Hari ke-3 (Part 3) - Sebentar di Kangar dan hapacrita Baling?



Bas ke Kangar menyelusuri lantai hitam tar yang dihiasi hamparan menghijau sawah padi yang bagai tak berpenghujung dan berbumbungkan langit cerah berawan nano meneduhi kami tika panas mencuba menggores pipi (Awan Nano nyanyian Hafiz, bukan Jozan). Mungkin aku sudah biasa dengan pemandangan sawah padi sebegini jadi aku tak teruja sangat. Aku lebih suka pemandangan ladang tebu di Perlis, tapi mungkin kami tidak akan sampai di situ kerana perjalanan kami hanya setakat Kangar sahaja. Namun, masih lagi nampak indah dan mendamaikan.

Stesen bas kangar

Pukul 4.25 petang, kami tiba di stesen bas yang terletak di bandar kecil Kangar. Keadaan sekitar kelihatan santai tidak sesibuk bandar-bandar lain yang kami kunjungi sebelum ini. Yang tidak santai di Kangar ketika itu mungkin kami berdua yang ke hulu hilir melihat-lihat bas sebelum meneroka Kangar, agar mudah untuk merancang perjalanan selepas ini. Destinasi yang dicari ialah Baling atau sekitar Kedah berhampiran sempadan Gerik.

Tetapi tiada langsung bas tambang ketika itu.

Kami agak kehairanan, takkan tak ada langsung. Setelah 10 minit tunggu dan tiada bas lain, hanya kelihatan kaunter bas ekspress sahaja, lalu kami pun bertanya semula bas dari Alor Setar yang kami naiki tadi pukul berapa akan bertolak semula ke Alor Setar.

"5.00 petang,"

Jawapan dari pemandu bas tersebut bagaikan letusan pistol di garisan permulaan marathon menandakan bermulanya perlumbaan kami melawan masa untuk ke menara jam Kangar. Kami mempunyai kurang dari setengah jam untuk pergi ke menara jam tersebut dan balik semula ke stesen bas. Masa untuk berlari-lari!

Setelah 5 minit berjalan, keadaan agak genting kerana masih tidak menemui menara jam yang dicari. Lantas ditanyakan kepada dua orang polis trafik yang sedang bersantai di tepi jalan di atas motor. Setelah memberitahu arah jalan, polis tersebut bertanya apa tujuan kami mencari menara jam tersebut.

"Nak buat research assignment," jawab Yoe, menipu seperti biasa. Mungkin polis tersebut hairan untuk apa mencari menara jam sedangkan masing-masing memakai jam.

Kami tiba di menara jam perlis 10 minit kemudian. Menara jam ini adalah sebahagian dari bangunan milik Jabatan Kerja Raya Perlis dan terletak lebih kurang 500 meter dari stesen bas Kangar. Kami mengambil gambar dari taman mini yang terletak di luar kawasan bangunan dan berhadapan dengan menara jam. Kelihatan sepasang kekasih sedang bermadu kasih, bagi mengelakkan mereka membuat maksiat, kami menyuruh si lelaki mengambil gambar kami berlatarbelakangkan menara jam itu. Terima kasih kepadanya, teruskanlah apa yang tertangguh tadi. Kami tak peduli. Haha.


Tanpa menoleh ke belakang, kami berlari-lari lagi menuju ke stesen bas dengan harapan bas ke Alor Setar masih menunggu. 10 minit kemudian kami tiba dan lega apabila bas itu masih ada. Lalu dengan kehairanan muka pemandu bas mungkin kerana tak faham dengan karenah kami yang menaiki bas itu semula, kami pun bertolak ke Alor Setar.

Hanya setengah jam sahaja berada di negeri Perlis. (Geleng kepala)

Sampai di Shahab Perdana semula. Keletihan jelas terasa dengan pengembaraan kami hari ini yang merentasi tiga negeri. Itupun kerana tertinggal bas, nasi ganja, dan lain-lain halangan, kalau tidak mungkin 4 negeri dapat kami rentasi.

Pendekkan cerita, kami mengambil keputusan untuk menjadikan Baling, Kedah sebagai destinasi terakhir kami hari ini seterusnya bermalam di sana. Bas pukul 7.45 petang bertolak dengan berpenumpangkan kami berdua sahaja. Yoe siap letak beg, beg kamera, dompet, air botol, di setiap tempat duduk yang berlainan. Punya la tak ada orang. Sekali lagi, kalau kapel budak budak dah lama jadi kerja dalam bas ni. Nasib baik kami bukan...zzzzz.(Tertidur. Letih sangat tak sempat nak habiskan ayat.)

Baling, Kedah. Mengikut sejarah/mitos, tempat ini mendapat nama sempena peristiwa raja bersiong yang mem'BALING' gigi siong pemakan darahnya di sebuah tempat di sini. Tak tahulah aku kesahihan cerita yang aku dengar ini. Mungkin aku boleh cuba order nasi goreng ayam darah lebih, di mana-mana restoran kat Baling ni. Huahua.

Pukul 9.45 malam, kami tiba di stesen bas Baling. Turun sahaja bas, baru sahaja aku ingin bertanya sesuatu kepada Yoe, tiba-tiba Yoe meraba-raba punggung dan berkata "Alamak". Aku yang mamai menyangkakan seluarnya koyak dan beliau lupa pakai seluar dalam. Rupa-rupanya dompetnya tertinggal di dalam bas, di tempat duduk yang lain. Beliau terus bergegas ke bas tersebut yang masih berada di situ manakala aku yang yakin dompetnya masih ada di situ, hanya menunggu.

Setelah 5 minit dan Yoe masih dalam bas, aku dah mula risau. Kalau dompetnya hilang, kad ATMnya juga hilang. Kad ATMnya hilang, duit aku juga tak dapat dikeluarkan kerana duit aku berada di dalam akaun dia. Jadi aku pun bergegas ke bas tersebut untuk membantu Yoe mencari dompetnya.

Sesampainya di dalam bas aku melihat Yoe siap meniarap mencari di bawah kerusi. Juga kelihatan seorang lelaki yang bertugas membersihkan bas sedang menyapu sampah. Aku bertanya sama ada sudah bertanya kepada lelaki tersebut. Yoe berkata sudah bertanya, tapi dia mati-mati kata tak jumpa. Aku dan Yoe lagi sekali mempunyai mutual understanding, mengesyaki dompet Yoe berada pada lelaki tersebut dan lelaki itu menipu apabila mengatakan beliau tidak nampak apa-apa dompet pun. Ini kerana selepas keluar sahaja kami dari bas, lelaki tersebut adalah orang pertama yang naik bas itu untuk melakukan kerja pembersihan.

Nasib baik pintu bas ada satu sahaja dan kami menutup laluan keluar. Yoe menuju ke arahnya dan bertanyakan lagi sekali mengenai dompetnya.

"Ha ada ada. Ni ha, nasib baik saya nampak," kata lelaki tersebut sambil menyerahkan dompet yang dikeluarkan dari poket seluarnya. WTF. Nak mencuri tak ada seni lakon langsung. Skrip kabur dan menimbulkan persoalan pada penonton. Mungkin beliau sudah gementar melihatkan aksi aku menggerakkan dada ala-ala ahli gusti lalu memulangkan terus dompet yang ingin diambilnya.

Setelah semuanya selesai, kami turun dari bas dan mencari hotel. Pekan Baling adalah sebuah pekan yang kecil dan damai serta agak tersusun. Terdapat beberapa hotel murah di situ dan kami ke sebuah hotel yang bernama Hotel Mawar (kot). Kelihatan seorang pakcik bermuka bengis yang menjaga kaunter. Apabila ditanya, bilik yang ada ialah berharga RM40. Yoe seperti mempunyai keyakinan tinggi selepas berjaya menawar harga di Georgetown tempoh hari, melakukannya sekali lagi. Akan tetapi, tidak semua hotel boleh tawar menawar. Pakcik itu berkata kalau tak nak harga ni boleh pergi tempat lain. Hahaha..(gelak takut)

(Nota daripada Yoe: Oit, Adib! Nama tempat kita tidur tu Rumah Tumpangan Melur. Kau main petik je, kan? Asal ada nama bunga-bunga. Hingusan betul perangai)

(Nota Adib: Lupa la. Nama-nama bunga ni aku fail sket)


Bilik di hotel tersebut agak besar. Mempunyai dua katil bersaiz king, TV dan ruang agak luas. Tetapi bilik mandi dan tandas terletak di luar bilik. Ini kali pertama sepanjang pengembaraan, kami menginap di hotel yang mempunyai bilik air di luar bilik.Tak kisah la, lagipun tidak ramai menginap di situ jadi boleh kata sepanjang masa bilik air kosong.


Kami keluar semula untuk makan malam di kedai makan berhampiran hotel. Yoe memesan Char Koey Teow manakala aku yang sedang lapar nasik, pergi ke gerai seberang jalan yang nampaknya seperti menjual nasi bungkus. Tetapi apabila sampai sahaja di sana, apa yang aku nampak adalah lauk-lauk yang sedikit seperti kaki ayam masak kicap, telur rebus masak berlada, sayur sikit pastu kuah. Tu je. Alamak, aku pun untuk tidak menghampakan diri yang susah-susah melintas jalan untuk ke gerai ini, mengambil lauk kaki ayam, telur dan kuah campur. Hmm..makan je la. Kembali semula ke kedai, aku pun mula makan makanan ala kadar aku. Apa yang mengejutkan, nasi bungkus itu SEDAP YANG AMAT SANGAT. Kaki ayamnya, nasi yang dibanjiri kuah, uhh..mengejutkan aku. Sedap macam apa lagi ntah. Ini yang dinamakan simple is incredible(aku reka sendiri). Yoe pun memuji kesedapan char koey teow yang dimakannya. Wah, boleh tahan juga Baling ni.

Layan movie secara berjemaah di kedai makan

Oh ya, Yoe ada termencarut lagi. Sekali lagi Dihar menjadi punca. Dengan itu, air minuman aku pada malam itu dibayar oleh Yoe. Hehaa..

Lepas makan kami balik hotel dan tidur awal kerana esok perjalanan mungkin lebih mencabar, target sampai Kelantan.

Oi Dihar, kau tunggu!


1 comment:

  1. Kalau kat perlis, ye..
    Mmg ada nasik ganja..

    ReplyDelete