.

Belum sempat aku jawab salam beliau terus menyambung patah-patah katanya. Seorang ‘sales-girl’ rupanya.

“Maaf kalau mengganggu. Saya datang ni nak tunjuk kat abang berdua koleksi buku cerita Nabi-nabi dan cd-cd macam mane nak ambil wudhu, cara solat yang betul, mandi wajib dan sebagainya. Ada banyak lagi,”

“Oo bagus ni. Tapi takpelah. Saya tak nak beli kot,” balas aku perlahan.

“Takpe, abang tengok je dulu. Tak nak beli takpe. Tengok-tengok je dulu,”

Aku menjeling beliau. Tajam dan garang. Ibarat harimau yang menjeling musuh yang cuba memasuki sempadan kawasannya. Dengan harapan ‘awek’ tadi faham yang kami sedang makan dan tidak mahu di ganggu. Tidak semena-mena awek tadi tersipu-sipu malu. Eh, aku silap jeling ke? Aku buat jelingan tajam ke jelingan manja tadi? Aku terkeliru sebentar.

“Kami tengah mengembara sebenarnya. Tengah pusing semenanjung naik bas tambang. Lepas ni nak ke Segamat. Esok mungkin ke Muar dan Melaka pulak. Jadi tak bawak banyak duit lah nak beli sekarang. Lain kali la kot,” ujar Adib tanpa di pinta.

“Oo yeke. Bestnya! Saya pun esok maybe ada kat Melaka esok. Mana tahu terjumpa, boleh lah borak-borak lagi,” balas awek-penjual-buku-dan-cd.

“Takpe lah, saya pergi dulu. Selamat mengembara ye,”

Selesai makan dan sessi ramah mesra dengan awek-jual-buku-dan-cd, maka tibalah saat untuk kami membuat keputusan. Samada mengambil bas tambang pukul lima ke Muadzam Shah atau bas ekspress ke Segamat. Jam ketika itu dalam pukul tiga setengah. Antara mengejar masa atau prinsip. Dua faktor penting itu perlu di ambil kira dalam membuat undian selepas ini. Undian telah di jalankan. Dengan mendapat majoriti dua per dua (2/2), kami bersetuju untuk menaiki bas ekspres ke Segamat. Hihi.

Suasana di Terminal Makmur agak sibuk. Barangkali ramai yang mahu pulang ke kampung halaman untuk cuti hujung minggu. Hanya ada satu bas ekspres yang boleh kami ambil untuk ke Segamat ketika itu. Bas ekspress Cepat jam empat setengah petang. Berat hati aku untuk menaiki bas ini. Kerana aku pernah mengalami pengalaman buruk menaiki bas Cepat ni. Kejadian bas rosak tengah jalan. Dua kali pulak tu. Salah seorang ‘member’ kami pernah ditinggalkan bas ini sewaktu singgah membuang air besar di Kuala Pilah sedikit waktu dahulu.

Berkejaran jugaklah beliau keluar dari tandas untuk menghambat bas ketika itu. Mujur tidak meninggalkan kesan emosi yang mendalam. Dah jadi cikgu pun ‘member’ kami yang seorang tu.

Bas bergerak perlahan-lahan keluar dari Terminal Makmur menuju ke Segamat. Tiba di satu simpang berhampiran Stadium Darul Makmur, entah macam mana pemandu bas tersilap agakan lalu tayar di sebelah belakang terseret pada tembok kecil berhampiran. Agak kuat bunyinya dan agak teruk kerosakan pada tayar tersebut.

Buktinya, lima belas minit kemudian kami telah berada di bengkel bas ini. Menunggu mekanik menukar tayar baru. Aku menyumpah-nyumpah di dalam hati. Memang lepas ni aku tak naik dah bas Cepat ni.

"Cepat"-lah sangat

Hari Ke-6 (Part 3) : Mencari durian Segamat

Bas ekspress Cepat singgah sebentar di Muadzam Shah. Mengambil penumpang. Tengok dari gaya, kesemuanya siswa-siswi universiti. Di sini ada kampus Universiti Tenaga Nasional. Tak silap aku untuk kursus-kursus 'management' dan 'business study'. Nak lebih kepastian, sila layari sendiri laman web Uniten.

Ada jugalah santapan mata untuk kami sepanjang perjalanan ke Segamat. Wajah-wajah manis adik-adik siswi sedikit menghiburkan hati kami yang hanya dari tadi hanya di hiasi pemandangan kelapa sawit di sepanjang perjalanan. Mata aku seorang sebenarnya. Adib awal-awal lagi dah out. Belum keluar Kuantan lagi dia dah selamat ke alam mimpi. Bandar Muadzam Shah masih seperti dahulu. Tiada apa perubahan yang ketara. Hanya beberapa deretan kedai, padang bola, rumah kuarters pegawai Felda dan sekolah. Tindakan kami untuk tidak bermalam di sini ada baiknya juga.

Dalam pukul lapan malam, bas mula memasuki Segamat. Masuk-masuk je kami di sambut oleh monumen raja segala buah - durian. Dengan slogan, "Nikmatilah Durian Segamat". Aku mulai tersenyum. Ada chance nak makan durian lagi malam nih. Durian Segamat memang agak terkenal dengan kelazatannya. Isinya yang kuning, tebal, empuk dan manis memang cukup menggiurkan sesiapa yang melihatnya.

---------------------------------------

Jam pukul lapan setengah. Kami berdiri memandang sesama sendiri. Tidak tahu kemana arah mahu dituju. Kelihatan sebatang tiang telefon beserta pondok telefon tersangkut cantik di bawahnya. Segera aku menyeluk kocek dan mengeluarkan beberapa keping syiling. Sekeping syiling dua puluh sen aku masukkan dan mendail nombor seorang kenalan yang tinggal di Segamat. Cikgu Hafizan namanya. Panggil saja Cen. Mamat ni lah yang pernah mengalami pengalaman buruk dengan bas ekspress Cepat. Yang kena tinggal bas kat Kuala Pilah tu. Inilah orangnya. Sekarang dah jadi cikgu di Segamat. Untung-untung boleh tumpang bermalam di rumah beliau.

We share the same blood, bro. Yeah!

Blood-blood jugak. Dua tiga kali aku telefon, tak terangkat. Aku dah malas nak call pakai telefon awam lagi, aku cuba call pakai telefon bimbit pula, walaupun melanggar peraturan yang di tetapkan. Adib hanya mampu memerhati. Dah malas nak tegur barangkali. Lagipun peraturan memang dicipta untuk dilanggar, bukan?

Sama juga hasilnya. Tiada jawapan. Tidur barangkali. Kami berjalan mengikut langkah kaki. Sambil mencari tempat untuk bermalam, atau tempat mengalas perut. Ataupun durian. Itu memang keutamaan. Ada dua rumah tumpangan yang kami temui. Salah satunya bernama 'Snow Angel Hotel'. Bunyinya agak aneh dan sedikit kuning. Atau fikiran kami yang kuning?

Walaubagaimanapun, kami membatalkan niat untuk bermalam di situ kerana tempatnya yang agak menyeramkan di tambah jalan yang gelap dan sunyi. Langkahan diteruskan dan akhirnya kami bertemu dengan menara jam Segamat di dataran Segamat. Di belakang dataran itu ada medan selera menjual pelbagai makanan. Antara menara jam dan makanan, kami pilih untuk makan dahulu.

Nasi goreng kampung dan mee rebus kami nikmati dalam keadaan gelap kerana meja makan medan selera itu tidak bertemankan lampu. Rasanya memang kami pesan nasi goreng dan mee rebus. Tak tahulah apa yang sampai. Sebab kami tak nampak apa. Belasah makan je. Selesai makan, apa lagi. Operasi bergambar di menara jam. Mengikut wikipedia, Dataran Segamat dibina dalam tahun 1996. Sebelum tu, tempat ini dikenali sebagai Padang Besar Segamat.

Dataran Segamat

Gaya pemuda yang telah kenyang

Habis bab gambar-gambaran, misi seterusnya mencari tempat bermalam. Ni yang masalah sikit. Dah puas kami menapak tapi tak kan ada dua hotel je kat sini? Tak semena-mena telefon bimbit ku berbunyi. Tertera nama 'Cen' di skrin.

"Hello, Yoe. Apa cerita?"

"Takde ape. Saja call. Kau ada kat mana nih?"

"Err...kat luar. Tengah minum air dengan member. Ada apa, Yoe?"

"Takde ape. Aku dengan Adib ada kat Segamat ni. Kitorang tidur sini malam ni,"

"Laa. Yeke? Alamak, sorry Yoe. Sebenarnya aku kat Putrajaya ni. Kat Alamanda. Baru sampai petang tadi. Jumpa awek aku. Ni aku tengah beratur nak beli tiket wayang cerita Green Lantern ni. Aku tak tau kau nak lepak Segamat malam ni. Kalau tak, boleh lepak kat rumah aku. Aku ingatkan kau miscall aku tiga-empat kali tadi sebab ternampak aku kat Alamanda," ujar Cen panjang lebar bersulamkan nada bersalah.

"Hahaha..takpe, takpe. No hal. Kitorang pun datang mengejut. Tapi nak tanya kat sini mana ada hotel murah-murah? Kami nak sewa,"

Cen memberi penjelasan panjang lebar. Rupanya kebanyakkan hotel letaknya di bandar baru. Kira-kira dua kilometer dari dataran. Diseberang Sungai Segamat. Kami menapak ke sana sambil dua tiga keping sms daripada Cen menerjah masuk ke dalam telefon aku, meminta maaf kerana tiada di Segamat. Risau betul dia ni.

Bangunan-bangunan lama zaman pra-merdeka masih banyak di Segamat. Terutama di belah bandar lama. Sayangnya, tidak terjaga dan ada yang terbiar usang. Bau hapak najis burung bercampur dengan warna bangunan yang telah luntur sedikit mencacatkan pemandangan.
Bangunan macam ni patut di pulih dan pelihara. Benda-benda 'rare' macam ni bukan senang nak jumpa. Tengok macam mana Pulau Pinang dengan Melaka handle benda-benda macam ni. Untung-untung dapat diwartakan bawah Unesco Heritage Zone apa-kenama tu. Adib tahu lah bab ni.

(Adib, kau 'explain' sikt nanti pasal heritage unesco semua ni nanti!)

Adib: Program Warisan Dunia Unesco atau dalam bahasa Inggerisnya UNESCO World Heritage kalau mengikut pengetahuan aku tanpa merujuk kepada Wikipedia ialah satu program pemeliharaan dan perlindungan anjuran UNESCO bertujuan memelihara tapak, bangunan, monumen atau hasil alam semulajadi yang mempunyai nilai sejarah danestetikanya sendiri. Pembiayaan penjagaan pada tapak tersebut sebahagian besarnya
disumbang oleh UNESCO sendiri demi kelangsungan sesebuah warisan itu untuk dinikmati bersama generasi akan datang. Ewahh. Nak lebih tepat dan detail rujuk sendiri website UNESCO.


Jejak je kaki di belah bandar baru Segamat, barulah kelihatan hotel-hotel. Baru nampak macam 'happening' sikit. Kami menginap di Pine Classic Hotel. Harga RM54.00 satu malam. Memang lebih empat hengget daripada limitasi bajet kami. Tapi memandangkan sudah dua malam kami dapat jimat tang duit hotel, tak salah rasanya. Lagipun kami dah malas nak cari tempat lain. Malam pun dah makin larut.

Not bad jugak lah bilik hotel ni, kalau nak dibandingkan dengan harganya.


Lepas mandi ala-kadar, bernyah-tinja barang seround dua, kami turun bawah. Saja nak ronda-ronda bandar Segamat. Tengok 'night life' di sini. Sambil-sambil tu boleh cari durian Segamat. Jalan punya jalan, jangan katakan durian, bau pun kami tak cium. Apatah lagi nak jumpa kulit durian. Mungkin kami tak jumpa 'port' jual durian kot. Sebab kami hanya menggunakan dua kaki ni je untuk ke sana ke sini.

Sepanjang pemerhatian dan penapakan kaki malam ni, hanya satu kedai mamak yang kami temui. Dekat-dekat dengan restoran Mcdonald. Aku tak pasti di mana warga Segamat lepak malam-malam selain kedai mamak ni dan medan selera belakang dataran tadi. Apa yang aku dapat perhatikan, bandar Segamat agak 'sunyi' dan lengang pada waktu malam. Tekak pun dah haus. Kami lepak situ. Ingat boleh layan final Maharaja Lawak, tapi mamak tu bukak channel HBO. Cerita apa, aku kurang pasti. Kami leka berbual. Dari topik permusafiran kami, rancangan hari esok, politik negara, sukan, Hishamuddin Rais, maskot kami yang tak tentu hala dan sebagainya. Sedar tak sedar sudah pukul satu lebih.

Malam itu aku tidur bermimpikan durian Segamat. Sigh~