Pengenalan (versi Deep)

Aku bukannya seorang adventurous sangat pun. Yang jenis masuk hutan, daki gunung, lompat dari kapal terbang, semua bukannya aku. Segalanya bermula dengan sebuah buku yang bertajuk 'On the road'. Buku hasil karya Jack Kerouac, seorang novelis, pemuisi dari Amerika Syarikat dan juga selebriti bawah tanah bagi pergerakan hippie sekitar 50an-60an dulu. Walaupun buku tersebut menceritakan lebih daripada hanya cerita sebuah pengembaraan - budaya minum(lebih dari sekadar minum Barbican), zaman jazz, kepayahan kehidupan sekaligus mencipta falsafah hidup, jenayah dan seks bebas (tidak seteliti Tropic of cancer oleh Henry Miller) - tetapi apa yang boleh dicedok oleh aku ketika ini daripada novel tersebut ialah cabaran pengembaraan itu sendiri, walaupun aku tidaklah sampai ke tahap berhenti kerja dan bermusafir sepenuhnya. Cukup sekadar kembara beberapa hari yang mencabar.


Jadi inspirasi dari buku tersebut aku ajukan kepada seorang rakan, Yoe, ketika kami dalam perjalanan melawat seorang rakan yang sakit di Kuantan, untuk melakukan pengembaraan seperti yang dilakukan oleh Sal, Dean dan rakan-rakan dalam buku tersebut. Pada mulanya aku andaikan sebuah pengembaraan yang sebenar. Tumpang kereta orang, tumpang lori, berjalan dan sebagainya. Umum dan sangat mentah. Tetapi memikirkan dalam zaman sekarang, soal keselamatan, tahap kesukaran mendapatkan tumpangan, pelan itu diubah. Kalau aku ditahan ketika sedang memandu oleh orang yang tidak dikenali, aku pun tak berhenti, kerana aku memikirkan keselamatan aku juga. Jadi timbullah idea untuk mengembara menggunakan pengangkutan awam sahaja.

Pengangkutan awam seperti yang kita tahu, merangkumi bas, teksi, keretapi, kapal terbang, feri, dan lain-lain. Jadi kami memilih bas kerana sifatnya yang lebih marhaein dan praktikal. Semua tempat ada bas. Tetapi kalau kami memilih bas ekspress, di mana cabarannya? Bas ekspress amat memudahkan, malah selesa dan cepat. Kami tak mahu semua itu. Kami nak susah (dan cari nahas) tetapi masih realistik. Maka, keputusan undian majoriti 2/2 (2 undian = aku dan Yoe) telah diterima, maka kami mengambil keputusan untuk menaiki BAS TAMBANG!(bas antara bandar/ bas tabung / bas mini/ bas henti-henti). Bas yang kebanyakannya tambangnya dikutip oleh seorang konduktor atau dalam zaman moden ini, dibayar kepada mesin yang dikawal oleh pemandu, perjalanan selalunya tidak lebih dua jam, ada punat loceng disediakan untuk penumpang membunyikannya jika mahu turun, dan paling thrill kalau jenis yang tak ada air cond. Mencabar bukan?

Apa pula destinasinya? Cadangan kasar aku pada ketika itu ialah, bak kata pepatah Minang, dima bumi dipijak, di sinan langit dijunjuang. Walaupun tak ada kena mengena tapi aku saja nak guna sebab bapak aku orang minang. Sebagai tanda penghargaan la sempena Hari Bapa ni kan. Berbalik kepada destinasi, cadangan kasar aku ialah pergi je mana-mana tempat selagi ada bas. Kiranya tak tentu hala punya kembara. Tiada kiblat, tiada hala tuju. Redah je, barulah thrill. Tetapi tidak semua thrill itu mampu masuk akal ye kawan-kawan. Cadangan gila itu diperhalusi lagi agar lebih kena dengan gaya hidup kami yang agak serba mudah ini. Seterusnya membuahkan idea untuk menuju ke destinasi yang mempunyai menara jam yang ikonik dan melibatkan seluruh negeri di semenanjung Malaysia.

Kenapa menara jam? Kalau nak buat cerita bermoral, mungkinlah boleh dikatakan masa itu emas, kita perlukan jam untuk mengatur kehidupan blablabla.. Tetapi secara jujurnya, menara jam selalunya mempunyai bentuk yang pelbagai dan berbeza di setiap negeri. Bentuknya selalunya indah dan lagi sekali ingin aku gunakan perkataan ini, ikonik. Setiap menara jam mempunyai sejarah dan ceritanya sendiri. Ada juga yang baru dibina. Bak kata pepatah yang baru dicipta, negeri yang tiada menara jam, sangatlah tak 'art' dalam perancangan bandar. Jadi pilihan untuk menjadikan setiap tempat di semenanjung Malaysia yang mempunyai menara jam sebagai destinasi adalah sangat strategik. Sekali lagi, majoriti 2/2 diterima melalui undian angkat tangan.

Jadi cadangan-cadangan awal telah diterima. Ketika itu, cadangan tersebut masih lagi di peringkat kata-kata atau borak-borak hilangkan mengantuk, tidak begitu serius, kalau dibiar lama sikit akan jadi 'hangat-hangat tahi ayam'. Jadi melalui perbincangan atas talian, perjumpaan di kedai mamak, perbualan ketika bermain futsal, ketika di dalam tandas, maka akhirnya terdokumenlah satu pelan pengembaraan yang nampak sahaja menarik, tetapi kami sudah tetapkan dalam minda, bahawa pengembaraan ini bukanlah percutian biasa yang menyeronokkan. Pengembaraan ini bakal memerah keringat, memerah air mata, memerah darah..malah memerah kudrat kami sebagai lelaki sejati. Kami namakan pengembaraan ini sebagai :- Pengembaraan Bas Tambang dan Menara Jam Seluruh Semenanjung Malaysia!(di mana kemudiannya bakal ditukar dan dipendekkan secara kerap sepanjang perjalanan).

Maka untuk menambah lagi cabaran ketika mengembara, kami telah sebulat suara menetapkan beberapa peraturan :-

1) Tidak boleh mencarut sepanjang seminggu pengembaraan. Senarai panjang perkataan yang tidak boleh disebut telah disediakan.Antaranya:- semua perkataan yang menggambarkan alat sulit lelaki, semua perk ataan yang menggambarkan alat sulit wanita, (untuk kelima-lima bahasa iaitu B.Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Inggeris, dan saintifik), F word, Shit dan banyak lagi. Percayalah, banyaaak lagi. Denda RM1 kepada siapa yang mencarut, diberi kepada seorang lagi.(ye lah, dua orang je pun)

2) Sembahyang 5 waktu tidak boleh tinggal. Ehem. Ini peraturan sejak azali kot.

3) Duit yang boleh dibawa tidak lebih RM500. Di dalam bank mahupun tunai.

4) Telefon tidak boleh digunakan untuk membuat panggilan atau SMS. Kalau nak buat panggilan juga kena guna telefon awam. Oh ya, setiap orang telah diberi kelonggaran untuk call atau SMS kepada seorang sahaja sepanjang seminggu perjalanan. Contoh macam aku, katakan orang yang aku tetapkan ialah jiran aku, jadi sepanjang seminggu tu aku hanya boleh buat panggilan atau sms kepada jiran aku tu sahaja. Incoming call atau SMS tidak kisah siapa pun. Orang dah call takkan nak biar je ye tak?

5) Bagi yang ada handphone canggih, tidak boleh melayari internet 3G ke G-String ke, melainkan setiap tempat yang kami berhenti untuk bermalam, perlu update status Facebook memberitahu lokasi kami berada. Haha. Macam haremm punya fleksibel.

6) Seperti yang diketahui, pengangkutan awam yang boleh digunakan hanyalah bas tambang/bas tabung, bas mini, bas bandar. Juga telah dipersetujui, satu-satunya pengangkutan awam lain yang boleh digunakan ialah feri, itupun untuk menuju ke Pulau Pinang.

7) Tidak boleh makan di kedai mamak.

8) Tidak boleh makan di kedai fast food.

Itulah peraturan yang telah diperlembagakan oleh kami sebelum pengembaraan. Peraturan ini dicipta dengan tidak mengetahui kesusahan yang bakal berlaku pada pengembaraan tersebut. Percayalah dengan kata-kata ini:- Peraturan dicipta untuk dilanggar...

Cuti seminggu telah dipohon dan diluluskan, mental dan fizikal telah bersedia..

Maka bermulalah segalanya..


No comments:

Post a Comment