Hari pertama Part 1 - Carutan pertama dan kedua

Naik sahaja di dalam bas pertama itu, bas dari syarikat SJ Bus, pemikiran masih lagi tenang. Terasa seolah-olah berada di hari yang normal menaiki bas ke destinasi yang dekat-dekat sahaja. Mengambil tempat di tengah-tengah perut bas, aku menghenjut-henjut tempat duduk konon untuk mengambil feel agar tidak pening kepala di tengah perjalanan kelak. Sebaik sahaja pemandu bas menekan pedal accelerator dan memulakan perjalanan, ngauman bas menambah kebisingan pagi kota Kuala Lumpur, dada aku berdegup kencang, cemas sedikit. Ya, ini yang kau pinta Adib, kata aku kepada diri aku sendiri.

Kelihatan konduktor bas berbaju biru, jalan terhuyung hayang menahan inersia dan graviti di dalam bas yang bergerak demi menjalankan tugasnya sebagai pengutip duit tiket bas. Tiba sahaja di tempat aku duduk, konduktor bas itu pun mengangkat kening, bahasa isyarat untuk soalan "Pergi mana?". Mungkin tidak adil untuk mengatakan beliau tidak sopan kerana hanya mengangkat kening untuk bertanya kepada penumpang. Tetapi keadaan bas yang bising tidak mewajibkan beliau untuk bersopan santun, juga agak melecehkan bertanya soalan yang sama 200++ kali sehari. Aku pun menjawab dengan nada berbisik, "Destinasi pertama," disusuli dengan ayat seterusnya dengan nada separuh menjerit, "Rawang, dua !".

Tiket bas disimpan di dalam beg, duit pertama yang dikeluarkan bernilai RM1.50 x 2. Pemandangan di luar bas masih lagi pemandangan yang sama aku hadap setiap hari. Menyelusuri jalan Ipoh dan beberapa kawasan Kuala Lumpur, aku cuba lelapkan mata kerana keletihan semalam masih belum hilang, tetapi gagal. Mungkin tidak biasa lagi dengan dodoian bas tambang yang agak ekstrim ini..

(Gelap)

Ciss..tertidur juga aku, walhal perjalanan tidaklah begitu lama. Terjaga tepat-tepat ketika bas berada di depan stesen bas Rawang. Turun sahaja dari bas, aku dan Yoe menuju ke arah sebuah pasaraya besar untuk membeli buku catatan dan air mineral. Jadi cabaran seterusnya adalah untuk mencari dan menanti bas ke Tanjung Malim pula. Setelah dirisik kepada brader penjual bahulu. kami pun ke tepi jalan di mana terletaknya sebuah bus-stop. Memang setakat ini nasib kami sangat baik. Bas Metrobus ke Tanjung Malim tiba-tiba sahaja menjengah ketika aku baru sahaja menyalakan rokok. Nak tak nak, rokok di buang setelah baru dua-tiga kali sedut, dan kaki mendaki tangga bas tersebut. Sementara menunggu bas tersebut memulakan perjalanan, kami pun berborak kosong, antaranya, aku menceritakan betapa sibuknya aku di hari terakhir bekerja sebelum bercuti.

Stesen bas Rawang

"Hari Jumaat tu, aku ingat boleh la balik awal sikit. Paling lambat pun pukul 6 la. Tengok-tengok, memang paling lambat, pukul 10 baru keluar pejabat. Cilakak betul,"

"Haaaa..!!" Yoe tiba-tiba mencelah dengan teruja, "Bak seringgit. Ko dah mencarut!"

"??!!" aku hanya mampu menyumpah dan mencarut dalam hati. Perkataan 'Cilaka' memang ada dalam senarai. Dengan berat hati aku menghulurkan seringgit kepada Yoe. Aku pun terus kurangkan bercakap. Mahu muflis aku kalau termencarut lagi. Ni baru dua jam, ada seminggu lagi bang oi!

Yoe tiba-tiba mengeluarkan bukunya yang terdapat senarai perkataan yang tidak boleh disebut, yakni mencarut. Tiba-tiba dia tersenyum, lalu menyebut, "Sengal la ko ni. Haha..'sengal' boleh sebut. Tak ada dalam senarai.Yehaa!"

Aku pun mengerut dahi sambil mata mengintai senarai tersebut dari jauh. Dari jatuhan pandangan mata aku yang pertama lagi terus dapat nampak perkataan 'sengal' termasuk dalam senarai perkataan tidak boleh disebut. Lantas aku letakkan jari telunjuk di atas perkataan tersebut sambil berkata, "Ni apa?"

"Eh, aku tak nampaak!!" ketika itu hanya Tuhan dan penumpang-penumpang di dalam bas sahaja yang tahu betapa kuatnya aku gelak dek kerana kelucahan yang ditampilkan oleh Yoe sebentar tadi. Lalu seringgit bertukar tangan kembali, dan kami masih tidak rugi apa-apa. Haha.

Bas mula bergerak. Perjalanan yang bernilai RM4.50x2 pun bermula menuju ke Tanjung Malim. Ada seminggu lagi bang oi!

No comments:

Post a Comment