Hari Ke-5 (Part 3) : Blues Terengganu Kita

(Mode lagu blues sepanjang hari ini. Nak tahu kenapa blues? Cubalah naik bas tambang tidak bertingkap dari Kuala Terengganu ke Kemaman. Nikmatilah angin pantainya. Memang blues habis)

Perjalanan dari Jertih ke Kuala Terengganu menaiki bas tambang mengambil masa hampir 3 jam juga untuk tiba. Perjalanan melalui bandar Permaisuri, Kampung Chalok, Sungai Tong dalam daerah Setiu hinggalah Manir menyeberangi Sungai Terengganu, Chabang Tiga terus ke Hentian Bas MBKT.

Kuala Terengganu yang terletak di muara sungai Terengganu merupakan satu pelabuhan yang sibuk satu ketika dahulu. Para pedagang dari China kebanyakkan-nya datang berlabuh dan berniaga di sini sebelum meneruskan perjalanan menyelusuri sungai Terengganu hinggalah ke Kuala Berang. Waktu itu Kuala Berang merupakan bandar terpenting di Terengganu. Ibu negeri dan bandar perdagangan. Meriah ala-ala New York waktu itu. Waktu itu lah. Jadi tidak hairan batu bersurat di temui di Kuala Berang dan masih ada perkampungan Cina lama wujud berhampiran sungai Terengganu hingga kini.

Kami tiba dalam jam 4:30 petang. Bas terakhir ke Dungun jam 6:00 petang. Kami ada masa lebih kurang sejam lebih sahaja untuk ke menara jam dan ronda sekitar Kuala Terengganu. Memang betul 'rush hour' nih. Mujur ada Ahmad Najmuddin a.k.a ustad datang memberikan talian hayat. Aku sendiri pun tak faham kenapa beliau di panggil ustad. Aku tengok tak ada lah warak mana pun. Janggut aku lagi panjang.

Apa-apa hal, perut kena isi dulu. Bukan setakat irama keroncong, blues apa semua, malah rembesan asid-asid sudah mulai menggaru dan mengkakis dinding perut minta di isi. 'Lunch' di Jertih tadi pun sekadar pisang goreng. Pekena nasi minyak di petang hari memang blues habis. Jangan terkejut. Di sebelah pantai timur, nasi minyak adalah makanan harian. Biasanya juadah untuk sarapan dan minum petang. Tak perlu nak tunggu majlis kahwin baru nak boleh jumpa nasi minyak.

Jika di Kota Bharu, Dihar sang Ketua Pemuda Umno Cawangan membelanja kami makan, di sini Ustad selaku Ketua Pemuda Pas cawangan pula mengambil giliran. Macam ni baru bagus. Politik, politik jugak. Tanggungjawab belanja musafir seperti kami ni jangan di lupa. Keh keh keh.

Nasik minyok, boh!


Selesai melantak, kami memulakan explorasi Kuala Terengganu dengan pantas dan ekspress. Kami ke 'check-point' seterusnya iaitu menara jam Kuala Terengganu di 'water front' sungai Terengganu. Seterusnya pusing ala-kadar. Melalui jalan sekitar Dataran Syahbandar, Kampung Cina, belakang Pasar Payang dan sekitar. Gambar pun kebanyakkan di ambil dari dalam kereta.

Pasar Payang dari arah belakang

Patah balik ke hentian bas. Bas syarikat SP Bumi dah sedia untuk bergerak. Dulu ada syarikat bas Himda ke Dungun. Sekarang dah tiada. SP Bumi dah monopoli semua. Memang unsur-unsur kapitalis sudah menyelinap masuk ke sini. Tepat pukul 6:00 bas jalan. Tambang Kuala Terengganu ke Dungun dalam RM6.00. Makan masa dalam sejam setengah.Bas yang tidak berhawa dingin dimana tingkapnya terbuka luas, membolehkan angin pantai di sepanjang perjalanan menerobos masuk, menyapa mesra muka kami. Badan yang agak kepenatan dan perut yg sudah diisi menambahkan lagi selera kami untuk melelapkan mata.

Perjalanan melalui jalan pantai membolehkan kami menikmati panorama pantai, laut, pulau dan kampung-kampung nelayan. Dari Kuala Ibai ke Marang, hinggalah Rantau Abang terus sampai Kuala Dungun. Memang mata jadi layu. Rambut terbang di tiup angin. Blues habis.

Pulau Kapas nun di seberang sana

Bot-bot nelayan di Sungai Marang

Rantau Abang

Tidur kami terganggu apabila rintik-rintik hujan membasahi muka kami. Adib yang sedang lena, bermimpi konduktor bas sedang bertungkus-lumus menutup tingkap-tingkap bas. Mimpi beliau menjadi kenyataan apabila beliau membuka mata. Memang konduktor tengah tutup tingkap. Aku tidak pasti adakah konduktor bas tersebut masuk ke dalam mimpi Adib seperti filem 'Inception'? Hanya Adib dan konduktor bas itu sahaja yang tahu.

Senja sudah berlabuh tatkala kami tiba di stesen bas Kuala Dungun. Sebuah bandar nelayan kecil di muara sungai Dungun. Dulu di sini 'port' penyu bertelur. Di Rantau Abang sana. Kawasan mereka lah tu. Tapi kini tidak lagi. Yelah, asal bertelur je, kena curi. 'Fed-up' la mereka nak datang lagi. Baik cari 'port' lain. Sampai sekarang aku tidak tahu ke mana penyu banyak-banyak tu menghilang. Dengar cerita merajuk sampai ke Pulau Penyu, Sabah.

Lima belas minit berselang, ayah aku datang menjemput kami. Bermalam di rumah aku kerana bas ke Kemaman memang dah tak ada waktu-waktu begini. Memang 'timing' yang cantik.

'Home sweet home'.

Stesen bas Kuala Dungun

-----------------------------------------------------------


"Goool!!"

Teriakan gembira menyambut ketibaan kami di kedai makan belakang bangunan bank CIMB bandar Dungun. Dekat dengan pasar buah. Majoriti pelanggan kedai tengah semangat tengok bola kelayakan Olimpik 2012 antara Malaysia dengan Lubnan. Malaysia baru lepas sumbat sebijik masa kami tiba. Aku, Adib, mak ayah dan dua orang adik aku keluar makan malam di sini sambil nonton bola. Dah lama 'team' bola Malaysia tak dapat 'support' macam ni. Lama sangat dah. Asyik kena kutuk je. Harap-harap sokongan macam ni akan berterusanlah. Dan harap-harapnya Malaysia tak main serupa langau lagi lepas ni.

Sempat pula tu ayah aku beli durian di pasar buah depan tu. Aku tak pasti durian negeri mana. Tapi bukan sini punya. Sini bukan musim durian lagi. Patut la harga mahal gila. Dekat RM20 sekilo. Orang Terengganu kata, 'mahal macam bedil!'. Bedil ni peluru untuk meriam zaman dulu. Memang harga dia mahal. Tak caya, cubalah pergi kedai runcit. Cakap nak beli bedil. Tengok berapa harga. Isi dia pun tak 'kaw' sangat. Kurang lebih rasa macam durian kat Kota Bharu semalam.

Jam sebelas malam. Kami pun beransur pulang. Malaysia pun dah menang 2-1. Boleh pergi '3rd round'. Syabas bette! Nak bawak Adib pergi ronda-ronda pasar minggu pun, pasar minggu dah tutup time-time macam ni. Setiap petang khamis, ada pasar minggu di tengah-tengah bandar Sura Gate. Kira aktiviti malam minggu lah disini. Masa ni lah nak cuci mata usha-usha awek Uitm. Sambil-sambil tu kepada yang nak mencuba nasib, boleh lah hulurkan salam perkenalan. Mana tahu jodoh kat sini. Pasar minggu Dungun satu masa dulu adalah yang terbesar di Terengganu. Ini fakta, bukan auta. Tapi semenjak tapaknya diambil dan dibina perpustakaan dan deretan kedai, peniaga hanya berniaga di sepanjang jalan dari pejabat pos hinggalah kawasan perumahan murah Alor Tembesu.

Badan dah penat. Nak roger member-member ajak lepak pun, tapi mata dah berat sangat dah.

Balik tidor adalah tindakan yang sangat bernas. Zzzzz...

1 comment:

  1. ish..kene letak satu lagi peraturan mengembara :xboleh tido kat umah sendiri/kg: ahaks

    ReplyDelete