Hari ke-4 (Part 3) - Maskot (terlalu) melayan kami dengan baik

Dihar bertanya ke mana mahu dituju, samada hotel atau makan dahulu? Oleh kerana kami tidak tahu malu, kami berkata kepada dia yang kami mahu bermalam di rumah beliau supaya wang kami dapat dijimatkan. Dia bersetuju. Jadi aku pun meminta dibawa makan nasi kerabu yang sedap di Kota Bharu. Katanya, nasi kerabu dimakan di waktu pagi di sini, tetapi aku berkeras mahu ke nasi kerabu juga. Nak jugak! Nak jugak! Jadi kami dibawa makan di sebuah restoran yang bernama Nasi Kerabu Golok. Sedap sangat. Bertambah sedap apabila nasi kami dibayar oleh Dihar selepas kami memuji kesegakannya memakai baju Liverpool.

Restoran Nasi Kerabu Golok

Kemudian kami dibawa bersiar-siar mengelilingi Kota Bharu. Tempat pertama ialah rumah kediaman Nik Aziz. Yoe nampak sudah bersedia dengan kamera dan sedang setting kamera untuk situasi kurang cahaya, semuanya dilakukan untuk mengambil gambar rumah tersebut. Sampai sahaja di sebuah kawasan, Dihar pun berkata,

"Ha, area sini la. Ni madrasah kepunyaan dia. Ni masjid tempat dia selalu sembahyang."

"Erm, mana rumah dia?" tanya Yoe, apabila tidak kelihatan pun rumah yang dimaksudkan.

"Aku tak pasti la. Tapi area-area ni la rumah dia. Aku tak sure sangat. Tapi ni la madrasah kepunyaan dia. Ni masjid tempat dia selalu sembahyang." jawab Dihar.

Aku yang duduk di tempat duduk hadapan sebelah pemandu dapat mendengar bunyi-bunyi kecewa oleh Yoe di belakang.

Kami pun teruskan berjalan sehingga ternampak gerai menjual buah-buahan. Kami berhenti sebentar untuk makan durian. Tak sedap sangat. Kemudian Dihar membawa kami sekeliling Kota Bharu dan menunjukkan tempat-tempat menarik dan bersejarah seperti:-

1) Sekolah rendah Dihar
2) Sekolah menengah Dihar
3) MRSM Dihar - di sekolah ini, dia dipulau rakan-rakan kerana report kat cikgu ada budak isap rokok
4) Landasan kapal terbang

Eh? Landasan kapal terbang pun nak tunjuk? Oh, buat pengetahuan anda semua, di Kota Bharu ini ada satu port melepak yang kelihatan happening sekali, iaitu lepak ramai-ramai tepi jalan betul-betul di luar airport berhampiran landasan kapal terbang. Sangat 'unik' sekali kerana kami tidak faham apa orgasmnya lepak di situ. Punya la ramai lepak, siap ada peniaga berniaga jual air dan makanan di situ. Apa pun kami tidak lepak sekali dengan mereka.

5) Istana-istana
6) Cyber cafe milik member dia
7) Stadium Kota Bharu

Ketika di dalam kereta juga aku berpeluang mendengar radio negeri Kelantan di mana ketika itu terdapat slot belajar bahasa Inggeris. No offense, aku dapati rancangan radio tersebut sangat kelakar. Cikgu Inggeris tersebut mengajar dengan loghat Kelantan dan sebutan Inggerisnya juga berbunyi Kelantan!

"Kalu dok wak gapo mu kecek 'aim duing nat'hing," salah satu ajaran dalam slot tersebut.

Kemudian kami dibawa ke Wakaf Che Yeh atas permintaan Yoe. Wakaf Che Yeh ini bukannya apa pun, macam uptown kat KL la. Tapi yang pasti, harga barangan sangat murah terutamanya baju dan jersi. Aku ketika itu terasa kepala berpusing-pusing mungkin kesan daripada keletihan ditambah pula lepas makan durian, hanya berjalan-jalan tanpa melihat barangan.

Setelah meluangkan masa selama 20 minit di situ, kami berlalu meniggalkan Wakaf Che Yeh tanpa membeli apa-apa menuju ke kawasan tepi sungai Kelantan yang menempatkan kedai-kedai makan untuk kami melepak seketika. Kemudian meneruskan jalan-jalan keliling KB ke destinasi utama iaitu Menara Jam Kota Bharu.

Menara Jam Kota Bharu terletak di bulatan di tengah-tengah bandar Kota Bharu yang juga menempatkan replika Al-Quran yang besar. Menurut Dihar, bulatan in dahulu menempatkan replika kijang yang juga maskot kepada negeri Kelantan tetapi sudah ditiadakan selepas bertukar pemerintahan di bawah Pas dan diganti dengan replika al-Quran. Mungkin kami juga patut menggantikan maskot kami iaitu Dihar kepada benda lain, selipar jamban mungkin.


Setelah melawat menara jam itu kami beredar menuju ke rumah Dihar. Jam menunjukkan pukul 2 pagi dan aku sudah terasa mengantuk dan letih. Otak hanya mampu berfikir tentang mandi dan tidur sahaja. Dalam perjalanan pulang, Dihar kelihatan masih lagi mahu membawa kami berjalan-jalan.

"Ha kat area sini rumah Khairul Fahmi Che Mat. Penjaga gol Kelantan dan Malaysia," kata Dihar.

"Mana rumah dia?" tanya aku.

"Tak sure lak aku. Tapi area-area ni la," jawapan standard Dihar.

Kami juga ditunjukkan tempat dia selalu beli komik, tempat tuisyen dia dulu blablabla aku dah tak ingat sebab dah mengantuk sangat. Akhirnya aku bertanya Dihar,

"Erm, apa kata ko tunjuk kat kitorang rumah ko pulak?"


-----------------------

Akhirnya kami tiba juga di rumah Dihar. Aku terus mengambil beg dengan rasa letih. Dihar boleh lagi berkata "Lek lu baru 2.30 pagi, takkan nak tidur dah,"

Masuk sahaja rumah, keluarga Dihar sudah pun tidur. Aku ingatkan tour Kota Bharu kami dah habis, rupanya ada lagi. Tiba-tiba Dihar berkata,

"Alamak, tidur la pulak," kata Dihar kepada sekumpulan ikan peliharaannya di dalam akuarium kecil. "Ni la ikan-ikan aku, Deep. Ko nak tengok ikan aku tak? Kalau nak, aku boleh kejutkan diorang,"

Aku menolak sopan.

Kami ditunjukkan bilik tidur kami iaitu bilik kepunyaan adiknya. Apabila ditanya di mana terletaknya bilik tidurnya, dia menjawab terletak di belakang.

"Hari tu aku tengah tidur kat bilik aku, tiba-tiba rasa badan aku macam kena cakar, " dia mula bercerita. Apabila ditanya apa yang mencakar badannya, dia menjawab, "Biawak yang cakar. Aku dah terkejut dah time tu. Biawak tu pun terkejut bila tengok aku,"

Untuk pengetahuan semua, biawak suka makan bangkai.

Masuk sahaja bilik adiknya, aku dapat lihat terdapat sebuah almari penuh dengan komik-komik milik Dihar dan adiknya.

"Kalau korang nak baca komik, ambik la sini. Ko nak baca komik apa Deep?" pelawa Dihar.

Aku menolak sopan. Ketika itu Yoe sudah pun terlantar atas katil. Tidak cukup dengan itu, Dihar kelihatan berusaha mengeluarkan sebuah buku yang terletak di celah-celah komik yang ada. Setelah berjaya mengeluarkan buku tersebut, dia memberikannya kepada aku.

Buku Cara Mempelajari Taekwondo.

"Nah, nak belajar taekwondo kena baca buku ni."

APA KEJADAHNYA NAK BELAJAR TAEKWONDO PAGI-PAGI BUTA NI, DIHAR?!

Aku menolak dengan sopan. Lantas menuju ke bilik air untuk membersihkan diri, dengan perasaan risau bertembung dengan biawak. Teringat juga cerita Dihar ketika di dalam kereta dalam perjalanan balik rumah tadi, "Hari tu, ada orang jumpa ular sawa dekat belukar berhampiran rumah aku. Ular sawa tu! Jenis telan orang punya ular."

Aku hanya mampu berdoa.

Dihar pula membuka TV di ruang tamu. Ketika dalam perjalanan ke bilik air, masih lagi terdengar suara Dihar dari jauh,

"Yoe, ni ha jom tengok cerita Pi Mai Tang tu!"

Aku tidak mendengar sebarang jawapan dari Yoe.

Selepas mandi, aku buat apa-apa yang patut semua, update status FB dan terus tidur cepat-cepat. Nanti buku apa pula yang disuruh aku baca. Buku cara-cara masuk UMNO? Zzz...

(Kepada Dihar, kau kesunyian ni. Duduk la balik kat KL. Nanti aku bawak ko lepak tepi landasan kapal terbang KLIA.)

Oh ya. Dengan itu, berakhirlah tugas aku untuk mencatatkan perjalanan kami sepanjang pengembaraan sehingga hari ke-4. Catatan seterusnya akan ditulis dari tulisan jejari runcing seorang lelaki bernama Yoe.

Semoga terhibur!


7 comments:

  1. jejariku memang runcing dan halus seperti sutera..aww!

    ReplyDelete
  2. blog ni memang best! LOL!!

    - adik Dihar dan tuan punya bilik serta Buku Cara Mempelajari Taekwondo? Bila masa aku ada buku tu? Rasanya coaching manual untuk Taekwondo ada lar... huhu -

    ReplyDelete
  3. Hahaha..

    Hahaha..

    akhirnya tuan punya buku taekwondo bagi komen.

    Coaching manual ke?giler ah diha suruh mengajar taekwondo terus.

    Anyway terima kasih kerana membaca.

    ReplyDelete
  4. suruh diha tunjuk skill melawan skit...

    ReplyDelete
  5. Dihar memang tourist guide yg baik!! siap cite pasal biawak dan ular sawa tuh! hahaha

    ReplyDelete
  6. Trimas brat2104,sebenarnye umah aku x der la bahaya sgt....byk lagi sebenarnye tmpat nk tunjuk kat diorang nii,tp memandangkan diorang "terlalu mengikut jadual sangat"(mata pandang atas,tangan tunjuk kebahu),tak sempat nk tunjuk gaya hidup melayu Kelantan...makan nasi ulam pon x sempat,rugi-rugi...di Kelantan juga,mereka byk diuji sebenarnya,tp disebabkan aku yg menguji,mereka agak kental skit,walaupon kalau ikut kan,dah byk wang seringgit bertukar tangan pada malam tersebut...hahaha
    ~btw,biawak tu dah mati,tp ular tu x dpt dikesan skang,maybe dah pindah.Memandangkan semak belakang sudah diterangkan,sebab JKKK Kampung,masuk pertandingan keceriaan kampung ;)

    ReplyDelete
  7. ray: kalo kitorg ada masa sebulan nak pusing semenanjung ni, kitorg xkesah nak lepak smggu kat KB tu..tp mase limited..negeri lain pon byk kitorg x explore abes..ni pengembaraan keliling semenanjung, bkn pengembaraan keliling kelate..

    ReplyDelete