Hari ke-3 (Part 1) - Tak tentu arah di Sungai Petani

21 Jun 2011

Kokk..kokk.kokk..kooookk...

Kedengaran bunyi ayam jantan di Kampung Kayu Ara, Kuala Pilah tepat jam 6 pagi.

Manakala di sebuah bilik usang Hotel Merlin, Pulau Pinang, aku bangun dengan menyeret kaki yang seperti dibelenggu bola besi, menuju ke bilik air setelah dikejutkan oleh penggera telefon. Disiplin masih dapat dikekalkan nampaknya untuk hari ketiga ini. Mengagumkan.

Kami periksa-keluar (check out) dari hotel itu jam 7.00 pagi. Berjalan di tengah bandar George Town, suasana pagi dengan pencahayaan dari matahari yang masih malu-malu membuatkan pemandangan bangunan menjadi lebih indah. Cuaca pula begitu ceria memudahkan perjalan kami ke Weld Quay. Aku bernyanyi riang lagu Asyik nyanyian Amelina sambil berjalan. Serius, aku pun tak tau kenapa lagu-lagu pelik selalu berlegar dalam minda sepanjang pengembaraan ini.


Pelan kami pada hari itu ialah pergi sejauh yang mungkin. Hari ketiga dan baru berada di Pulau Pinang, suatu situasi yang agak membimbangkan kerana masih ada banyak lagi tempat perlu dijelajahi. Jadi pagi-pagi lagi jam 7.30 pagi kami sudah menaiki feri ke Butterworth, setelah melawan arus orang bersesak-sesak menuju ke Pulau Pinang untuk bekerja. Melawan arus kadang-kadang memang menyeronokkan.


Selepas 15 minit, kami tiba di Butterworth dan mencari bas. Seperti perancangan semalam, kami mencari bas Kuala Muda, Kedah. Jadi dari sana mungkin boleh ke Alor Setar atau bandar berdekatan tetapi masih menuju ke Alor Setar. Bas untuk Kuala Muda masih tidak kelihatan, namun kami sudah tahu di mana hendak menunggunya, iaitu terletak di platform yang meletakkan bas-bas dari syarikat RapidPenang. Tetapi dalam pada itu, kami juga mencari-cari bas lain yang ada dengan merujuk peta, mana tahu boleh juga naik dan sekurang-kurangnya kami bergerak. Tak adalah perlu membuang masa menunggu. Aku pun pergi bertanya kepada abang yang memakai baju Transnasional mengenai bas-bas lain dan destinasi bas yang ada di Kuala Muda.

Tetapi satu soalan yang agak mengejutkan ditanya oleh abang Transnasional tersebut.

"Ni hang tanya Kuala Muda yang mana satu?"

Aku pun kehairanan. Kuala Muda ada banyak ke?

"Kuala Muda ada dua la. Satu hat Penang punya, satu lagi Kedah. Yang bas dari sini pi Kuala Muda yang hat Penang punya la," jawab abang itu.

Ah sudah. Maknanya tak ada la bas ke Kuala Muda, Kedah dari sini. Camana aku boleh tak tau ada dua ni. Aku pun terus berbincang dengan Yoe tentang perubahan pelan yang terpaksa dilakukan. Kami terus ke bas yang ke Sungai Petani, ada dua iaitu kepunyaan Cityliner dan Transnasional. Transnasional seperti yang anda ketahui, adalah sebuah syarikat bas ekspress manakala Cityliner pula, memiliki bas-bas yang moden. Untuk kepastian, kami terus bertanya kepada pemandu kedua-dua bas tersebut, adakah ini bas ekspress.

Untuk pengetahuan anda, kalau soalan itu ditanyakan kepada mana-mana syarikat bas pun, jawapan yang diterima sudah semestinya mereka claim bas mereka ialah bas ekspress. Lalu kami tanya soalan seterusnya, iaitu adakah bas ini melalui lebuhraya, bas ini boleh berhenti tak kalau kami nak turun mana-mana, dan lain-lain. Sesudah puas hati dengan jawapan, iaitu secara teknikalnya bas Cityliner ialah 98% bas tambang, kami pun menaiki bas tersebut dan terus ke Sungai Petani. Hihi.


Sesampainya di Sungai Petani, kami terus tercari-cari bas bagai anak-anak ayam kehilangan ibunya yang dikejar musang. Kelihatan bas ke Alor Setar adalah bas Transnasional. Hmm..tidak puas hati dengan penemuan itu, kami ke kaunter bas mara dan macam biasa menanyakan soalan-soalan lazim. Bertanya orang sudah menjadi pekerjaan utama kami sepanjang pengembaraan ini. Jawapan yang diterima tetap menghampakan apabila beliau berkata hanya bas Transnasional yang menuju ke Alor Setar. Ada satu bas ke Pendang, juga perlu menunggu lama juga.

Stesen bas Sungai Petani

(Keadaan kami pada masa itu agak kucar kacir tak ada hala tuju. Jadi penceritaan aku pun jadi tak tentu hala. Harap maaf.)

Memikirkan yang kami belum makan, jadi kami pun berjalan ke arah kedai-kedai makan cadangnya untuk makan. Dalam pada itu, Yoe masih dengan lagak jurugambar suratkhabar, mengambil-ambil gambar sekeliling.

Tanpa disedari, kelakuan itu sebenarnya menimbulkan suatu situasi kurang senang beberapa pihak di situ..jeng jeng jeng.

"Assalamualaikum," kedengaran seseorang memberi salam, "Ni ambik gambar untuk apa ni?" tanya orang tersebut dengan kasar. Nampak seperti pemandu teksi.

"Lu apahal sibuk-sibuk der?" aku jawab. Yoe ketika itu sudah berundur dan berdiri di belakang aku.

"Kurang hajar betul orang luar datang sini buat kacau plak!" kata orang tersebut sambil menghayunkan penumbuk ke muka aku. Aku yang dilatih untuk tenang dalam sebarang situasi sempat mengelak sedikit, anginnya terasa di pipi.

Melihatkan keadaan orang itu yang tidak seimbang setelah tumbukannya tidak mengenai sasaran, aku mengambil kesempatan menumbuk perutnya dan mentaji kakinya di lutut sehingga dia tertiarap di atas jalan. Kedengaran orang itu mengerang kesakitan. Orang ramai sudah berkerumun melihat pergaduhan itu. Kelihatan seseorang menghulurkan microphone kepada aku lalu aku pun menyambutnya lantas menjerit, "Do you smelllalala..what Adib is cookin,"


***********

"Waalaikumsalam," suara Yoe menjawab salam mengejutkan aku daripada fantasi. Kelihatan seorang pakcik yang sedang duduk di bawah sebuah pondok teksi tidak jauh dari tempat Yoe mengambil gambar.

Pakcik tersebut bertanyakan kami dari mana dan dijawab oleh Yoe yang kami dari KL dan sedang mengembara. Apabila ditanya ambil gambar untuk apa, Yoe menjawab untuk kenang-kenangan.

"Ingatkan wartawan tadi. Sebab dulu ada orang ambil gambar, keluar suratkhabar pasal teksi haram," jawab pakcik itu. Fahamlah kami kenapa apabila Yoe ambil gambar, ramai yang memerhati. Aku pun perasaan keadaan di sini seolah-olah kami diperhatikan. Setelah memberi penjelasan kepada pakcik tersebut, kami pun beredar nak membeli makanan.

Setelah dilihat tiada makanan menarik dijual, kami pun tak jadi beli makanan.(Kan dah kata tadi, tak tentu arah). Perbincangan dua hala dilakukan antara aku dan Yoe, mengenai destinasi dan bas mana yang patut dinaiki. Kelihatan bas Alor Setar sedang menunggu. Setelah berbincang akhirnya kami setuju untuk ke Alor Setar dengan bas tersebut.

Lantas kami bertanyakan kepada pemandu bas, pukul berapa akan bertolak. Beliau menjawab, setengah jam lagi iaitu pukul 10.00 pagi. Wah, ada masa untuk ke menara jam Sungai Petani. Kami cadangnya hendak skip juga menara jam Sungai Petani demi mengejar masa dan mencapai matlamat pergi sejauh yang boleh. Tetapi alang-alang ada masa ni boleh la jenguk kejap. Jadi kami pun berlari-lari bak ibu ayam yang sedang dikejar musang menuju ke menara jam tersebut yang terletak kira-kira 400 meter dari stesen bas. Pagi-pagi memang sesuai buat exercise sikit, kan?. Sesampainya di menara jam kami terus mengambil gambar stail tak ada seni punya kerana perlu cepat dan secara termengah-mengah keletihan.


Sedikit info mengenai menara jam tersebut, ianya dibina sebagai penghormatan kepada zaman pemerintahan King George V oleh Lim Lean Teng, jutawan dari negara China yang berhijrah ke Pulau Pinang. Kalau anda jutawan, apa kata bina menara jam jugak. Boleh la jugak masuk blog ni nanti. Kuikui..

Eh, masa dah suntuk. Perlu bergegas ke stesen bas semula untuk menaiki bas ke Alor Setar. Kami pun berlari-lari sekali lagi bagaikan musang yang dikejar penduduk kampung kerana makan ayam ternakan. Letih berlari tadi masih tak hilang, tambah letih tengah berlari ni lagi, memang mencabar ketahanan fizikal kami. Tinggal 5 minit lagi sebelum 10.00 pagi dan kami sudah tiba di stesen bas.

Tetapi fizikal yang diuji tadi nampaknya sia-sia sahaja apabila bas yang kami kejar rupanya sudah berlepas. Drebar bas penipu. Kata10.00 pagi. Kami hanya mampu menyumpah-nyumpah dalam hati kerana risau kehilangan RM1 pula kalau diikutkan sangat emosi. Sangat mencabar!

Apa boleh buat, menunggulah kami lagi di situ lagi sejam untuk bas seterusnya. Rugi je masa. Aku menghilangkan letih dengan duduk mencangkung di hadapan kedai yang belum dibuka. Manakala Yoe, masih dengan gaya jurugambar, mengambil gambar sekeliling, ke sana ke mari. Mentang-mentang dah tau sikit setting kamera.

Setelah 15 minit, Yoe kembali dan mengajak aku minum pagi di sebuah kedai berhampiran tidak jauh dari tempat bas. Aku pun bersetuju. Masuk sahaja kedai tersebut, kami disapa oleh dua orang pakcik yang sedang menikmati sarapan. Sekali lagi kami ditanya dari mana dan kenapa mengambil gambar sekeliling. Penjelasan sebaiknya diberi dan syukur tiada apa yang terjadi. Ini dijadikan pengajaran kepada kami, TERUTAMANYA YOE supaya tidak sesuka hati main langgar je kalau nak ambil gambar.

Mengikut cerita Yoe, semasa beliau ke sana ke mari ambil gambar tadi, beliau cuba nak mengambil gambar yang ala-ala artistik mengenai kegiatan pagi orang-orang di Sungai Petani dan beliau ternampak seorang pakcik sedang makan mi kari. Apabila nak snap je gambar, pakcik tu toleh ke arah Yoe, dan Yoe buat-buat ambil gambar tempat lain. Kemudian Yoe naik ke tempat tinggi sedikit iaitu di tingkat dua bangunan, masih dengan tujuan untuk mengambil gambar pakcik itu. Sekali lagi berlaku, pakcik itu masih lagi mendapat aura yang gambarnya sedang cuba diambil, lalu dia pun menoleh ke arah Yoe. Sekali lagi, Yoe mengalih kamera dan buat-buat ambil gambar tempat lain. Mungkin itu menimbulkan ketidakselesaan kepada pakcik tersebut.


"Yoe, orang yang hasilkan gambar artistik macam tu, semuanya ada lens panjang-panjang. Ambil gambar dari jauh je. Yang ko ni lens standard memang la kantoi ambik gambar dekat-dekat. Memang patutlah orang marah. Hahaha!" reaksi aku kepada cerita Yoe.

Dipendekkan cerita, bas sampai. Kami habiskan minuman dan terus menaiki bas ke Alor Setar.

Haiihh...kacau bilau jadinya.


4 comments:

  1. yeo....lain kali bg la salam kat pakcik tu ckp nak ambil gambar dia....

    ReplyDelete
  2. haha..aku bukan apa..nak amek gambaq candid..baru nmpak real..nnti kalo ckp nk amek gmbr die, die posing ape sume..x real la..hehe

    ReplyDelete
  3. hanye mampu gelak...kah3

    ReplyDelete
  4. kata nak try nasi kandar beratur tu? try tak? mana lagi sedap?

    ReplyDelete