Hari Ke-8 (Part 1): Penantian Memang Menyeksakan!

Kedai di mana pemuda berasal dari Kg. Titi Serong membeli gitar

Jam sepuluh pagi. Ruang legar menunggu bas di Terminal One, Seremban mulai dpenuhi orang. Masing-masing dengan hala tuju tersendiri. Ada nak balik kampung, ada nak ketemu pacar, ada nak pergi hospital. Macam-macam. Dua bungkus nasi lemak dan secawan kopi o telah selamat berada dalam perut aku atas nama sarapan. Dari kejauhan aku memerhati setiap bas yang keluar masuk terminal ini. Mencari-cari bas yang bisa membawa kami ke Nilai.

Hari ini merupakan hari terakhir permusafiran kami. Jika boleh sampai ke Kuala Lumpur petang inilah. Secara logiknya, tiada masalah. Seremban-Nilai-KL. Tak jauh mana pun. Lainlah jika ada aral yang melintang patah membujur lalu di hadapan kami kelak. Bas rosak, banjir kilat, jalan runtuh atau diculik makhluk asing antara faktor-faktor yang boleh menggendalakan perjalanan kami hari ini.

Bas CityLiner ke Nilai tiba. Kami bergegas ke sana. Pemandu bas membuka pintu dan turun dari kerusi. Sedikit melompat. Menutup pintu dan menggosok-gosok perut. Lapar barangkali. Dua minit kemudian beliau hilang entah ke mana. Pedulikan beliau. Kami naik ke dalam bas, mencari tempat duduk. Bas berhawa dingin.

Pukul sebelas bas perlahan-lahan bergerak keluar dari terminal. Perjalanan ke Nilai tidak memakan masa yang lama fikir aku. Jika dilihat pada peta, memang dekat sangat. Mungkin dalam sejam je kot. Harapnya boleh lah aku menikmati pemandangan di luar tingkap. Kopi O yang aku teguk tadi cukup untuk menyegarkan mata aku sepanjang hari ini.

Zzzzz.

Sedar-sedar bas telah tiba di stesen bas Nilai. Tertidur juga aku. Damn sungguh. Tak boleh pakai punya kopi. Dari stesen bas Nilai, kami perlu menunggu bas mini nombor 20 untuk ke dataran Nilai. Di situ letaknya menara jam terakhir yang kami akan lawati untuk kembara kali ini.

Lama juga kami menunggu bas mini. Tak muncul-muncul. Dalam sejam kemudian baru nampak batang hidung. Bukan batang hidung bas. Batang hidung pemandu bas mini itu maksud aku. Tunggu bas mini sejam. Perjalanan dari stesen bas ke dataran dalam sepuluh minit je. Ceh, tahu tadi kami menapak je. Silap-silap dah boleh sampai KL.Ciri-ciri tradisional minangkabau jelas kelihatan pada menara jam ini, terutamanya tang atap.

Kami mengambil masa dalam setengah jam juga melepak di sini sambil kunyah cekedis Meow perasa ayam dan air oren botol Pulpy.


Sekali lagi kesabaran kami di uji tatkala menunggu bas mini pulang ke stesen bas Nilai. Lepas bosan duduk, kami berdiri. Letih berdiri, kami duduk semula di bawah pokok tepi jalan. Sambil menghabiskan sisa-sisa kad memori kamera mengambil gambar yang entah hapa-hapa. Oh, ada juga gambar biawak melintas jalan. Aku tak pasti adakah ini biawak yang masuk ke dalam rumah Dihar tempoh hari. Kalau betul, jauh benar beliau berjalan dari Kota Bharu sana. Aku pasti biawak tersebut tak ada duit buat tambang bas.

Dalam bulatan merah itu adalah seekor biawak yang dipercayai
telah lari dari rumah Dihar di Kota Bharu

--------------------------------------

Hari ini memang banyak dihabiskan masa dengan menunggu bas. Operasi bas di Nilai tidaklah serancak bandar-bandar lain. Hentian basnya sedikit sunyi. Cuma kadang-kadang bas yang membawa penumpang ke Lcct atau KLIA silih berganti datang. Kelihatan pemandu-pemandu teksi mengisi masa senggang bermain dam sambil menunggu penumpang.

Kami masih sabar menunggu bas ke KL. Dah nak dekat sejam menunggu. Mungkin benar teori Adib. Syarikat bas tidak banyak beroperasi di sini kerana adanya perkhidmatan komuter ke Seremban atau KL.

Tahap kesabaran memang dah sampai ke penghujung. Motivasi kembara untuk hari terakhir ini juga sangat rendah. Lantas aku berjalan ke arah stesen komuter untuk melihat tren berikutnya ke KL. Adib juga bersetuju untuk menggunakan komuter pulang ke KL.

Lagi tiga empat langkah nak sampai ke stesen komuter, telefon aku berdering. Suara Adib di hujung talian.

"Bas dah sampai. Cepat sikit!"

Berlari-lari anak aku patah balik ke stesen bas. Mujur tak jauh. Mujur juga kami dah biasa terkejar-kejar sepanjang seminggu ini. Bas CityLiner terus ke Pasar Seni dengan tambang RM4.00. Sedikit bosan catatan untuk hari ini. Kerana tidak banyak perkara berlaku. Kami juga bosan kerana banyak masa dihabiskan dengan menunggu bas sahaja hari ini.

3 comments:

  1. wah pusat muzik tarrega,.. dalam keadaan xmandi sanggup ikut adib balik seremban, semata2 nak beli gitar..

    ReplyDelete
  2. nampak tua2 pakcik2 tu.. harap2 bukan teksi sewa.. tak berbaloinya bayar sewa tapi x dapat cari penumpang. hurmmm...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kebanyakan ''Teksi'' di Bandar-bandar luar dari KL adalah milik sendiri dengan Permit ''Kereta Sewa''.
      Maknanya, mereka tak begitu tertekan dengan kutipan harian juga mereka boleh mendapatkan penumpang kemana saja tujuan asalkan jangan sampai Bangkok sudah la...

      Delete